Kehidupan orang Seletar melalui lensa Jefree Salim

Jefree Salim merupakan jurugambar dari Orang Seletar yang telah merakam kehidupan mereka selama hampir dua dekad

Oleh DANIAL FUAD

Orang Seletar merupakan keturunan Orang Laut yang merupakan penduduk bagi apa yang sekarang dikenali sebagai Kepulauan Riau, Singapura, Sumatera Timur dan selat sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, termasuk Johor. Sejarah mereka dapat dijejak sehingga abad ke-7 lagi di mana mereka mendiami kawasan kepulauan, sungai dan bakau yang kebanyakkan orang tidak dijadikan penempatan oleh kerana kesukaran membangunkan kawasan tersebut.

Kini, antara perkampungan Seletar yang ada di Johor adalah Kampung Sungai Temon dan Kampung Bakar Batu. Salasilah petempatan mereka di sini dapat ditelusuri sehingga sekurang-kurangnya hingga lapan generasi atau pun 240 tahun lamanya. Kampung Sungai Temon juga merupakan rumah bagi Jefree Salim, seorang nelayan yang juga aktif dalam fotografi merakam kehidupan seharian yang manjoritinya Orang Seletar.

Setelah bertahun mengumpul gambar dalam simpanan, Jefree kini dengan kerjasama Gallery Gerimis sedang mempamerkan karya-karyanya dalam pameran berjudul Seletar, Sea People of Johor yang kini sedang berlangsung di GMBB Kuala Lumpur sehingga 30 Nov 2022.

Kamera pertama yang saya gunakan merupakan sebuah kamera yang adik saya terjumpa di kala dia sedang bermain sekitar tahun 2002,” ujar Jefree tentang bagaimana minat beliau terhadap fotografi timbul. Tertarik dengan keupayaan fotografi untuk merakam situasi, minat Jefree terhadap fotografi makin membara setelah dia terlihat gambar adiknya dipamerkan di sebuah pameran berkenaan orang Seletar yang diadakan di bandar Johor Bahru ketika itu.

Selain daripada melakukan kerja hakikinya sebagai nelayan, Jefree mula merakam gambar-gambar ketika waktu lapangnya. “Pada mulanya pembelajaran sedikit sukar kerana belajar sendiri, namun ramai kawan-kawan yang membantu saya dengan memberi tunjuk ajar dan kritikan kepada saya,” tambah Jefree tentang bagaimana dia belajar seni fotografi ini.

Kini Jefree menggunakan kamera yang telah dihadiahkan kepadanya oleh seorang teman dari Singapura. “Ketika itu, kawan saya telah mencadangkan kerjasama dengan dia untuk menghasilkan sebuah filem pendek berkenaan orang Seletar untuk permohonan PhD dia namun saya menyatakan saya bukanlah pakar dan tiada kamera pun. Kemudiannya, saya dijemput ke Singapura lalu dia menghadiahkan saya kamera yang sehingga kini saya gunakan,” tambah Jefree.

Setelah hampir dua dekad mendalami ilmu fotografi, Jefree kini sudah berjaya membuat pameran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan juga Singapura. Pada asalnya, projek merakam kehidupan Seletar ini dimulakan kerana Jefree nampak bahawa perubahan pesat berlaku tidak mungkin dapat dikembalikan, Jefree menambah, “Terdapat banyak perubahan tempat, kampung dan lanskap hutan bakau telah berlaku sepanjang saya merakam kehidupan orang Seletar ini dan saya berharap gambar saya menjadi kenangan dan rujukan untuk generasi hadapan.”

Selain daripada pameran yang sedang berjalan, Jefree juga dengan kerjasama Gerimis Gallery ada menerbitkan buku foto yang berkongsi judul dengan nama pameran ini. Isi kandungan buku menceritakan tentang sejarah orang Seletar dan mempunyai empat bahagian iaitu Orang Laut, Penghidupan, Perubahan Landsap dan Di Sini, Sekarang, dan Kemudian? Sarat dengan gambar hasil rakaman Jefree, terdapat juga sejarah orang Seletar dan juga leluhur keluarga Jefree di mana bapanya, Batin Salim merupakan ketua bagi Kampung Sungai Temon.

“Saya berharap kepada semua yang melihat karya saya dalam pameran mahupun buku foto ini sedar tentang kehidupan dan perubahan yang berlaku terhadap orang Seletar,” tambah Jefree lagi. Pameran gambar Jefree Salim sedang berlangsung di Gallery Gerimis, GMBB, Unit GM-3-18 & 3-19 at, 2, Jalan Robertson sehingga 30 Nov dan ia dibuka setiap hari dari jam 11pg – 8mlm. Bagi yang berminat untuk membuat mendapatkan buku foto Jefree, boleh mengikuti pautan ini untuk membuat pesanan.

Anda juga boleh ikuti kisah lain yang menarik di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites