Kebangkitan budaya Bajau Laut bersama WAPO

Bermula dengan usaha pemeliharaan penyu, WAPO kini mengekalkan tinggalan nenek moyang dengan memartabatkan tradisi mereka.

Oleh YUSRA ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Nilai kehidupan dan kebudayaan yang berbeza,

Disebabkan perpisahan di antara darat dan laut,

Perpisahan kami hanyalah sempadan khayalan.

Kejahilan ialah punca perpisahan kami.

Diharap dengan perkongsian tepo bajau laut,

Dapat mengurangkan jurang kebudayaan antara kami,

Moga dibuka luas pandangan Bajau Laut,

Yang kaya dengan tradisi dan warisan tersendiri.

Bumi Malaysia kaya dengan kepelbagai khazanah tradisi dan warisan. Sama ada di laut, darat mahupun kepulauan yang tesergam indah. Di sekitar perairan Sabah sahaja, terdapat lebh 50 buah pulau.  

Oleh kerana taburan pulau di sini, pasti ramai yang masih tidak tahu akan kewujudan Pulau Omadal. Sebuah pulau yang terletak berhampiran Semporna Sabah di Lautan Sulawesi. Terdapat beberapa kaum yang menetap di sini, antaranya etnik daripada kaum Bajau Laut.

Lazimnya penduduk Pulau Omadal menjalankan ekosistem marin dalam kehidupan harian dek kerana factor geografinya yang berada di kepulauan perairan Sabah.

Namun begitu terdapat sekumpulan wanita dari Pulau ini telah menubuhkan Persatuan Wanita Pulau Omadal (WAPO) pada Januari 2010. Kumpulan yang hanya bermula dengan empat orang ahli ini telah mendapat sokongan dan bimbingan daripada WWF-Malaysia.

Persatuan WAPO ini ditubuhkan bagi mengurus ekosistem marin secara mapan. Mereka juga menggunakan persatuan WAPO untuk membincangkan dan menangani isu-isu sosio-ekonomi yang berkaitan dengan wanita Bajau Laut seperti isu kemiskinan. Di samping itu, mereka juga cuba memelihara dan mengekalkan tradisi dan budaya masyarakat Bajau Laut.

Wanita Bajau Laut terkenal sebagai penenun tikar pandan yang handal. Mereka memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan kraf tangan tradisional ini dengan menjadikan tikar anyaman pandan dan hasil produk anyaman lain sebagai sumber pendapatan.

Menurut Pengerusi WAPO, Roziah Jalalid, wanita-wanita Pulau Omadal telah memanfaatkan kepakaran mereka dalam kraf tangan tradisional sebagai alternatif bagi membantu ekosistem utama mereka di pulau itu.

“Pada awal penubuhan WAPO, orang ramai berminat untuk menyokong usaha pemuliharaan penyu kami. Oleh itu, mereka menyokong WAPO dengan membeli produk anyaman yang dibuat oleh WAPO”, tambah Roziah Jalalid.

Mereka memutuskan untuk menyumbang 10% daripada hasil penjualan kraf tangan mereka kepada dana pemuliharaanpenyu persatuan WAPO.Hasrat permulaan WAPO ialah untuk melindungi dan meningkatkan kesedaran dalam pemeliharaan dan pemuliharaan penyu di persekitaran Pulau Omadal.

Hasilnya, bukan sahaja pemuliharaan penyu di Pulau Omadal mendapat kesedaran awam, namun budaya Bajau Laut juga mendapat perhatian umum.

Pusat penetasan penyu di Pulau Omadal – sumber: Facebook @wanitapulauomadal

Menurut kisah disebalik penduduk kaum Bajau Laut di Pulau ini, mereka pada asalnya adalah perantau laut yang tinggal di rumah perahu di sekitar Kepulauan Sulu sejak beberapa abad yang lalu. Ada juga yang menetap di perairan Sabah.

Walau bagaimanapun, cara hidup mereka sebagai perantau laut telah menyebabkan kesukaran untuk mereka mendapatkan status kewarganegaraan. Kini walaupun ramai antara kaum Bajau Laut yang telah diberikan status kewarganegaraan dan mengamalkan hidup sedentari, namun masih ada yang terus hidup sebagai perantau laut seperti nenek moyang mereka.

Akibatnya, mereka tergolong sebagai masyarakat terpinggir yang tidak mempunyai akses kepada hak asasi manusia seperti kemudahan penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Walaupun Bajau Laut merupakan masyarakat terpinggir, mereka sebenarnya kaya dengan budaya dan warisan tradisional. Antara kraf-kraf tradisional yang Bajau Laut warisi adalah seperti; lapohan, dapur tanah liat yang digunakan di atas rumah perahu; ukiran sunduk, penanda kubur kayu yang diukir halus; dan tepo, tikar anyaman pandan yang menggunakan warna-warna yang terang dan bercorak rumit dan halus.

Tikar anyaman pandan daripada WAPO, saiz 4’ x 5’ -sumber: Facebook @RoziahZiah

Tepo ialah objek harian yang digunakan oleh Bajau Laut untuk tidur, menerima tetamu, dan juga untuk upacara dan perayaan sebagai pelamin pengantin. Tepo digunakan dari saat kelahiran bayi dan sepanjang hayat mereka sehingga ke upacara pengebumian. Ia merupakan objek harian yang penting buat masyarakat Bajau Laut dan sebahagian besar daripada kehidupan sosial mereka.

Uniknya Tepo daripada kaum Bajau Laut ini kerana corak dan warna yang digunakan merupakan inspirasi daripada alam sekitar dan cara kehidupan laut mereka. Walau bagaimanapun, seni pembuatan tepo semakin berkurangan kerana generasi muda kurang berminat untuk mempelajari dan mengekalkan bentuk seni ini. Ini merupakan antara sebab megapa wanita-wanita di pulau Omadal menganyam dan meneruskan warisan daripada nenek moyang mereka untuk mengekalkan tradisi ini.

Melalui persatuan WAPO, mereka berkongsi ilmu pembuatan tepo sambil mengutarakan kesedaran pemuliharaan penyu. Melalui pendedahan budaya ini, kisah-kisah kehidupan Bajau Laut sebagai masyarakat terpinggir juga mendapat lebih banyak perhatian.

Tikar anyaman pandan ini pula bukan sahaja menyumbang kepada usaha pemuliharaan penyu, malah menjadi antara suara di sebalik masyarakat Bajau Laut yang terpinggir melalui perkongsian tradisi dan warisan budaya mereka.

Wanita-wanita persatuan WAPO gigih dalam meningkatkan diri mereka dengan kemahiran lain yang diperlukan untuk mengekalkan usaha mereka selama ini. Dengan bantuan yang diberikan oleh persatuan lain seperti WWF-Malaysia dan Kraftangan Malaysia, Persatuan WAPO diberi latihan untuk mengekalkan aktiviti mereka.

Antara bantuan yang diberi termasuklah latihan dari segi pengendalian perusahaan Persatuan WAPO; bengkel-bengkel untuk menambah kemahiran dalam pembuatan pelbagai produk kraf. Selain itu pengetahuan pemuliharaan penyu, seperti pemantauan dan rondaan di pulau serta pengurusan tempat penetasan penyu turut diberikan kepada mereka.

Dengan kemahiran menghasilkan pelbagai produk kraf, membuka lebih banyak peluang kepada wanita Bajau Laut. Jesteru, ini membantu mereka mengekalkan budaya penganyaman tikar pandan.

Memandangkan permintaan terhadap produk kraf tangan persatuan WAPO meningkat, wanita Bajau Laut di pulau Omadal tidak perlu pergi menangkap ikan bersama suami bagi mencari sumber pendapatan. Ini sememangnya memberi impak yang posotof dalam meningkatkan ekonomi setempat terutamanya dalam membantu wanita Bajau Laut.

Latihan kepada pengenalan pengurusan penetasan telur penyu oleh pengerusi WAPO, kak Roziah
– sumber: Facebook @wanitapulauomadal

Dengan impak yang positif ini, WAPO kian berkembang dan kini mereka memunyai lebih 30 orang ahli termasuk golongan remaja Bajau Laut. Walaupun mereka bermula dengan empat orang ahli sebagai usaha untuk pemeliharaan dan pemuliharaan penyu sahaja, mereka sebenarnya secara tidak langsung telah berjaya menghidupkan semula dan terus mengekalkan budaya kraf tangan, tikar tradisional mereka.

Usaha persatuan WAPO selama ini telah mengurangkan tahap kemiskinan dan membolehkan wanita-wanita yang terlibat memperoleh pendapatan tambahan daripada menganyam tikar. Di samping itu, usaha mereka juga telah memberi inspirasi kepada generasi muda, dan remaja-remaja Bajau Laut untuk lebih cenderung untuk mempelajari kraf tersebut daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Perjalanan mereka memberi inspirasi kerana dengan niat yang murni untuk memelihara penyu, secara tidak langsung mereka dapat membangunkan serta mengekalkan tradisi dan budaya Bajau Laut. Diharap, tikar anyaman pandan atau tepo ini kekal penting kepada masyarakat mereka dan warisan budaya Bajau Laut ini dapat dinikmati untuk generasi akan datang.

Yusra Zulkifli merupakan peserta daripada CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021. Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites