Disebalik Industri Seni Malaysia: Borak santai bersama Fadly Sabran

Memahami sedikit sebanyak mengenai dunia seni di Malaysia melalui sudut dan lensa orang yang berpengalaman seperti Fadly yang juga merupakan seorang penggiat seni yang aktif sebagai penganjur dan kurator bagi pameran-pameran eksperimental yang diadakan di Kapallorek Art Space sejak 2014. Dia juga merupakan pengasas dan pengarah bagi ruang seni alternatif ini.

Oleh AMIR AMIN | Gambar oleh FADLY SABRAN dan KAPALLOREK ART SPACE untuk Lensa Seni

Menerusi ruang Google Meet, penulis berkesempatan menemu ramah insan hebat yang telah mendirikan Kapallorek Art Space, sebuah ruang alternatif di Seri Iskandar, Perak yang jauh dari Kuala Lumpur yang merupakan pusat komersial dan kegiatan seni budaya di Malaysia. Ini turut mengundang rasa untuk bertanya kepadanya, mengapa memilih haluan ini?

“Kenapa tidak?” jawabnya ringkas.

“Lagi pula, ekosistem seni di Seri Iskandar hampir lengkap – kita punya artis, akademik, institusi seni. Cuma yang kurang ialah ruang galeri. Makanya Kapallorek melengkapkan ekosistem itu,” tambahnya.

Fadly Sabran merupakan seorang artis media baharu, pengkaji dan pensyarah dari Jabatan Seni Halus, Universiti Teknologi (MARA) Perak. Beliau merupakan pemegang Diploma Seni Halus dan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Seni Visual & Seni Reka, Universiti Sains Malaysia (USM).

Praktis kesenian Fadly lebih menjurus kepada seni media baharu dan sudah lebih sedekad dia telah melibatkan diri dalam pelbagai pameran berkumpulan di dalam, mahupun luar negara. Karya seninya banyak menggabungkan seni dan teknologi antaranya catan, video, bunyi, cahaya, kinetik dan instalasi.

Kini, Fadly aktif sebagai penganjur dan kurator bagi pameran-pameran eksperimental yang diadakan di Kapallorek Art Space sejak 2014. Beliau juga merupakan pengasas dan pengarah bagi ruang seni alternatif ini.

Dalam temu bual ini, dia menjelaskan tentang transisinya daripada seorang artis ke penganjur dan kurator, hala tuju Kapallorek Art Space dan fungsi ruang seni kepada komuniti setempat.

Fadly Sabran merupakan satu jenama yang sinonim dengan karya-karya eksperimental dan media baharu. Bagaimana transisi daripada seorang artis menjadi penganjur pameran dan seterusnya kurator?

Ia tidak dirancang dan bermula sewaktu saya pulang ke Seri Iskandar dari Shah Alam. Saya dapati yang Seri Iskandar tiada ruang seni. Perkara ini agak pelik kerana kita (Seri Iskandar) ada ramai seniman-seniman sohor seperti Encik Paiman (Azizan Rahman Paiman), Encik Izzadin (Izzadin Matrahah), Encik Daud (Daud Rahim) dan ramai lagi, kita juga ada institusi seni (UiTM) dan pelajar seni. Ekosistem sudah wujud cumanya kita tiada sebuah ruang.

Saya bermula dengan idea untuk menubuhkan sebuah studio, namun ia berubah dari situ menjadi sebuah ruang seni yang fokus asasnya kepada komuniti setempat. Kami bermula di tingkat satu, bangunan kedai di SIBC, Seri Iskandar. Idea ini terbentuk dek kerana pengalaman saya semasa berada di Jogjakarta, di mana para artis memainkan peranan dengan membuka ruang-ruang seni sekaligus merakyatkan seni dan membantu kepada perkembangan sesebuah komuniti itu.

Bagaimana bermula kerjaya seni dan pembahagian masa antara menjadi seorang pensyarah, artis dan pengarah galeri?

Kerja hakiki saya ialah mengajar (pensyarah) dan karya merupakan satu perkara wajib untuk saya buat dan sebagai galeris, ia merupakan minat dan passion saya sekarang. Ruang galeri itu merupakan pendorong untuk saya terus bekerja. Selagi ruang galeri itu penting untuk komuniti, selagi itu saya akan terus berusaha untuk menjayakan.

Seorang kurator perlu mempunyai strategi yang fleksibel agar setiap pameran itu unik dan tidak akan menjadi sama seperti pameran yang lain. Adakah anda bersetuju dengan kenyataan oleh Hans Ulrich Obrist ini? Dan bagaimana kenyataan ni dengan Kapallorek Art Space?

Saya sangat bersetuju dengan kenyataan Hans Ulrich Obrist itu. Pada saya kurator merupakan seorang penganjak atau penggerak kepada sesuatu komuniti. Kurator itu tidak stagnant sebaliknya fleksibel dan berkembang. Seorang kurator yang kritikal, akan melihat sejarah dan akan memikirkan apa yang boleh diperbaiki dan diperluaskan lagi selain daripada memikirkan apa yang akan dibuat di masa depan.

Seperti di Kapallorek, saya cuba untuk fokuskan kepada karya media baharu. Bagaimana perbezaan karya itu pada abad 90-an dan sekarang? Seorang kurator perlu melihat sejarah dan bagaimana untuk menyambut dan meneruskan apa yang telah diadakan. Kurator perlu melihat apa yang berlaku dalam konteks semasa dan setempat.

Bagaimana Kapallorek Art Space bermula dan mengepa memilih untuk membukanya di Seri Iskandar?

Kapallorek Art Space wujud sebagai satu ruang alternatif dan platform kepada artis-artis yang menghasilkan karya-karya eksperimental dan media baharu yang kurang mendapatkan tempat dalam ruang-ruang komersial. Ia memberikan ruang dan peluang untuk artis-artis begini mempamerkan karya-karya mereka.

Kenapa di Seri Iskandar? Kenapa tidak? (ketawa) Salah satu faktor utama ialah kerana saya sendiri menetap di Seri Iskandar dan ia memudahkan untuk saya menguruskan ruang ini. Apabila ditubuhkan di sini, saya lebih memahami ruang persekitaran saya dan ekosistem. Agak janggal jika saya menetap dan bekerja di Seri Iskandar untuk menguruskan sebuah ruang seni di Ipoh kan? (ketawa). Sebab nak uruskan sesuatu ruang tu perlukan fokus yang tinggi selain daripada pengorbanan yang banyak. Jika dibuat di tempat selain daripada tempat saya menetap, boleh, tapi agak sukar untuk saya uruskan.

Selain daripada itu, ekosistem seni di Seri Iskandar hampir lengkap – kita punya artis, akademik, institusi seni. Apa yang kurang ialah ruang galeri. Makanya Kapallorek melengkapkan ekosistem itu.

Seni itu boleh berada di mana-mana sahaja. Jika kita lihat, ruang-ruang seni dah mula bercambah di pelbagai tempat seperti di Ipoh, Lumut, Sri Iskandar (Perak), dan negeri-negeri lain. Ia tidak lagi tertumpu kepada Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Bila ruang-ruang seni bercambah di merata tempat, kita boleh melihat konteks setempat dengan lebih mendalam. Dan komuniti-komuniti setempat berkembang dengan lebih pesat.

Kapallorek Art Space & Kopi Mesin, Gambar: Kapallorek Art Space.

Rata-rata graduan, akan memilih untuk memulakan kerjaya seni mereka di Kuala Lumpur (Lembah Klang). Bagaimana dengan cara anda memilih artis-artis muda untuk pameran di Kapallorek Art Space? Adakah anda memilih artis-artis muda dari UiTM Seri Iskandar?

Kapallorek Art Space fungsinya menyokong artis-artis muda tanpa mengira dari demografik mana. Kami menerima artis-artis daripada semua institusi. Kami melihat Kapallorek sebagai sebuah platform untuk artis-artis muda, bahkan juga untuk kurator-kurator muda. Antaranya seperti Amir Amin; kurator BendAsing oleh Bukan Seni-Man dan Yasmin Bawadi; kurator untuk pameran ANTARA. Kalau dilihat, tak semua galeri-galeri (komersial) memberikan peluang kepada kurator-kurator muda, jadi kami nampak kelompongan tersebut dan kami fikir, di situlah kami boleh untuk membantu kurator-kurator muda ini.

Bercakap tentang pameran ANTARA, ia merupakan idea yang telah lama kami fikirkan sejak awal penubuhan Kapallorek. Untuk pameran kali ini, kami memilih Yasmin Bawadi sebagai kurator. Antara tugas-tugas beliau adalah memilih artis-artis, menghasilkan kerangka kuratorial dan juga mengurasikan pameran ini.  Kami turut melihat pameran ANTARA seperti Platform untuk Galeri Chandan, Young & New untuk HOM Art Trans yang memfokuskan kepada artis-artis muda dan meningkat naik.

Pameran ANTARA, Gambar: Kapallorek Art Space.

Kalau kita lihat pameran-pameran yang pernah di adakan di Kapallorek sejak tahun 2015 seperti Orakruang, Bukan-Bukan, OHM: The Resistance, BendAsing oleh Bukan Seni-Man, Ulang-Ulang, Behind the Veils dan Antara, merupakan pameran yang eksperimental. Adakah itu jenis-jenis pameran yang menjadi focus Kapallorek?

(Mengangguk) Ya, Kapallorek memfokuskan kepada pameran-pameran eksperimental, tapi ia juga merupakan ruang neutral, kami tetap akan mengadakan pameran-pameran karya-karya biasa untuk khalayak peminat seni terutama yang baharu.

Poster Pameran BendAsing oleh Bukan Seni-Man, Gambar: Kapallorek Art Space.
Poster Pameran Bukan-Bukan; Hawari Berahim Solo Exhibition, Gambar: Kapallorek Art Space.

Bagaimanakah penerimaan komuniti seni dan setempat dengan Kapallorek?

Setelah dibuka hampir 7 tahun dari tahun 2014, kami telah mempunyai dua ruang. Ruang pertama dari tahun 2014 hingga 2020 di tingkat 1 rumah kedai di SIBC dan tahun 2021, kami mempunyai ruang sendiri di Lot 46, Persiaran Iskandar Perdana 19. Di ruang baharu ini, kami telah berkolaborasi bersama Kopi Mesin, yang merupakan ruang kafe yang berada di tingkat G dan Kapallorek di tingkat 1.

Semasa di ruang pertama, rata-rata yang hadir merupakan rakan-rakan artis dan komuniti seni. Ada juga orang awam yang hadir tapi jumlahnya tidak ramai. Namun bila kami membuka pintu di ruang baharu ini, lebih ramai komuniti setempat mulai hadir. Rata-rata mereka hadir untuk menikmati kopi di Kopi Mesin dan kemudiannya mereka akan naik ke atas untuk menikmati seni. Kiranya mereka yang hadir ke sini, boleh menikmati kopi yang lazat di Kopi Mesin dan kemudiannya menikmati karya-karya seni kontemporari Malaysia.

Pada saya, sesebuah galeri dan ruang seni itu merupakan satu ruang awam. Ia tidak boleh bersifat exclusive sebaliknya perlu inclusive. Apabila ia inclusive, lebih ramai orang akan hadir dan menikmatinya. Dan daripada pengamatan saya, apresiasi masyarakat setempat terhadap seni terutamanya media baharu sangat mengagumkan. Mereka menunjukkan minat yang mendalam dan ia sangat menyeronokkan bagi saya sebagai seorang artis media baharu dan galeris.

Pameran ATAS GARIS, Gambar: Kapallorek Art Space.

Sebelum kita berpisah, mungkin Encik Fadly boleh berikan sedikit kata-kata penutup?

Kalau datang ke Perak, mohle yeop singgah ke Kapallorek Art Space. Boleh juga ikuti kami di media sosial Kapallorek Art Space dan terus menyokong seni rupa Malaysia.

Amir Amin merupakan salah seorang peserta program CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021.

Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites