Kasih sayang ibu, guru dan kecekalan seorang anak autisme yang istimewa

Seorang anak yang mempunyai kecelaruan spektrum Autisme tidak bermakna mereka lemah atau mempunyai kekurangan malah mereka ini sebenarnya amat istimewa.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

“Tak mudah, tetapi dengan adanya usaha sebagai satu pasukan, teamwork yang sangat kuat ini kami amat gembira dan berbangga dengan hasil yang telah kami capai sebagai satu pasukan.” – Jack Wan

Muzik merupakan sebuah terapi yang mampu menenangkan seseorang. Apabila kita berasa tertekan, sedih mahupun kecewa, muzik boleh bantu membawa seseorang itu keluar daripada kegelapan. Ini juga dapat kita lihat dalam diri seseorang yang mempunyai kecelaruan spektrum autisme. 

BASKL baru-baru ini berpeluang untuk menemuramah Jack Wan, seorang pemuzik gendang yang berumur 33 tahun mengenai pengalamannya dalam mendidik seorang anak autisme bernama Nicholas Mathew. Wan merupakan salah seorang daripada ahli HANDS Percussion yang telah dipilih untuk membuat persembahan mempromosikan Malaysia di Expo Dubai. Cerita berkenaan pengalaman mereka di Dubai ada di pautan ini.

Selain daripada kumpulan pemuzik dan ahli tetap professional HANDS Percussion ini, mereka juga terlibat dalam memberi latihan dan bengkel kepada orang awam untuk turut sama mendalami dunia muzik. 

Nicholas Mathew (berbaju hitam) dan ibunya Lim Ang Nei (pertama dari kanan) bersama pasukan HANDS Percussion Open Public Workshop.

Antara inisiatif mereka adalah sebuah bengkel terbuka iaitu Open Public Workshop” yang dianjurkan oleh HANDS Percussion bagi memperkenalkan siapa mereka kepada orang ramai dan juga memberi peluang kepada mereka yang ingin mempelajari ilmu muzik terutamanya gendang.

Apabila kita bicara mengenai usaha HANDS Percussion dalam mendidik anak autisme ini, Wan berkata semuanya bermula tiga tahun yang lalu dalam sebuah sesi Open Public Workshop mereka di Damansara Performing Arts Centre (DPAC). 

“Sesi ini kami buka kepada orang ramai yang berumur 13 tahun ke atas,” kongsi Wan kepada kami. Walapun mereka tidak membuat paparan bahawa kelas ini hanya untuk orang yang mempunyai kesempurnaan fizikal dan mental namun mereka tidak pernah terfikir untuk mula membuka kelas itu kepada anak autisme. 

Sehinggalah ibu kepada seorang anak autisme Lim Ang Nei, 63, datang kepada mereka. “Bolehkah anak saya Nicholas mengikuti bengkel HANDS?” tanya Lim kepada pasukan HANDS Percussion.

“Sebenarnya HANDS Percussion telah berbincang antara kami untuk membuat keputusan besar ini kerana melatih seorang anak autisme adalah suatu yang berbeza dan tidak pernah kami lakukan sebelum ini,” tambahnya menjelaskan keadaan ketika itu.

Namun setelah berbincang, mereka sepakat bersetuju untuk membenarkan Nicholas Mathew, 26, untuk menjadi salah seorang peserta bengkel tersebut. “Kami fikir tidak ada sebab untuk kami menolak permintaan seorang ibu ini. Beberapa kali dia bertanya kepada kami dan kami nampak indahnya kasih sayang dan keikhlasan seorang ibu ini kepada anaknya,” kata Wan. Maka pada saat itulah bermulanya perjalanan kumpulan HANDS Percussion dalam melatih seorang anak autisme yang cukup istimewa bernama Nicholas ini. 

Nicholas Mathew (lima dari kiri) diajar oleh pelatihnya.

Melatih seorang anak autisme belum pernah dilakukan oleh mereka jadi sebagai satu langkah persediaan, mereka telah mengambil seorang tenaga pengajar tambahan bagi membantu proses ini. “Tentunya ada cabaran yang tersendiri dalam melatih seorang anak autisme dan secara jujur, beberapa minggu yang awal itu Nicholas memang agak terkapai-kapai untuk mengikutinya,” kongsinya lagi. 

Usaha HANDS Percussion untuk melatih Nicholas ini tidak dapat dijayakan tanpa sokongan yang cukup kuat dan hebat daripada ibunya. Dari awal, ibu Nicholas akan turut serta dalam setiap kelas mereka. Wan turut berkongsi antara cara-cara mereka mengadakan latihan.

“Nicholas akan memberi tumpuan kepada dua individu, yang pertama adalah kepada gurunya dan kedua adalah kepada ibunya. Apa yang dibuat oleh kedua individu ini, Nicholas akan ikut 100 peratus,” inilah langkah yang difikirkan sesuai untuk melatih seorang anak autisme, namun sudah tentu tanpa kesungguhan Nicholas sendiri, usaha ini tidak mungkin akan membuahkan hasil. 

“Saat pertama saya bertemu dengan Nicholas dan ibunya, saya sudahpun merasa satu ikatan yang cukup murni dan kuat. Saya tak dapat nak memberi penjelasan dengan kata-kata tetapi memang kita dapat rasa kewujudan kasih sayang itu. Apa yang ibunya mahukan adalah untuk anaknya mendapat suatu penglaman yang baharu, suatu pengalaman yang dapat memberi keseronokan kepada anaknya yang istimewa ini,” tambahnya yang penuh emosi menjelaskan situasi yang dia rasai.

“Secara peribadi pada peringkat awal, saya amat risau akan perasaan ahli-ahli yang lain dan memang perjalanannya bukanlah sempurna setiap masa. Namun hari demi hari, kesemua ahli dapat memahami dan melihat kesungguhan Nicholas dan ibunya dalam membuat latihan. Akhirnya, semua ahli yang lain turut sama membantu dan kalau saya banding dengan sesi kumpulan yang lain, saya rasa inilah kumpulan yang paling kuat perikatan persahabatannya,” katanya lagi.

Apabila masuk tahun 2020, pandemik COVID-19 telah melanda dunia. Walaupun telah setahun Nicholas menjalani latihan gendang namun sebagai seorang anak autisme cabaran yang telah sedia ada itu menjadi lebih mencabar buat pelatih dan juga buat ibunya. 

Autisme ini mempunyai beberapa kategori dan kelas. Nicholas merupakan seorang anak autisme yang berada diantara kategori “severe” dan “moderate” dan dia boleh mengikut arahan dengan baik walaupun agak perlahan jadi mereka ingin cuba untuk tetap teruskan latihan. 

Secara saintifiknya pula, gendang adalah alat muzik yang paling hampir dengan degupan jantung seorang manusia. Apabila seorang anak autisme itu berada di dalam satu melodi irama gendang secara kumpulan, anak itu akan berasa tenang dan selari mengikut tempo kumpulan. Itulah sebabnya, mereka masih ingin meneruskan latihan walaupun dalam tempoh PKP kerana kesan positifnya memang dapat dilihat.

Latihan secara atas talian sewaktu PKP

“Kami tetap ingin meneruskan latihan secara atas talian sewaktu PKP yang pertama dan sebenarnya itu adalah saat yang memang paling mencabar,” kata Wan. Seorang individu yang mempunyai autisme ini akan cepat hilang fokus dan itulah sebabnya latihan bersemuka itu penting. Sesi latihan bersemuka sedia ada memang mencabar inikan pula secara atas talian. 

Namun bak kata pepatah, genggam bara api biar sampai ke pangkal lengan. Pasukan mereka percaya, cara yang betul dapat mengeluarkan hasil yang baik, ini yang membuatkan mereka terus mencari solusi bagi meneruskan latihan Nicholas walaupun sewaktu pandemik. 

Pada bulan April ini, kumpulan HANDS Percussion akan memulakan kembali kelas mereka secara fizikal dan Nicholas bukan lagi satu-satunya anak autisme yang akan turut bersama dalam kelas mereka. Orang lain juga telah mula mendekati kumpulan ini untuk tujuan yang sama. Inilah dia yang dinamakan sebuah hasil yang baik, datangnya daripada sumber, kasih sayang seorang ibu, dedikasi ikhlas seorang guru dan kegigihan seorang anak autisme. 

Untuk menonton dan mengenali lebih lanjut mengenai kumpulan HANDS Percussion ini, anda boleh layari laman YouTubeFacebook dan Instagram mereka. 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites