Ella masih gah bertenaga di ‘Konsert Jilid Akhir Puteri Kota’ di Pulau Pinang

Oleh SHAH SHAMSHIRI

Malam yang ditunggu-tunggu ramai peminat muzik tempatan khasnya di kawasan utara Semenanjung Malaysia akhirnya tiba beberapa hari lalu, saat Ratu Rock Malaysia, Ella menghiburkan 14,000 orang penonton di SPICE Arena, Pulau Pinang.

Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota itu menyaksikan penyanyi tersebut memberikan sebuah persembahan yang begitu bertenaga selama hampir tiga jam.

Biarpun sudah mencecah usia 57 tahun dan sedikit kurang sihat pada malam 28 Oktober 2023, penghibur itu begitu komited menghibur peminat tegarnya yang sama-sama menyanyi dan menari sepanjang malam.

Memenuhi permintaan para peminatnya, bintang pop-rock tersebut telah mempersembahkan sekitar 40 buah karyanya yang paling popular sepanjang kerjayanya dalam arena seni tempatan.

Malam itu dibuka dengan lagu rancak Risau yang menggamatkan seluruh arena. Lebih menarik, Ella juga mengambil kesempatan untuk melaungkan rasa prihatinnya buat penduduk Gaza yang ditimpa bencana perang akibat serangan kejam rejim Zionis Israel.

Dengan niat ingin menghibur sambil membantu, konsert beliau turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk sama-sama menderma buat tabung rakyat Palestin.

Malah, dengan sokongan yang padu, konsert tersebut berjaya mengumpul sekitar RM30,000 dalam satu malam sahaja.

Ia merupakan satu kejayaan besar buat penyanyi itu dan juga peminat setianya.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam itu termasuk karya teragungnya seperti, Sembilu, Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pedih dan banyak lagi.

Konsert tersebut juga menampilkan beberapa bintang undangan yang sempat memeriahkan suasana seperti Kaka Azraff, Korie dan Dato Awie yang turut berduet bersama Ella lewat lagu Sehelai Baldu Biru. Suaminya Azhar Husaini Ghazali juga berpeluang berkongsi pentas dengan beliau dan menyampaikan lagu bersama-sama.

Malam yang pada mulanya disangka berakhir dengan lagu Standing In The Eyes of The World ternyata disambung dengan lagu penutup sebenar Gemilang, selepas para peminat menggesa meminta sebuah lagi lagu untuk menutup acara.

Semasa ditemui di belakang pentas selepas acara, Ella mengakui bahawa dia mampu memberikan yang terbaik berkat sokongan pasukan yang hebat.

Saat ditanya dari mana datangnya tenaga untuk beraksi sepanjang malam, Ratu Rock itu tidak menafikan bahawa dia ada menerima bantuan pakar perubatan Dr. Linda Hassin dari Skyhill Clinic yang juga bantuan perubatan rasmi Ella untuk konsert tersebut.

“Ella bertemu kami pada bulan September dua tahun yang lalu. Saat itu kita masih dibelenggu pandemik dan Ella mengakui yang berat badannya naik mendadak dan tekanan darahnya sangat tinggi.

Sesudah membuat ujian darah dengan pihak kami, banyak yang dapat kami bantu selepas memberi rawatan. Yang paling ketara adalah tekanan darahnya kembali normal dan berat badannya juga turun. Kini Ella dapat tampil dengan bentuk badan seperti saat beliau muda dahulu.

Rawatan utama yang kami berikan adalah penstabilan hormon wanita. Kebanyakan wanita di usia selepas 50 tahun pasti mengalami menopos dan ini menyebabkan penurunan kadar hormon yang sebenarnya penting untuk penjagaan bentuk badan, keanjalan kulit dan sebagainya.

Dengan rawatan yang diberi nama Bioidentical Hormone Replacement Pellet Therapy atau BHRT, kami memberikan ubatan yang boleh disapu dan dimakan untuk membantu menstabilkan hormon. Inilah yang membuat Ella bertenaga dan lebih sihat saat membuat persembahan dan aktif dalam kehidupan harian,” ujar Dr. Linda semasa ditemui selepas konsert pada malam tersebut.

Yang pasti Ella benar-benar bertenaga dan lincah pada malam itu. Lebih menakjubkan, suara bintang rock itu sama sekali tidak terjejas sepanjang acara walaupun beliau kurang sihat. Ini dapat dilihat di pelbagai video media sosial yang dikongsi para peminat tegarnya.

Rata-rata peminat sangat berpuas hati dengan persembahan konsert pada malam tersebut.

Ella dan pasukannya juga sempat melaksanakan sebuah projek Tanggungjawab Sosial Korporat sehari selepas konsertnya dengan melawat dan menyantuni warga emas di Rumah Jagaan Darul Hanan di Kepala Batas, Pulau Pinang bersama pihak SP Setia dan Skyhill Clinic.

Ella turut mengumumkan bahawa siri jelajah konsertnya akan dilanjutkan ke Sabah pada tahun 2024 nanti.

Buat yang tak berkesempatan menonton persembahan bertenaga Ratu Rock ini, pastikan anda hadiri konsertnya di Sabah tahun hadapan.

Untuk berita lain layari pautan berikut:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites