Kakiseni Junior membantu guru dan ibubapa meluangkan masa bersama kanak-kanak mencari aktiviti yang menarik berkaitan seni dan kreatif.
Oleh WAN NOR ALIA ALI
Mencari aktiviti di rumah untuk keluarga dan anak- anak? Pastinya, Kakiseni Junior boleh membantu anda selesaikan masalah ini.
Kakiseni Junior merupakan platform online (dalam talian) membantu guru dan ibubapa meluangkan masa bersama kanak-kanak mencari aktiviti yang menarik berkaitan seni dan kreatif.
Antara program yang disediakan adalah aktiviti kemahiran hidup, seni persembahan, seni tradisional dan seni visual.
Selain itu, Kakiseni Junior juga merupakan platform (landasan) kepada golongan artis dan organisasi memperkayakan seni mereka sekaligus dapat membangunkan Industri Seni Malaysia dalam usaha memupuk minat kanak-kanak memahami seni dan budaya dengan lebih mendalam lagi.
Berikut antara lima program menarik yang disajikan Kakiseni Junior:
Menghasilkan Seni Kolaj Bersama Afi Sulaiman di Afi Studio secara dalamtalian. Sesuai untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, aktiviti ini dapat membantu kanak- kanak mempelajari seni dengan menggunakan hasil guntingan dan tampalan daripada majalah lama untuk menghasilkan kolaj. Ia juga dapat membantu menghilangkan stress dan merangsang kreativiti kanak-kanak dengan menghasilkan karya mereka.
Wayang kulit merupakan teater warisan tradisi yang menggunakan prinsip cahaya dengan memantulkan patung wayang kulit yang lazimnya dibuat sendiri. Penceritaan wayang kulit dibuat oleh seorang pencerita atau dikenali sebagai dalang diiringi alunan muzik tradisional.
Dalam kelas ini, anda berpeluang membuat patung wayang kulit bersama seisi keluarga dan mempelajari teknik membuat wayang kulit bersama Mekkolupo. Kelas seterusnya pada Jun 19, jam 8.30 malam hingga 10.30 malam. Semak laman web untuk kelas terkini.
Melatih anak anda memberanikan diri dari kecil, pastinya program Speech & Drama Club Sandwich menawarkan aktiviti yang menyeronokkan untuk membina keyakinan diri kanak- kanak. Kelas ini dibahagikan kepada lapan peringkat dari kanak-kanak seawal usia tujuh tahun ke atas. Antara pembelajaran yang akan diperolehi mereka dalam kelas ini adalah kemahiran interpretasi dengan penyampaian yang lancar selain dapat belajar bertindak secara spontan. Semua pembelajaran ini juga dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Jom sertai kelas Amina Jindani seorang guru yang berpengalaman dalam penulisan dan drama.
Berminat untuk menari? 2TWENTY2 STUDIO menawarkan kelas kepada mereka yang baru hendak menjinakkan diri dengan tarian Hip Hop. Studio yang telah beroperasi sejak tahun 2017 ini mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman dalam tarian hip hop. Pastinya, terbuka kepada mereka yang tidak mempunyai asas dalam tarian ataupun ingin memperbaiki cara tarian mereka.
Sesuai untuk semua! Kelas muzik tahap satu ini mengajar teknik asas muzik merangkumi pembacaan nota muzik, irama dan banyak lagi. Menawarkan pembelajaran asas muzik hingga ke tahap lima dengan menggunakan sistem The Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM) iaitu sistem peperiksaan yang berdaftar di London, England sebagai penilaian dan kaedah pembelajaran untuk pelajar. Kaedah ini juga, dapat membantu pemahaman pelajar dalam seni muzik dengan lebih mudah. Tan Mei Yi yang juga dikenali sebagai Genie Tan mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam industri seni persembahan, merupakan antara pengajar Kakiseni Junior.
Untuk maklumat lanjut berkenaan kelas pilihan anda, sila layari www.kakisenijunior.com . Semoga usaha ini dapat membantu ibu bapa atau guru untuk mencari aktiviti yang menarik serta sesuai kepada anak-anak mereka dan pelajar ketika negara mengenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak COVID-19.