Hayati alunan ambien buluh istimewa di KLWKND!

Duo Kicau Bilau dan kumpulan UiTM Bamboo Sound Arts bawakan dendangan merdu bersempena KLWKND pada 27 dan 28 Nov 2021.

Oleh NABILA AZLAN

Art In The City semakin rancak! Penghayatan seni secara holistik digiatkan lagi menerusi KLWKND, festival hujung minggu yang memaparkan pelbagai corak kesenian, misalnya persembahan, visual dan rekaan.

Festival empat hari ini pastinya akan membuka mata anda terhadap pelbagai bentuk pengalaman baru. Salah satu tema unik yang diketengahkan adalah berkisarkan buluh atau bambu sebagai medium alternatif ke arah pembangunan seni. Bagi para peminat muzik tempatan, sesi santai Intriguing Instruments membawakan persembahan yang mengasyikkan dari dua kumpulan pemuzik buluh tanah air. Ketahui cerita mereka dalam pembawaan ‘soundscape’ sebagai tawaran unggul.

KICAU-BILAU

Duo yang kini berpaksi di Johor ini terdiri daripada Ahmad Irfan Md Razib, 27, sebagai gitaris dan Nur Jihan Mohd Salleh, 26 sebagai pemain angklung yang juga merupakan pasangan suami isteri. Asas penubuhan Kicau-Bilau pada tahun 2017 ialah sebagai sebuah bentuk curahan kreatif untuk keluar dari genre lazim mereka berdua, merangkap sesi untuk meluangkan masa lapang bersama. (Untuk pengetahuan anda, Irfan dahulunya sebahagian kumpulan punk ya!) Namun, Kicau-Bilau bercambah menjadi sesuatu yang lain selepas beberapa tahun kewujudannya.

Sebagai pemuzik muda yang membawakan bunyian nyaman dan berunsurkan alam semulajadi, corak persembahan Kicau-Bilau berkonsep terbuka atau open-ended. “Kami tidak terikat dengan komposisi tetap dan boleh dikatakan, lagu yang dimainkan dalam persembahan kami merupakan improvisasi pada masa-masa tertentu,” kata Jihan. “Pengalaman memang mematangkan kualiti persembahan kami dan sekarang, perjalanan setiap persembahan tampak lebih jelas.”

Sedikit pengenalan terhadap melodi mereka.

Muzik ambien mereka lazimnya berdurasi antara 30 ke 45 minit tanpa henti. Sebelum persembahan dimulakan, Irfan dan Jihan akan bersepakat dalam pemilihan tema bunyi. Formula istimewa Kicau-Bilau yang separa rawak ditetapkan begini – Irfan akan memainkan bunyian dron (drone tune) dalam not pilihan menggunakan gitarnya, diikuti alunan angklung oleh Jihan sebagai pelengkap runut. Melalui cara ini, tempo dan ritma tidak akan bercanggah. “Kami turut mengalu-alukan elemen kejutan di dalam setiap persembahan,” terang Jihan. “Jika sebelum ini ada kicauan burung dan tarian kolaborasi sebagai penambah rasa, kami tidak sabar untuk nantikan apa pula yang bakal menyusul!”

Ada apa dengan nama ‘Kicau-Bilau?’ Kata Irfan yang meminati muzik sejak di bangku sekolah lagi, “Ia merupakan simbol kata ‘antonim’ kami yang menginginkan sesuatu demi meneutralkan yang kusut, dengan ketenangan sebagai bekalan.” Menurut dia dan Jihan, lagu-lagu yang dibawa nanti akan menjadi halwa telinga bagi mereka yang meminati bunyian meditative atau spiritual – tidak dilupakan juga, mereka yang menginginkan muzik tenang sebagai tiket untuk berehat sebentar dari belenggu kehidupan.

ENSEMBEL UiTM BAMBOO SOUND ARTS

Dengarkan ini sebagai pengenalan ensembel.

Ensembel yang ditubuhkan pada tahun 2017 ini merupakan taruhan untuk merapatkan jurang akademia dengan industri seni muzik di Malaysia. Terbentuknya kumpulan ini sejurus kajian alatan muzik buluh tempatan, UiTM Bamboo Sound Arts terus menempa nama sebagai entiti yang memperjuangkan bukan sahaja perubahan di arena seni persembahan tetapi inovasi dalam rekaan, teknologi mampan dan warisan turun-temurun.

Teras bagi ensembel ini terdiri daripada tenaga penyelidik dan pengajar di Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, iaitu Prof Dr Ramona Mohd Tahir, Dr Ahmad Rithaudin Md Noor, Mohd Kamrulbahri Hussin (Kamrul) serta Radzali Mustaffa. Mereka giat dalam usaha membangunkan artisan tradisional dan memperkenalkan alatan serta bunyian buluh kepada mereka yang belum pernah menghayati melodi sepertinya. Ulas Dr Rithaudin, “Kajian muzik ini mengumpulkan alatan yang jarang dimainkan di khalayak ramai seperti gendang kecapi buluh yang menyumbang kepada susur galur warisan tempatan.”

“Kami berpeluang menjejaki Kelantan dan Sabah bagi mengenali muzik bambu secara dekat,” kata Prof Dr Ramona. “Ketahuilah bahawa ada banyak lagi alat muzik yang belum digali dan dikaji, terutamanya yang berkait rapat dengan kehidupan komuniti orang asal.” Melalui keasyikan irama yang dihasilkan oleh alat muzik buluh ini, akan terbentuklah apresiasi terhadap seni yang mampu menceritakan sejarah negara kita.

Ensembel 12-orang yang terdiri daripada alumni fakulti muzik dan para pelajar semasa ini diuruskan oleh Radzali dan diketuai oleh Kamrul sendiri. Bagaimanakah bentuk persembahan UiTM Bamboo Sound Arts ini nanti? Bunyian kontemporari dan alami ini hasil gabungan keyboard dan bass bersama antaranya, kulintangan buluh, togunggak dan gendang kecapi buluh. Menurut Radzali, alunan muzik oleh kumpulan ini berkisarkan melodi marimba atau kulintangan buluh, kemudian ritmanya diserikan dengan alatan muzik lain bagi menghasilkan pengalaman yang unik.

Dalam usaha mengkomersialkan rentak serta lagu-lagu asli mereka, ensembel UiTM ini akan memainkan lapan lagu – di antaranya tiga lagu baru yang belum dipentaskan. Komposisi dinamik ini mengajak setiap lapisan masyarakat untuk menghargai nilai estetik muzik yang lain dari apa yang biasa didendangkan menerusi arus perdana.

Luangkan masa anda di KLWKND bersama keluarga dan rakan-rakan pada 27 dan 28 November ini di Godown KL! Ikuti persembahan ambien Kicau-Bilau (3ptg) dan UiTM Bamboo Sound Arts Ensemble diikuti oleh saksofonis buluh, Phillipus Jani (4.30ptg). Jumpa di sana! Atau saksikan persembahan Kacau Bilau di Pasar Seni (5ptg).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites