Memertabatkan Bahasa Malaysia, bahasa kebangsaan kita, Sasterawan Uthaya Sankar SB mengajak lebih ramai mempelajari dan mendalami sastera dengan menganjurkan kelas secara dalam talian.
Oleh DANNY ADAM
Menggunakan teknik parodi, satira dan faksyen untuk mengangkat watak dalam penulisan ceritanya, itulah keunikan dan perbezaan kisah daripada epik, hikayat, purana, kavya, dan cerita rakyat yang ditonjolkan salah seorang Sasterawan Kavyan yang disegani ramai iaitu Uthaya Sankar SB. Minat membaca dan aktif menulis sejak kecil lagi, Uthaya menanam cita-cita untuk memperjuangkan ilmu sastera bahasa ini sama ada Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Ketika berusia 15 tahun, Uthaya mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan sastera ini dengan menghantar hasil karyanya dengan menggunakan majalah sekolah sebagai medium permulaanya menulis cerpen dan puisi sebagai bahan rujukan dan bacaan rakan-rakanya. Minatnya tidak terhenti di situ sahaja, baginya ilmu perlu dicari dan dipelajari kerana minat sahaja tidak menjadi jika tidak berusaha.
“Oleh kerana minat saya terhadap sastera dan bidang penulisan ini, saya telah menerima undangan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 1991 ketika saya berusia 18 tahun. Waktu itu saya tekad dalam diri bahawa saya kena ambil peluang ini untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada tokoh-tokoh ternama dalam sastera negara seperti A. Samad Said dan Othman Puteh.”
“Bermula daripada titik permulaan itulah, saya terus mengorak langkah dalam bidang penulisan tanpa berpaling lagi. Selepas menghadiri MPR, karya saya telah diantalogi dan disiarkan pada tahun 1992,” katanya.
Menjadikan Allahyarham Othman Puteh sebagai mentornya dalam bidang penulisan ini, cerpen pertama yang dihantarnya kepada majalah Dewan Pelajar berjudul Ayya pada Ogos 1992. Kemudian beliau terus aktif menulis dengan menghantar karya-karyanya kepada semua akhbar dan majalah arus perdana.
“Puisi, cerpen, dan rencana tulisan saya tersiar di hampir semua akhbar dan majalah arus perdana sejak tahun 1992. Lebih menariknya sejak majalah Dewan Siswa diterbitkan mulai Januari 1979, saya merupakan penulis kaum India yang pertama, cerpen diterbitkan dalam majalah Dewan Siswa berjudul Emak Tidak Mengerti pada Jun 1993. Itu mebuatkan saya berasa sangat bangga dan sangat gembira.”
Anak kelahiran Taiping, Perak ini juga pernah berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyunting dan penyampai berita Bahasa Malaysia, pengulas akhbar di Selamat Pagi Malaysia, serta penyelia Unit Bencana RTM (1996–2010). Beliau juga pernah menjadi pensyarah di beberapa kolej swasta (1999–2007), penyunting berita di Bernama Radio24 (2008–2009), serta penolong editor akhbar Sinar Harian (2010–2011). Uthaya kini menetap di Shah Alam, Selangor.
“Saya seorang pencinta bahasa, apabila saya menulis saya akan pastikan penggunaan bahasa, imbuhan, tanda baca adalah betul. Itulah kekuatan saya.” katanya lagi.
Bagaimanapun, pada Mac 2011, Uthaya memutuskan untuk menjadi penulis, pembimbing, dan pengkaji sepenuh masa. Uthaya aktif mengendalikan bengkel penulisan kreatif dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, dan Tamil di seluruh negara sejak 1994. Beliau juga menyelenggara antologi Vanakam (2002) iaitu antologi pertama yang memuatkan sepenuhnya karya penulis kaum India.
“Saya turut menyiarkan karya kreatif di portal dalam talian (online) seperti Free Malaysia Today, The Malaysian Insider, Malay Mail Online, Projek Dialog, Roketkini, dan Eksentrika. Saya turut menulis kritikan, esei, dan ulasan berkaitan topik bahasa, sastera, buku, filem, agama, politik, budaya, dan isu sosial.”
Ditanya mengenai pandangan beliau mengenai penulis sastera daripada kaum India, Uthaya menjelaskan walaupun tidaklah begitu ramai tetapi beliau amat berpuas hati kerana dari semasa ke semasa jumlah penulis dari kaum India semakin menggalakkan.
“Pada tahun 90-an penulis kaum India sangat kurang kira-kira lima orang sahaja tetapi sehingga kini lebih 50 orang penulis daripada kaum India yang aktif menulis pelbagai jenis karya seperti cerpen dan puisi.”
“Sebab itu ketika ini saya masih meneruskan mengadakan bengkel penulisan sastera dan cerpen untuk mengajak rakyat di negara ini tanpa mengira latar belakang agama, kaum untuk turut sama-sama serta menjadi penulis dan pada masa yang sama memperbaiki cara penulisan dan sebagainya.” katanya lagi.
Walaupun ketika ini negara berdepan dengan penularan COVID-19 tetapi Uthaya tetap meneruskan bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkannya melalui dalam talian sahaja.
“Cerpen, puisi dan karangan yang ditulis oleh peserta saya akan kumpulkan dan jadikan sebagai antologi. Tiga antologi yang telah diterbikan hasil daripada karya-karya peserta ini adalah Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020).”
Selain itu, Uthaya juga pernah dilantik menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (2011). Beliau turut dilantik sebagai Ahli Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (2018–2022) serta juri Pertandingan Video Resensi Buku Selangor Membaca sejak tahun 2019.
Antara buku persendirian Uthaya ialah Orang Dimensi (1994), Nari! Nari! (1995), Siru Kambam (1996), Munis Dengan Harimau (1996), Yang Aneh-aneh (1997), Surat Dari Madras (1999), Nayagi (2000), Sasterawan Pulau Cinta (2001), Rudra Avatara (2008), Kathakali (2009), Panchayat: Edisi Khas (2012), Kisah Dari Siru Kambam (2013), Hanuman: Suara Hati (2013), Pulau Pendatang (2015), Malaiur Manikam (2015), Mandala Bicara (2016), Ikan Patin dan Beruang Besar (2017), Thirukkural dan Megha Duta (2018), Ramayana dan Mahabharata (2019), Vetalam dan Vikramaditya (2020), Putaria (2020), dan Bhagavad Gita (2021). Buku Kavya Sastra yang diubah suai daripada disertasi (tesis) sarjana sastera dijadualkan terbit pada Oktober 2021.
Tidak hairanlah karya Uthaya pernah menerima pengiktirafan menerusi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (1992), Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993, 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99).
Malah beliau juga menerima Anugerah Citra Sahabat daripada DBP pada tahun 2019 atas sumbangan kepada Sastera Kebangsaan dan Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) daripada Universal Peace Federation pada tahun 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman, dan perpaduan melalui penulisan.
Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Uthaya, anda boleh layari uthayasb.blogspot.my.