Karya baru Red Hong Yi di Balai Seni Negara

Longtang atau pun rumah di lorong yang banyak di Shanghai kini semakin hilang ditelan zaman.

oleh DANIAL FUAD

Menjejak kaki masuk ke pintu hadapan Balai Seni Negara, para pengunjung disapa dengan perancah yang dibuat melalui buluh setinggi lebih 5 meter. Ini merupakan karya terbaru daripada seniman Red Hong Yi, Once Upon a Longtang yang kini sedang dipamerkan di Ruang Hanya Satu, Balai Seni Negara. Pada sekitar tahun 2011, Red telah bermastautin di Shanghai ketika menyambung pelajarannya di sana, di mana beliau telah tinggal di rumah lama sekitar lorong-lorong yang digelar longtang. “Karya ini diilhamkan apabila adik saya yang tinggal di sana selepas saya memberitahu bahawa rumah yang saya tinggal sebelum ini bakal dirobohkan,” ujar Red tentang bagaimana karya ini bermula.

“Setelah melihat kembali gambar-gambar lama semasa saya di sana, saya tergerak untuk menghasilkan karya susun letak ini supaya orang ramai didedahkan tentang kawasan seperti ini dan orang yang tinggal di sana,” tambah seniman yang berumur 37 tahun tersebut. Karya yang dihasilkan merupakan gabungan lapan catan dan baju-baju lama yang disidai di atas buluh. Red menyatakan, “apabila anda melalui lorong di sana, anda dapat menyaksikan banyak pakaian yang disidai di atas buluh dan pada saya, itu merupakan tanda kehidupan”. Penggunaan buluh sebagai perancah merupakan suatu yang tidak asing lagi di Asia dan dapat dilihat di negara lain seperti Filipina dan Indonesia juga luas menggunakannya.

Semasa di Shanghai, Red telah tinggal bersama dua orang nenek saudara dan seorang atuk saudaranya. Keluarga Red berasal daripada China dan oleh sebab yang tidak dapat dielakkan, datuknya telah berhijrah ke Malaysia. “Pada mulanya, saya sedikit risau tentang penerimaan saya di Shanghai akan tetapi, mereka sangatlah gembira menerima saya walaupun saya tidak membesar bersama mereka,” ujar Red.

Semasa di sana, Red telah merakam banyak gambar tentang bagaimana kehidupannya di sana dan untuk karya ini, beliau telah memilih lapan gambar yang rapat dengannya untuk dijadikan catan. “Saya telah memilih gambar-gambar yang merupakan rangkuman memori saya tentang bagaimana keadaan di sana dan orang yang berinteraksi dengan persekitarannya,” ulas Red. Dia menambah lagi, “antara gambar yang dipilih adalah gambar nenek saudara saya duduk santai di atas sofa membaca surat khabar dan juga gambar gerai mi di jalanan.”

Red merupakan seorang seniman yang dikenali sebagai seorang yang tidak menggunakan berus untuk menghasilkan catan. Antara karya yang mempamerkan teknik ini merupakan siri potret beliau yang dihasilkan menggunakan pelbagai jenis bahantara seperti bola keranjang, stokin dan juga penyepit buluh. “Apabila saya membakar kertas kaligrafi tersebut, pigmen merah daripada kertas itu akan terpindah ke kanvas dan saya sangat menyukainya,” ujar beliau yang sedang meneroka bahantara kertas kaligrafi merah Cina. “Tetapi mungkin juga sebab saya memang suka bermain dengan api,” tambah Red yang juga telah menghasilkan karya untuk muka depan Times dengan membakar 50,000 batang mancis.

Kerana skala projek ini yang besar, Red telah bekerjasama dengan dua lagi organisasi di mana salah satunya adalah Kloth Circularity. Organisasi ini mengumpul baju-baju yang terpakai untuk tujuan kitar semula dan Red telah bekerjasama dengan mereka untuk mendapatkan pakaian untuk digantung dalam karyanya. Red mengulas, “kerjasama dengan mereka ini telah membuka mata saya tentang bagaimana fast fashion memberi impak yang besar terhadap pembuangan pakaian”.

Better Bamboo Building diterajui oleh Ewe Jin Low dan beliau banyak membantu dengan mengadakan bengkel bagaimana mengendali buluh kerana ini merupakan kali pertama kami menggunakannya,” ujar Red tentang organisasi kedua yang turut terlibat dalam penghasilan karya ini.

Once Upon a Longtang menceritakan pengalaman Red ketika di Shanghai tetapi terdapat juga mesej tentang hubungan kekeluargaan dan menghargai apa yang kita ada. “Saya boleh sahaja menyewa rumah sendiri ketika di sana, tetapi berkongsi ruangan bersama tiga orang yang jauh lebih tua ini adalah satu pengalaman yang sangat indah untuk saya,” ulas beliau. Kini ketiga-tiga datuk dan nenek saudara Red telah meninggal dunia dan boleh dikatakan karya ini juga merupakan sebuah penghormatan kepada mereka. Karya ini sedang dipamerkan di Ruang Hanya Satu di Balai Seni Negara sehingga 22 Mac 2023.

Terdapat banyak lagi kisah menarik di BASKL seperti di pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites