Kekeluargaan dan kejiranan melalui karya Aisha Nazar & Balqis Tajjali

Lot18 Gallery di Jalan Panggong merupakan satu daripada lapan lokasi bagi Festival Exposure+ Photo

Oleh DANIAL FUAD

Fotografi boleh dikatakan sebuah cabang seni yang kurang mendapat penghargaan terutamanya dalam era serba canggih ini. Setiap orang mempunyai kamera yang berkapasiti tinggi di dalam poket mereka pada hari ini membuatkan seni dalam gambar ini dipandang enteng. Tambahan pula, banjiran gambar yang dimuat naik ke laman media sosial mencecah hampir 3.2 bilion sehari! Hal ini membawa kepada keperluan seorang jurugambar untuk mahir dalam seni halus serta mempunyai idea yang kukuh dan perlaksanaan teknik yang tinggi untuk membezakan diri mereka dengan beribu-ribu lagi jurugambar amatur di luar sana.

Latar seni fotografi di Malaysia semakin meningkat berbanding sebelum ini. Kini terdapat banyak persatuan fotografi seperti Fotografi Jalanan Malaysia yang sangat aktif di Facebook dengan hampir 25 ribu ahli. Selain itu, golongan fotografi wanita dalam Malaysia juga mempunyai persatuan mereka sendiri, Women Photographers Malaysia yang diasaskan awal 2020 dan sering melakukan aktiviti seperti photowalk, perbincangan fotografi dan juga pameran. Tidak dilupakan juga festival fotografi yang giat mendapat tempat di Malaysia di mana antara yang terkenal merupakan Kuala Lumpur Photography Festival yang telah dijalankan sejak dari tahun 2013 lagi.

Pada tahun 2020, sebuah kolektif fotografi yang pada mulanya berkisarkan program mentor, EXPOSURE+ telah memperkenalkan KL20X20 untuk meraikan kota raya, Kuala Lumpur. Seramai 18 orang jurufoto telah menyertai festival ini dengan pelbagai projek yang menarik di lokasi yang berbeza.

Kini, EXPOSURE+ yang diwakili oleh Steven Lee, Nadirah Zakariya, Munirah Rohaizan dan Stacy Liu mempersembahkan sebuah lagi festival fotografi yang digelar EXPOSURE+ Photo. Dengan bertemakan ‘Belong’, seramai 16 jurufoto dari dalam dan juga luar negara telah menyertai festival kali ini dan ditempatkan di sekitar lapan lokasi sekitar Kuala Lumpur. Dengan kepelbagaian projek ini, kita dapat saksikan bagaimana jurugambar yang terlibat mentafsir tema untuk kali ini.

Salah sebuah lokasi bagi festival ini merupakan Lot18 Gallery yang terletak di Jalan Panggong dan terdapat dua orang jurufoto yang mempamerkan karya mereka, Aisha Nazar dan juga Balqis Tajalli. Aisha merupakan seorang jurufoto kembara yang kini berpusat di London, United Kingdom dan telah merantau ke serata dunia untuk mengambil gambar di mana beliau dilantik menjadi duta untuk Sony x Alpha Guru pada tahun 2019. Manakala Balqis pula merupakan seorang jurufoto yang mengamalkan proses fotografi alternatif, cyanotype dan melaluinya, dia telah mengadakan pelbagai bengkel berkenaan proses itu di studionya yang terletak di Langkawi, Kedah yang diberi nama DIKAKI Sunprint yang juga menyediakan bermacam produk cyanotype.

‘Belong’ jika ditafsirkan dalam Bahasa Malaysia boleh membawa dua maksud iaitu kepunyaan atau pun tempatnya. Aisha mentafsirkan tema untuk pameran kali ini lebih kepada konteks yang pertama; kepunyaan dengan projeknya yang bertajuk The Family Archive. Beliau mempamerkan lapan karya alam benda (still life) mewakili lapan orang yang penting baginya iaitu keluarganya sendiri.

Kebiasaannya, potret keluarga diambil secara harfiah (literal) di mana ahli keluarga akan berdiri di depan kamera. Namun bagi karya Aisha, ia boleh diibaratkan sebagai portret keluarga kerana setiap satunya mewakili ahli keluarganya dan diluahkan sebagai alam benda yang berkait dengan peribadi setiap seorang.

Setiap gambar dari Aisha mempunyai peribadi tersendiri melalui objek yang berkait dengan ahli keluarganya. Sebagai contoh, gambar yang mewakili ibunya yang merupakan seorang pembuat roti sarat dengan benda berkait seperti spatula, penggelek dan juga sudu penyukat. Audiens berpeluang untuk lebih menghayati setiap karya dan cuba untuk mengenal pasti siapakah yang cuba digambarkan oleh Aisha.

Selain daripada itu, setiap gambar yang dihasilkan Aisha berkongsi dua ciri yang agak menarik iaitu setiap satunya akan terselit gambar ahli keluarganya yang cuba digambarkan semasa kecil. Keduanya, setiap gambar akan mempunyai tangan ahli keluarganya dan kedua-dua ciri ini sedikit sebanyak memberikan kehidupan di dalam gambar alam benda.

Bagi Balqis pula, tafsiran ‘Belong’ baginya dapat digarap sebagai definisi kedua dari tulisan ini; tempatnya melalui projek yang bertajuk My Neighbour, The Weeds. Beliau terkenal dengan cetakan cyanotype yang subjeknya rata-rata adalah tumbuh-tumbuhan yang dicetak menggunakan teknik fotogram. Gaya Balqis ini mempunyai aura seakan jurufoto dan juga ahli botanis 1800-an, Anna Atkins yang juga terkenal dengan karyanya Photographs of British Algae: Cyanotype Impressions.

Reka letak ruang Balqis yang mempunyai meja dan disusun dengan tumbuh-tumbuhan memberikan rasa selesa seperti berada di rumah. Jika Aisha memotret keluarganya melalui alam benda, Balqis pula memotretkan lalang-lalang yang didapati di sekitar kawasan rumahnya. Beliau tertarik dengan sifat daya tahan yang terdapat di lalang dan juga meraikan kecantikan dalam benda yang pada zahirnya kelihatan biasa.

Terdapat empat buah karya yang digantung dalam ruang Balqis ini dan setiap satunya mempunyai subjek utama yang terpampang di tengah-tengahnya iaitu lalang. Terdapat garisan putih mengelilingi lalang-lalang tersebut yang boleh dibaca sebagai bumbung rumah oleh kerana sifat projek beliau yang meletakkan mereka sebagai jiran-jirannya. Bunga-bunga yang berada di luar garisan lalang itu menghasilkan perbandingan yang menarik di antara kecantikan konvensional dan juga bukan konvensional.

Keputusan untuk meletakkan karya Aisha dan Balqis untuk berada di satu lokasi yang sama amatlah berkesan oleh kerana sifat tafsiran masing-masing tentang tema festival ini adalah berbeza, namun saling melengkapi. Kini semakin ramai jurufoto yang berkaliber tinggi dan mempunyai daya pandangan dan daya fikir yang tinggi. Dengan adanya festival seperti ini, semakin ramai rakyat sedar akan kepentingan fotografi sebagai sebuah cabang seni.

Selain di Lot18 Gallery, terdapat juga pameran di GMBB Mall, REXKL, KLoé Hotel, High Street Studios, LOKL Coffee Co., Lullaby dan juga Zon Tiga. Harapnya, banyak lagi aktiviti seperti ini dijalankan atas nama fotografi supaya seni halus ini dapat diangkat dengan lebih tinggi. Maklumat lanjut berkenaan festival ini boleh didapati di sini.

Festival EXPOSURE+ ini akan melabuhkan tirainya pada hujung minggu ini dan para pengunjung masih berkesempatan untuk menyaksikan pameran-pameran fotografi berkualiti tinggi. Terdapat juga demonstrasi teknik cyanotype oleh Balqis pada Mac 13 yang juga merupakan hari terakhir pameran tersebut.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites