Didgeridoo merupakan sejenis alat muzik yang berasal dari Australia. Ia dimainkan oleh puak aborigin atau orang asli Utara Australia sejak 1500 tahun yang lalu.
Oleh ZURAILAWATI YONG untuk Lensa Seni
Sekali pandang, Didgeridoo hanyalah seperti kayu buangan yang tiada nilai. Namun siapa sangka di sebalik sebatang kayu berongga kosong apabila ditiup oleh insan seni, mampu menghasilkan bunyi yang unik dan mengasyikkan. Didgeridoo telah disenaraikan antara empat alat muzik aneh di dunia selain daripada Zeusaphone, Nyckelharpa dan Lur.
muzik ini hanya boleh dimainkan oleh kaum lelaki sahaja ketika upacara khusus. Kaum wanita dilarang sama sekali memainkan Didgeridoo mengikut kepercayaan masyarakat Aborigin Australia kecuali untuk upacara tidak formal.
Didgeridoo biasanya dimainkan untuk persembahan hiburan dan persembahan ritual masyarakat orang asli Utara Australia. Alunan muzik yang dihasilkan daripada tiupan Didgeridoo sangat mengasyikkan apabila dihayati.
Mohd Rosdi Bin Mohd Idrus atau mesra dikenali sebagai Big Joe berasal dari Galing Besar, Kuantan, Pahang mula mengenali Didgeridoo sekitar tahun 1995 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang. Didgeridoo dimainkan oleh pemain muzik jalanan di situ pada setiap petang. Big Joe begitu tertarik dengan alunan muzik yang terhasil daripada tiupan Didgeridoo sehinggakan beliau terpanggil untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Didgeridoo.
Selain itu, dia juga mula belajar dan mengkaji tentang Didgeridoo bagi mengisi masa lapang. Setelah tiga tahun mengkaji, barulah dia dapat mendalami cara pembuatan, teknik tiupan dan jenis-jenis kod Didgeridoo. Disebabkan perasaan ingin tahu yang mendalam, dia sempat berguru dengan beberapa artis Didgeridoo tempatan yang pernah belajar tentang Didgeridoo di luar negara. Kini Big Joe merupakan antara artis Didgeridoo yang terkenal di Malaysia.
Di Malaysia, Didgeridoo sering dijadikan sebagai pemula deklamasi sajak dan puisi, ia dimainkan mengiringi persembahan muzik tradisional, orkestra serta pembuka dan penutup sesuatu majlis. Didgeridoo boleh dimainkan secara solo atau digandingkan bersama gendang, gitar dan pelbagai alat muzik yang lain. Instrumen ini juga terkenal dikalangan artis ‘beatbox’ kerana mempunyai keunikan bunyi yang dihasilkan.
Didgeridoo di Malaysia berukuran antara tiga hingga lima kaki. Manakala Didgeridoo di Australia boleh mencecah sepuluh kaki. Di Australia, Didgeridoo diperbuat daripada kayu keras terutamanya kayu putih. Kayu tebal yang dimakan anai-anai diuji dan dipilih untuk dijadikan Didgeridoo. Manakala di Malaysia pula, Didgeridoo diperbuat daripada batang kayu merbau atau buluh tebal. Pemilihan kayu atau buluh tebal yang sempurna dan cukup matang sangat penting bagi mengelakkan batang kayu atau buluh mengecut setelah kering. Kayu atau buluh perlulah berongga untuk menghasilkan bunyi.
Pada hari ini, Didgeridoo moden diperbuat daripada kayu bukan asli, gentian kaca, gentian karbon, logam dan juga PVC.
Terdapat dua cara pembuatan Didgeridoo. Cara pertama adalah dengan menebuk batang kayu atau buluh untuk mengeluarkan isi di dalam batang kayu. Manakala cara kedua adalah dengan membelah batang kayu atau buluh kepada dua, kemudian dikorek untuk mengeluarkan isi yang tidak diperlukan. Setelah siap, batang kayu atau buluh dicantum kembali menggunakan gam dan diikat kemas supaya bercantum dengan baik.
Biasanya peniup Didgeridoo lebih suka memilih kayu atau buluh yang ditebuk berbanding kayu atau buluh dibelah kerana bunyi yang dihasilkan lebih mantap. Pemilihan ukuran Didgeridoo biasanya mengikut keselesaan si peniup.
Sepanjang proses ini, pembuat Didgeridoo akan menebuk beberapa kali lagi dan memperbaiki rongga yang telah dibuat.Setelah selesai proses menebuk barulah proses meniup Didgeridoo dibuat secara berperingkat sehingga menghasilkan bunyi dan kod yang diinginkan. Ketebalan, ukuran panjang dan saiz rongga kayu atau buluh yang dibuat mempengaruhi kod Didgeridoo.
Kayu yang telah dibuat menjadi Didgeridoo boleh dihias mengikut citarasa peniup Didgeridoo. Ada yang diukir dan dilukis corak, tetapi ada juga yang sukakan Didgeridoo kosong tanpa sebarang corak, hanya disembur atau disapu varnis untuk menaikkan seri Didgeridoo.
Di Australia, corak yang terdapat pada Didgeridoo dapat dibezakan mengikut etnik dan kesenian puak orang asli di sana. Manakala Didgeridoo kosong biasanya digunakan untuk proses ritual dalam kalangan puak untuk berubat ataupun digunakan ketika upacara memuja roh di kalangan orang asli.
Untuk belajar meniup Didgeridoo, teknik pernafasan akan diajar terlebih dahulu untuk menghasilkan tiupan yang baik. Pernafasan yang tidak lancar mampu mencacatkan bunyi Didgeridoo. Teknik ‘circular breathing’ digunakan ketika meniup Didgeridoo sama seperti teknik meniup serunai. Teknik ini membolehkan udara disedut masuk menggunakan hidung sambil dapat menghembus nafas keluar menggunakan lidah dan pipi secara serentak lalu memainkan not pada satu tempoh yang lama.
Setelah menguasai teknik pernafasan yang betul, barulah mereka diajar teknik getaran bibir sehingga menghasilkan tempo dan melodi Didgeridoo yang pelbagai bunyi. Peniup perlu mahir menggayakan bunyi untuk melengkapi muzik iringan dan menghasilkan bunyi yang menarik.
Berbeza dengan instrumen muzik yang lain, Didgeridoo hanya mampu menghasilkan satu kod sahaja. Sekiranya peniup inginkan kod lengkap, peniup perlu mempunyai tujuh batang Didgeridoo kod A sehingga kod G. Namun begitu, teknik dan tempo yang dimainkan secara profesional mampu menghasilkan kepelbagaian bunyi walaupun daripada Didgeridoo kod yang sama.
Untuk menguasai Didgeridoo, bergantung kepada kepandaian masing-masing mengikut kod yang dipelajari. Minat yang mendalam perlu ada dalam diri mereka yang ingin menguasai alat muzik ini. Di samping itu, mereka juga dilarang untuk membuat kesimpulan sendiri dengan hanya menilai kod Didgeridoo yang telah dipelajari.
Sejak Big Joe melangkah ke dunia tiupan Didgeridooe, dia telah dijemput untuk membuat pelbagai persembahan di serata tempat. Terdapat juga pelbagai jemputan majlis korporat, VIP dan persembahan majlis tidak rasmi. Biasanya Big Joe akan bergandingan bersama Kelab Serindit Mati Tersepit, Kuantan Pahang untuk memenuhi jemputan majlis.
Antara persembahan yang pernah Big Joe sertai ialah;
- Jemputan persembahan Diraja bersama Kumpulan Gamelan Pahang
- Persembahan di Istana Abdulaziz, Kuantan Pahang
- Persembahan Majlis perkahwinan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Cik Puan Muda Julita Aishah
- Anugerah Muzik-muzik mengiringi persembahan penyanyi Noraniza Idris
- Majlis Perasmian Perpustakaan Kuantan, Pahang
Walaupun Big Joe telah bersama Didgeridoo hampir 27 tahun, dia masih lagi belajar beberapa teknik secara dalam talian di YouTube dan beberapa sumber lain. Masih banyak pertanyaan berlegar difikirannya, adakah dia benar-benar telah mendalami dan menguasai sepenuhnya teknik tiupan Didgeridoo? Ini membuatkan dia sering mencari perkara baru untuk dikuasai.
Masalah utama yang dihadapi oleh Big Joe adalah pencarian guru Didgeridoo. Dia sangat suka sekiranya ada pemain Didgeridoo tampil untuk berkongsi ilmu,bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman bermain Didgeridoo.
“Mengenali dan membawa Didgeridoo ke Malaysia bukan bermakna kita mengagungkan muzik luar, tapi kita perlu melihat cabang seni muzik itu sememangnya sangat luas. Cuba kita lihat kembali beberapa instrumen muzik luar seperti gitar dan dram, walaupun berasal bukan dari Malaysia, namun alat-alat ini mampu dimainkan dengan baik dan diterima baik dikalangan masyarakat Melayu. Instrumen muzik ini mampu digabungkan seiringan dengan alat muzik tradisional sehinggakan dapat membawakan lagu-lagu tradisional dengan lebih baik dan lebih menarik,” kata Big Joe.
Buat masa sekarang, Big Joe hanya mampu melatih beberapa pelajar dikalangan ahli keluarga dan sahabat terdekat. Namun dia sangat berharap agar seni Didgeridoo dapat dikembangkan dan dapat mencari pelapis di kalangan generasi muda untuk meneruskan seni ini.
Zurailawati Yong ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021
Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarag dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.