Jatuh Cinta dengan Lah di Istana Budaya!

Penyanyi suara lunar, Lah Ahmad akan mengadakan konsert pada hujung minggu ini. Ikuti kisahnya!

Selepas kejayaan Konsert 25 tahun Lah Ahmad pada bulan Januari tahun ini, penyanyi bersuara lunak ini kembali lagi dengan persembahan konsert yang akan berlangsung di Istana Budaya. Konsert yang dijadualkan pada 7 Okt ini diberi judul Jatuh Cinta. Dia akan menghiburkan peminat selama 2 jam dengan membawakan 21 buah lagu.  

Konsert ini akan memberikan kelainan di mana Lah akan bergabung bersama Orkestra Simfoni Universiti Malaya di bawah pimpinan YBhg Profesor Sr. Hanafi Husin iaitu Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya. Konsert ini juga akan diketuai oleh En Muhammad Shahwalnaz Bin Hussin selaku Pengarah Muzik. Beliau juga merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya. 

Lah sudah berada di dalam industri selama 25 tahun.

Istana Budaya dipilih sebagai lokasi konsert kerana ia bersesuaian dengan konsep persembahan  selain memang diakui bertaraf antarabangsa dan berprestij. Sudah tentu ia padan dengan Lah yang pernah memenangi Persembahan Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-22. Lah Ahmad selalu tampil dengan muzik R&B, selain boleh membawakan genre muzik lain dengan baik sekali. Sepanjang dia terbabit dalam industri muzik, dia telah berjaya menghasilkan 4 buah album. Antara lagu yang popular adalah Sempurna dan Terbaik, Adinda, Kerna Sayang dan Ayu bersama kumpulan VE.

Penerbit bagi konsert ini adalah Rubbertapper Production House yang dikepalai Puan Qaseh Anita Abd Shukor yang dulunya merupakan Pegawai Perhubungan Awam di beberapa syarikat penerbitan. Menurut pihak Rubbertapper, mereka memilih Lah Ahmad sebagai penyanyi pertama dalam projek mereka di Istana Budaya kerana keupayaan Lah menyanyi secara langsung dan jiwanya yang sentiasa memberikan yang terbaik kepada para peminat. Konsert Jatuh Cinta diarahkan oleh Dato’ Haji Reduan Yusof sebagai Pengarah Projek. 

Puan Qaseh Anita memberikan kata aluan ketika sidang media konsert Jatuh Hati

Peminat yang menonton konsert ini boleh memilih untuk menginap di Hotel Ideas Kuala Lumpur kerana hotel ini telah dipilih sebagai penginapan rasmi untuk Konsert Jatuh Cinta. Selain daripada penginapan yang selesa dan jarak yang dekat dengan Istana Budaya, mereka juga menawarkan harga istimewa kepada pembeli tiket Jatuh Cinta. Mereka juga menawarkan pembelian tiket yang fleksibel di mana peminat boleh bebas memilih zon dan pandangan tontonan di konsert itu nanti. 

Konsert ini telah menerima bantuan dana dari MyCreative Ventures Sdn Bhd melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik serta disokong oleh Radio SINAR.  Qaseh Anita ketika ditanya tentang dana yang diterima daripada MyCreative Ventures berkata,“ ia sangat-sangat membantu. Ketika kami sudah menjalani proses 40%-50%, kami diberitahu dana bantuan telah diluluskan. Terima kasih kepada MyCV kerana membantu rumah produksi baru seperti kami. Kami dapat berkongsi rezeki bersama dengan orang lain”. 

Lah bergambar kenangan bersama penaja untuk konsert termasuk wakil daripada MyCreative Ventures.

Lah ketika ditemui di sidang media konsert sempat menuturkan bahawa lagu-lagu yang akan dibawakan nanti akan ada susunan muzik yang berbeza sedikit daripada apa yang pernah dia bawakan. “Bagi yang menantikan kejutan, apa yang boleh saya katakan adalah saya akan cuba untuk melakukan sesuatu. Saya sebenarnya kalau boleh tidak mahu membuat terlalu banyak konsert kerana tidak mahu terlalu kerap keluar tapi Alhamdulillah ini rezeki dapat bekerja dengan Rubbertapper dan Istana Budaya serta pasukan yang saya sangat berpuas hati. Saya rasakan ini ( konsert) perlu dilakukan sekarang”, katanya. 

Para peminat tegar sudah pun banyak memenuhi kerusi di konsert pada malam tersebut tapi jangan risau kerana tiket menonton konsert Jatuh Cinta lah Ahmad masih boleh dibeli di laman sesawang iLasso! Tiket dijual dengan harga RM 390, RM290, RM 210, RM 170 dan RM130.

Ikuti kisah menarik yang lain di BASKL!

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites