Bersama penulis, kami ingin berkongsi bersama anda, antara aktiviti yang terdapat di Terengganu.
Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Pada cuti persekolahan yang lalu, BASKL berkesempatan untuk mencuba aktiviti di sekitar Negeri Terengganu Darul Iman. Kalau dah kemari, tak sah kalau kita tidak mencuba untuk mencanting batik. Negeri ini pastinya terkenal dengan batik yang cukup cantik dan menawan untuk dipakai sehari-hari.
Kunjungan kami kali ini membawa ke Noor Arfa Craft Complex atau NACC dan berjumpa dengan Encik Oslan Suriadi Muda, Penyelia Bahagian Demokrasi Batik, yang sudah lebih 17 tahun mempertahankan kesenian batik di NACC.
“ Di NACC ni terdapat dua jenis batik asli, iaitu Batik Canting atau lukis tangan dan Batik Terap atau blok. Kalau nak sebut perbezaan antara Batik Terengganu dan negeri lain, memang tak banyak beza, tetapi kalau Malaysia dan Indonesia tu ada.”
“Batik Malaysia lebih kepada flora dan abstrak sahaja, manakala Indonesia pula menggunakan corak flora, fauna, abstrak dan geometric. Mereka menggunakan keempat-empat motif batik,” Tambah Oslan lagi.
Jadi dah alang-alang kami melawat NACC ni, tak sah kalau kami tak cuba sendiri untuk mencanting. Tetapi sebelum itu, kami ingin kongsikan antara bahan-bahan serta cara untuk mencanting batik buat semua pembaca BASKL.
Bahan-bahan untuk mencanting batik
- Pensel warna
- Pen khas untuk mencanting (dakwat lilin)
- Pewarna Remasol (serbuk warna campur air dari German)
- Pallet dan berus warna air
- Kanvas kain
Proses menghasilkan batik
- Lukis boarder mengelilingi bingkai kanvas anda (tips ini adalah untuk mereka yang melukis atas kanvas kain untuk diletakkan dalam bingkai gambar dirumah)
- Lukis atas kanvas kain | TIPS: Penting untuk tahu apa yang anda ingin hasilakn, contoh gambar hiasa dinding, baju kaftan, kain dan sebagainya supaya anda tahu apa dan dimana yang perlu dilukis.
- Proses melilin mengikut hasil lukisan di atas kanvas kain, bertujuaan untuk menghalang warna dari merebak | TIPS: Apabila mengambil lilin, goyangkan pen canting dan tuang lilin kembali ke dalam bekas agar lilin yang tersumbang cair, lakukannya beberapa kali sebelum mula mencanting
- Proses mewarna yang kemudiannya akan dibiarkan semalaman sehingga betul-betul kering.
- Selepas itu, kain yang sudah kering akan direndam dalam sodium salikat selama 8 jam bagi mengekalkan ketahanan warna pada kain | TIPS: Jika rendaman tidak cukup 8 jam, kain akan mudah luntur.
- Selepas 8 jam, kain akan dibasuh dan direbus serta dibiarkan untuk kering. Kemudian kain sedia untuk dihantar untuk dijahit.
Sedikit informasi berguna buat pembaca daripada Oslan,
“Bila sebut batik ramai orang pakai batik tapi tak asli. Corak sahaja batik, contoh corak batik yang berbunga. Apabila beli baju terdapat corak bunga , walhal itu hanya tekstil yang bermotifkan batik sahaja. Cara mudah untuk lihat keaslian baju batik ialah depan dan belakang kain mempunyai corak yang sama,” katanya.
Seperti seni tradisi warisan yang lain, batik semakin mendapat tempat di hati anak muda zaman sekarang. Jika dulu ramai mengenakan kain sarong, kini generasi muda sukakan corak batik yang terdapat pada sepasang baju kurung. Pelbagai reka bentuk batik dipadankan dengan rekaan baju moden agar seni ini kekal searus perdaran zaman.
Tidak kurang juga bagi mereka yang ingin mempelajari seni ini. Terdapat banyak ruang kursus untuk mereka yang berminat untuk mempelajari teknik penghasilan batik, antaranya Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan Krattangan Malaysia bagi melahirkan generasi pelapis kesenian ini.
Bagi anda yang berjalan ke negeri Terengganu dan ingin cuba mencanting dia NACC, anda boleh klik di sini untuk menempah slot anda. Jangan lupa untuk jalan di Pasar Payang dan cari 5 produk tarikan Pasar Payang.