Dentum amuk Jebat di KLPAC

BASKL telah dijemput untuk menikmati persembahan perdana yang baru dan segar di KLPAC berjudul Jebat. Ikuti ceritanya dan sedikit ulasan daripada penulis BASKL.

OLEH AZUWAN AHMAD

Tanggal 16 September 2023 tempoh hari bersempena dengan sambutan Hari Malaysia telah diadakan persembahan perdana teater Jebat di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Sentul.  Persembahan yang diadakan di Pentas 1 itu telah ditonton hampir 500 orang. 

Teater ini mengisahkan tentang kehidupan Jebat serta peristiwa yang membawa kepada kematiannya yang tragis. Jalan cerita ini sebenarnya mengambil adaptasi daripada kisah legenda lima bersaudara terutama Hang Tuah dan Hang Jebat tetapi konteks latar masanya  telah diubah menjadi lebih moden iaitu zaman pasca apokalips di Malaysia. Suasana persembahan ini juga mengambil situasi kancah peperangan. Ia juga dipersembahkan di dalam medium Bahasa Inggeris. 

Pengarah bagi teater ini adalah Joe Hafsham dan telah ditulis oleh U-En Ng. Jebat merupakan produksi terbesar Actor’s Studio bagi tahun 2023 yang sudah tentu diketuai oleh Penerbit Eksekutif Dato’ Dr Faridah Merican dengan kerjasama Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia. Joe, di dalam kenyataan media yang dikeluarkan mengatakan, “Kita ada banyak kisah menarik dari Malaysia yang patut diceritakan. Selama ini sudah terlalu banyak fokus terhadap Hang Tuah, teater ini akan menjadi produksi besar pertama dalam Bahasa Inggeris yang menceritakan Jebat, meneroka apa yang bermain di kepalanya dan mengapa dia melakukan hal yang sedemikian (amuk). Walaupun ramai yang mengatakan bahawa ini adalah pengkhianatan, bagaimana jika ada pandangan yang lain?”, katanya. 

Ng, penulis bagi naskhah ini merupakan seorang yang berpengalaman selama dua dekad dalam kewartawanan dan penerbitan, menjadi penulis biografi untuk beberapa pemimpin negara. Dia juga turut menyumbang naskhah lirik di dalam persembahan muzikal “Ismail The Last Days” yang telah merangkul 7 Anugerah di BOH Cameronian Arts Awards. Teater muzikal itu juga telah diarahkan oleh Joe Hafsham. 

Berbalik kepada Jebat, ia dilakonkan oleh Zul Zamir sebagai Jebat, Anwar Rusdini sebagai Patih Kerma Wijaya, Yusuf Amin sebagai Tuah serta dibantu oleh Nabil Zakaria, Faez Malek, Nick Augustin dan Swarna Naidu. Zul Zamir adalah pelakon yang berasal dari Perak dan pernah dicalonkan untuk Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dan Anugerah Pelakon Terbaik di BOH Cameronian Awards untuk pementasan “Kandang” serta “Hujan Pagi”.

Secara keseluruhan pementasan ini layak ditonton kerana ideanya yang segar meletakkan sebuah kisah sejarah atau boleh juga dianggap mitos dengan latar yang moden. Ini ditambah dengan medium Bahasa Inggeris yang membiatnya lebih menarik. Walaupun saya sendiri datang dari sekolah pemikiran bahawa peristiwa Tuah dan Jebat tidak pernah bertikam, namun kalau mengambil pengetahuan ini di dalam konteks ulasan, pementasan yang dipersembah dalam Bahasa Inggeris sudah hilang sakral dan kesaktiannya meskipun idea ini memang mengundang ghairah menonton. Ada penonton yang saya temui selepas tamat persembahan juga merasakan hal yang sama iaitu ia menimbulkan kejanggalan. 

Berlawanan dengan itu, pelakon Zul Zamir menunjukkan persembahan yang hebat sekali. Tidak salah memilih dia sebagai Jebat bagi pementasan ini. Suara besar layaknya seperti seorang panglima serta lenggok lakonan yang padu benar-benar meyakinkan penonton bahawa dia adalah Jebat yang amuk. Salah satu babak yang saya masih ingat sekali adalah apabila dia memulakan kata-kata pujian kepada Raja kemudian berubah menjadi kata menghina dek kerana Raja memutuskan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Babak itu sungguh mengagumkan saya kerana memberikan dinamik kepada perubahan plot. 

Untuk menambah sudut yang menarik buat diceritakan dalam pementasan ini, gerakan silat atau babak berlawan tidaklah mengecewakan. Barangkali kerana khidmat Danial Nawawi digunakan. Danial adalah seorang ‘Adiguru Silat’ yang berpengalaman selama 18 tahun dan memastikan keaslian gerakan silat dapat ditunjukkan dalam pementasan ini. 

Tiket menonton teater Jebat boleh dibeli melalui laman web Cloud Joi. Ia akan berlangsung sepanjang minggu ini bermula 19 -24 Sep. Persembahan akan berlangsung mulai jam 8 malam kecuali pada 24 haribulan, hanya ada persembahan petang.

Ikuti kisah menarik yang lain di Baskl:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites