Dari Dubai ke tanah air, perkongsian seni membakar jiwa bersama Bernard Goh

Lebih 25 tahun menerajui HANDS Percussion, Bernard Goh berkongsi pengalaman, pandangan dan nasihat dalam industri seni tanah air.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Sebagai seorang penulis, keseronokan serta cabaran menemu ramah figura itu adalah berbeza. Setiap kali perbualan sewaktu sesi temu ramah sentiasa menyuntik semangat baharu. Ini demikian kerana banyak ilmu dan perkongsian hidup yang dapat kita dengar dan pelajari daripada mereka. BASKL berkesempatan untuk mencuri sedikit masa Bernard Goh, pengarah artistik dan juga pengasas HANDS Percussion. Seorang individu yang tidak lokek berkongsi cerita dan ilmu serta pengalaman yang penuh di dada.

“Bila saya tukar kerjaya daripada pereka grafik dan pelukis kepada bidang muzik, ketika itu juga kanvas saya bertukar kepada pentas persembahan, saya tidak pernah tinggalkan seni, cuma kanvas saya sahaja berbeza,” kata-kata Goh terngiang-ngiang di telinga saya.

Beralih kerjaya dalam bidang seni, baginya loncatan itu merupakan perkembangan dalam perkongsian seninya dari sudut yang berbeza untuk terus menyumbang kepada industri seni tempatan. Hal ini benar kerana kita semua mempunyai kemahiran tersendiri, gunakan peralatan yang kita ada untuk buat yang terbaik di atas kanvas masing-masing.

Dengan lebih 25 tahun mengendalikan bahtera HANDS Percussion, perjalanan Goh dalam muzik banyak mengajarnya tentang selok belok dunia seni. Bermula dengan hanya tujuh orang ahli, kini mereka telah berkembang dan membuat persembahan sehingga ke peringkat antarabangsa di lebih 35 buah negara, antaranya Singapura, Taiwan, Australia, Perancis dan banyak lagi.

Persembahan di Dubai selepas lebih dua tahun terkurung

Semestinya menjadi seorang pemain muzik di Malaysia yang turut terpanggil untuk ke peringkat antarabangsa sewaktu dunia diancam Covid-19 tidak mudah. Banyak langkah tambahan yang perlu dilakukan bagi membolehkan persembahan berlangsung bagi mengelakkan penularan berlaku.

Menjadi antara kumpulan yang terpilih mewakili negara untuk membuat persembahan di mata dunia pada Malaysia Day Dinner Reception dan Malaysia Truly Asia Showcase Concert memberi mereka semangat selepas lebih dua tahun berlatih di rumah dan studio serta membuat persembahan di dalam negara sahaja. Ini juga sesuatu yang membanggakan buat mereka, kerana sekali lagi dapat mewakili negara mempamerkan gabungan instrumen seni tempatan.

“Pastinya ini merupakan perasaan yang bercampur-baur buat kami, sedikit pelik dan janggal, perasaan gembira bercampur risaukan kesihatan dan keselamatan. Kesemua 12 ahli HANDS Percussion serta artis lain perlu menjalani ujian saringan setiap hari sepanjang 5 hari kami di sana. Tidak kira mengantuk, penat atau sakit,” menurutnya yang menekankan bahawa pentingnya SOP kerana peningkatan kes di Dubai.

Walau bagaimanapun, anak jati Negri Sembilan ini menganggap ini tidak mengganggu prestasi mereka dalam memberikan persembahan yang terbaik di sana.

Angkat seni kita supaya keindahannya dapat dirasai semua

Bernard Goh

Dalam merangka persembahan dan komposisi sebuah lagu, Goh sering menegaskan kepada kami bahawa gabungan kepelbagaian bunyi dari tanah air mempunyai makna, perasaan, dan memori yang tertentu buat dirinya dan semestinya perlu seiring dengan alunan penyampaiannya supaya sebati dan harmoni apabila diperdengarkan.

Bukan sekadar persembahan muzik, pakaian juga mempunyai simbol dan nilai yang tersendiri.

“Membesar di kawasan kampung membuatkan saya rasa bersyukur kerana ia banyak mempengaruhi muzik dan persembahan kami. Selain itu pemakaian kami berunsur batik, gabungan instrumen gamelan, bonang, jidor, serunai, rebab dan banyak lagi semua ini digabungkan bukan bertujuan untuk menunjukkan kita berbilang bangsa semata-mata.

“Sebaliknya ia merupakan memori yang mana apabila digabungkan menghasilkan alunan yang cukup indah dan membentuk persembahan berunsur Malaysia. Seperti makanan di Malaysia, mungkin Shafique sukakan Yong Tau Foo, Alia sukakan Char Kuey Teaw, saya pula suka masak lemak cili padi. Makanan di Malaysia sudah sebati dengan kita tidak kira makanan Melayu, Cina, India dan sebagainya. Makanan kita juga sering menjadi daya tarikan apabila pelancong datang ke negara kita. Kenapa persepsi ini tidak sama dengan seni muzik dan persembahan kita?” terang Goh membuatkan penulis terkejut sesekali namanya dan rakan penulis BASKL disapa.

Menurutnya selepas lebih 60 tahun, industri seni perlu lebih kehadapan dan menggunakan kekayaan yang kita ada untuk menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja melambangkan sesuatu kaum dan etnik sebaliknya membawa nama Malaysia ke persada dunia.

“Dulu kami sering disalah pandang oleh penonton dari luar, ada yang mengatakan kami dari Korea, China dan sebagainya, namun dengan mencantumkan elemen yang saya suka dan instrumen yang autentik adalah penting untuk menarik penonton untuk menyukainya, dan apa yang lebih penting supaya mereka bawa balik dan tidak lupa, ini adalah bunyi dan persembahan dari Malaysia, sebuah negara yang indah dan kaya dengan budaya,” tambahnya lagi.

Asal alat muzik drum yang dimainkan oleh kumpulannya memang dari China, tetapi dia yakin bahawa mereka yang berasal dari negara itu tidak dapat bermain seperti HANDS Percussion kerana muzik kita sudah sebati dengan irama Malaysia.

Bagaimana untuk memajukan seni tanah air

“Sebenarnya saya ada satu contoh yang baik, di Bali, tiga tahun lalu saya telah berkolaborasi dengan Kumpulan Gamelan dari Bali. Walaupun pada awalnya rentak mereka diperkenalkan oleh barat, namun mereka telah sebatikan irama menjadi bunyi Bali,” jelasnya.

Ini kerana muzik itu berubah mengikut kawasan setempat. Maka dari situ, kita dapat dengar perbezaan bunyi Gamelan Jawa, Bali, Malaysia kerana elemen budaya sekeliling telah disuntik ke dalam persembahan mereka.

Antara contoh lain yang wajar untuk dijadikan teladan dan sebenarnya dapat membantu dalam memajukan seni tempat di samping memartabatkan budaya bangsa ialah dengan penerapan budaya sejak di bangku sekolah.

Goh cukup terkesan melihat sabuah video di negara seberang yang memaparkan pelajar-pelajar di Bali menari tarian tradisional mereka sewaktu perhimpunan.

“Saya pasti ramai di antara mereka yang tidak menjadi artis, ada yang membesar dengan doktor, peguam dan sebagainya, tetapi penerapan seperti ini memberikan mereka ilmu pengetahuan tentang asal usul mereka. Penerapan seperti ini yang kelihatan masih goyah dalam masyarakat kita.

“Saya merupakan seorang guru seni. Di usia 30-an baru saya dapat melihat lukisan Mona Lisa oleh Leonardo da Vinci, dan dalam hati saya berkata, kecil rupanya lukisan ini, dan sewaktu saya di Muzium Louvre, Paris, saya nampak ramai pelajar termasuk kanak-kanak dari tadika, didedahkan dengar karya seni,” katanya.

Pendedahan di usia muda memberikan kanak-kanak pengetahuan dan ideologi yang berbeza, di samping mematangkan serta membolehkan mereka tahu tentang pelbagai perkara sejak kecil lagi. Ilmu dan pengetahuan membentuk masyarakat yang berbeza dan dalam konteks ini masyarakat yang cinta dan hargai seni.

Pastinya BASKL seronok mendengar perkongsian daripada Bernard Goh ini, sebuah kisah yang menarik dan bermanfaat buat kami untuk disampaikan kepada semua. Uniknya Malaysia kerana kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang kita patut bangga dan tunjukkan kepada dunia. Dari kepelbagaian itu juga maka terlahirlah seni dari Malaysia.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites