Dalam kenangan: Rahman B.

Perginya Tokoh Seniman Negara, Abdul Rahman Abu Bakar pada usia 87 akibat darah beku di paru-paru, tiada pengganti. BASKL berkongsi luahan seorang anak didik Allahyarham. Perginya insan hebat ini, semestinya meninggalkan seribu satu kenangan yang terpahat di hati.

Oleh SHAHRUL MIZAD ASHARI

“Jadi, Cikgu rasa Bangsawan ni sebenarnya…,” kata-kata ini tidak akan kedengaran lagi setiap kali memulakan bicara. Kata-kata seorang adiguru Bangsawan, setiap kali bermula kelas praktikal di dalam Studio Tari Utama di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Tiada lagi beg kotak yang dibimbit di tangan, beg yang sering dibawa ke kelas. Tiada lagi tongkat sebagai peneman setiap kali dia berjalan. Tiada lagi kelihatan sosok orang tua berkaca mata hitam yang biasanya saya sambut di hadapan rumahnya. Tidak akan kelihatan lagi kasut kulit berkilat di luar studio setiap kali berlangsungnya kelas. Tidak ada lagi sosok tubuh yang akan menunjukkan gaya bagaimana susun atur gerakan silat tikam 8, 12 dan 24. Tidak akan ada lagi orang yang bercerita bagaimana bibir dan perutnya luka terkena kesan tikaman. Itulah dia Seniman Negara Allahyarham Tuan Haji Abdul Rahman Bin Abu Bakar, atau lebih dikenali dengan nama Pak Rahman B, tokoh bangsawan negara.

Begitulah penampilannya, sentiasa segak dan kemas. Sosok tubuhnya masih tegap dan semangatnya berkobar-kobar setiap kali diminta menceritakan tentang Bangsawan seawal tahun 1940an, aktiviti pementasan ketika penjajahan Jepun sehinggalah tahun 1970an di mana Bangsawan semakin pudar gemerlapannya. Namun yang pasti semangat seorang seniman tidak pernah pudar. Hidup dan matinya adalah hanya tentang Bangsawan.

Saya mempunyai peluang untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Menerusi perbualan secara santai di dalam kereta, Pak Rahman atau secara mesra saya panggil Cikgu, bercerita bagaimana beliau diundang untuk mengajar Bangsawan di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada tahun 1994. Beliau juga pernah menceritakan bagaimana beliau dipanggil oleh mendiang Krishen Jit untuk mencurahkan ilmu dan kepakarannya dalam ilmu Bangsawan ketika beliau masih lagi memegang jawatan penting di HVD Production House, sebuah produksi yang menerbitkan drama-drama popular sekitar tahun 1980an menerusi siaran televisyen di mana beliau sendiri bertindak sebagai penasihat untuk terbitan drama-drama Melayu.

Dari tahun 1994 sehingga kini, ASWARA masih menggunakan khidmat Cikgu selaku adiguru untuk kelas Bangsawan. Penglibatannya sebagai adiguru adalah untuk memberikan khidmat nasihat, pakar rujuk dan bantuan penyelidikan dalam segala hal berkaitan dengan Bangsawan. Melalui posisi yang disandang inilah, pengetahuan mengenai Bangsawan disebarkan melalui institusi pendidikan secara formal. Ramai anak didiknya kini telah berkhidmat di pelbagai lapangan dan turut menjadi pendidik juga. Seperti saya sendiri yang kini turut menjadi tenaga pengajar kursus Bangsawan bersama dengan pelapis-pelapis baharu yang berada di ASWARA, Sekolah Seni dan institusi pengajian tinggi yang lain. Legasinya kini mengalir bukan sahaja di dalam keluarganya, tetapi melalui anak muridnya.

Dari beliaulah kami mengenali watak Raja Andak dalam Bangsawan Raja Laksamana Bentan iaitu Bangsawan pertama yang telah beliau arahkan semasa menjadi pengajar di ASK. Pementasan tersebut dibuat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 8 hingga 11 Ogos 1996.  Kemudian kami diperkenalkan pula dengan naskhah Haris Fadhilah. Alang Buana, Bendahara Garang Perak, Taming Sari, Saudagar Rapudin, Puteri Patmawati, Megat Panji Alam, Delima Seri Temiang, Menjunjung Duli Mahkota dan banyak lagi. Dari istana Melayu membawa ke cerita Arab, India malah saduran cerita-cerita Shakespeare juga turut dipentaskan. Beliau pernah menegaskan bahawa kisah-kisah dalam Bangsawan bukan semata-mata berpaksikan cerita istana. Cerita-cerita rakyat tempatan turut diangkat bagi menarik perhatian penonton sehinggakan mampu dipentaskan berbulan-bulan lamanya.

Masih segar diingatan, keseronokan Cikgu bercerita tentang pengalamannya bersama anak-anak Bangsawan, bagaimana sehari sebelum pementasan, mereka menyusun cerita berdasarkan sinopsis pendek dan membahagikan watak mengikut keupayaan para pelakon.  Merancang dialog-dialog yang bersesuaian mengikut perjalanan babak dan watak yang akan dilakonkan. Beliau juga merancang dan memutuskan tentang pakaian dan ‘anesori’ (berdasarkan sebutannya. Mengikut pemahaman kami, ia aksesori) yang akan dipakai untuk persembahan.

Begitulah kehebatan, ketajaman dan ketelitian beliau dalam mengerjakan produksi sepanjang usianya bergelar seniman Bangsawan. Keistimewaan dan bakatnya dianggap setaraf dengan Tan Sri P. Ramlee, atas kearifannya dari pelbagai aspek persembahan seperti tarian, lakonan, nyanyian, penghasilan skrip, lukisan dan pengarahan. Tidak menghairankan seandainya cerita yang difilemkan oleh P. Ramlee menjadikan cerita Bangsawan sebagai sumber inspirasi. Menurut beliau sendiri, P. Ramlee pernah tidur di atas pentas Bangsawan. Cikgu turut mengakui pernah berlakon filem. “Tapi berlakon filem ni kena cantik. Kita tak cantik, main Bangsawan sahajalah,” selorohnya sambil ketawa dan tersenyum.

Beliau pernah bercita-cita untuk mewujudkan muzium khas Bangsawan dan mahu menempatkan koleksi barang-barang peribadinya untuk tatapan generasi di masa hadapan. Namun, cita-citanya tidak kesampaian. Malah semua hiasan pentas yang milikinya masih tersimpan di rumahnya di Kampung Baru. Mungkin hasrat beliau ini akan dapat disempurnakan oleh orang lain bagi memanjangkan legasi beliau ke generasi seterusnya. Sudah tentu hasil-hasil karyanya melalui Kumpulan Bangsawan Bintang Timur tidak dapat ditonton lagi, namun, hasil kerja tangan dan krafnya akan dapat dinikmati oleh peminat Bangsawan seterusnya.

Setiap kali habis kelas Bangsawan, beliau sering pelawa makan bersama. Saya juga seringkali datang menjemput dan hantar Cikgu pulang. Dengan senyuman, beliau selalu menghulur duit setiap kali dihantar pulang. “Buat belanja minyak,” katanya sambil dia masukkan duit dalam kocek atau ketika kami bersalaman. Sepanjang perjalanan dalam kereta beliau kerap berceloteh kisah dirinya dan dunia Bangsawan. Cuma, dua, tiga tahun kebelakangan saya mula menjarakkan diri. Cuma kadang kala saya menelefon untuk bertanya khabar. “Apa cerita?” sapanya sambil tergelak setiap kali saya telefon. Mungkin jarak itu membuatkan saya bersedia untuk menerima berita kehilangannya.

Kenangan dan kisah saya sebagai anak muridnya terngiang-ngiang sejak kebelakangan ini. Sehinggalah saya menerima panggilan telefon dari Hussin, salah seorang cucu rapatnya yang selalu menemani beliau setiap kali menonton apa-apa persembahan atau kumpulan Bangsawan Bintang Timur sendiri mengadakan persembahan. Ringkas dia memaklumkan, “Jatt, Cikgu dah meninggal.”

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites