Merangkap produksi penuh pertama yang dihasilkan oleh Amberjade Arts, ‘Opium at Closing Time’ yang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) sekarang hingga 30 Oktober 2022 merakamkan bibit-bibit kehidupan yang dicorakkan oleh keluarga dan komuniti.
Oleh NABILA AZLAN
Sebelum menguraikan mesej dan struktur cerita di sebalik pementasan Opium at Closing Time, pastinya lebih manis jika kita mengenal terlebih dahulu kumpulan artis yang berhimpun sebagai Amberjade Arts! Ditubuhkan pada awal tahun ini oleh dua pengasas bersama dan penerbit, Engku Armand dan Wendy Wong, Amberjade Arts diwujudkan sebagai ruang buat para penggiat seni baru yang mungkin terkekang untuk tampil ke hadapan, menggunakan pandemik COVID-19 sebagai pemangkin (catalyst). Misi mereka? Untuk menggalakkan penghasilan seni sebagai nilai tambah kepada masyarakat.
Bercerita tentang elemen-elemen teras teater Opium at Closing Time adalah tidak lain dan tidak bukan kru produksi ini sendiri yang diwakili oleh para penerbit bersama penulis/pengarah Tarrant Kwok, pengurus pentas Kelynn Ng, para pelakon Brendan Vinsent, Hannan Barakbah dan Grace Ng, serta komposer muzik mereka, Yanwen.
Perihal plot dan belakang tabir penulisan cerita
Penulis dan pengarah, Tarrant Kwok: Watak yang dinamakan Yen sedang mengalami beberapa simptom penyakit Alzheimer yang langsung menyebabkan masa lampaunya terbongkar. Anak lelakinya Chai yang bertanggungjawab menjaganya terpaksa menghadapi babak-babak hilang kawalan fikirannya. Keadaannya yang kian merosot melonggarkan cengkaman realiti, seterusnya mencabar hubungan kekeluargaannya. Dalam kelam kabut kenangan inilah segala kejayaan dan kegagalan Yen kembali menghantui dirinya. Penonton akan menyaksikan tragedi seorang wanita berpaksikan trauma pelbagai peristiwa, antaranya Perang Dunia 2 dan Darurat Tanah Melayu (Malayan Emergency).
Pembacaan lanjut untuk projek ini dimulakan sejurus pemergian nenek saya pada tahun 2017 yang juga ‘benih’ untuk teater Opium at Closing Time. Idea-idea teras mula menjadi kukuh selepas saya menggabungkan pengalaman menjaga datuk saya yang diserang strok sebelum bermulanya pandemik. Dari mula lagi, saya mahu mementaskan buah fikiran saya melalui jalan cerita bukan linear kerana saya ingin membawa penonton untuk memahami minda yang terapung dalam ikatan sesuatu masa, serta gambaran seseorang yang terkesan akibat demensia. Garis masa yang putus-putus ini cara saya mewakili hilangnya rasa sepadu (coherence) dalam diri.
Tema teras pementasan
Kwok: Terlalu banyak babak yang ingin saya sertakan dalam pementasan ini, namun terpaksa saya ringkaskan jalan ceritanya. Kalau nak diikutkan, saya mahu meletakkan lebih banyak adegan yang menyerlahkan betapa ngerinya kemerosotan diri dan kepada orang luar, perasaan menjaga seseorang yang mengalami simptom demensia – saya memotong sebahagian daripadanya oleh sebab kesukaran teknikal dalam mementaskan adegan-adegan ini di sini.
Antara tema besar yang ada di dalam cerita ini adalah kekeluargaan – terutamanya dinamika sebuah keluarga Asia yang bertumpu kepada ciri-ciri keluarga Cina biasa yang mungkin kita tahu tetapi tidak dipertontonkan secara tepat. Saya juga meneroka sifat menjadi orang Malaysia; apakah ertinya menjadi sebahagian daripada masyarakat majmuk serta nilai-nilai asas untuk hidup dalam masyarakat.
Untuk siapakah pementasan ini
Kwok: Campuran yang tua dan muda. Barisan penonton yang lebih tua akan mengingati lebih banyak cebisan budaya yang saya sertakan di dalam pementasan ini, sama ada mereka suka atau tidak. Penonton yang lebih muda mungkin kekurangan konteks awal, namun mereka akan perlahan-lahan mula faham akan konflik moden yang dikemukakan. Semua orang patut menonton teater ini kerana mereka boleh belajar dari satu sama lain. Ketidakselarasan pementasan ini adalah disebabkan oleh konteks yang dikemukakan – kami turut jangkakan kekeliruan penonton, sebab itu kami adakan sesi soal jawab selepas setiap persembahan.
Pengaturan set dan busana teater
Pengurus pentas, Kelynn Ng: Semasa memulakan persembahan ini, empat aspek utama yang membantu saya adalah pengalaman, pengetahuan, kreativiti dan komunikasi. Saya membuat banyak kajian tentang pakaian sesuai dengan era tertentu dan cara orang berpakaian. Kami pastikan ada komunikasi yang jelas antara pengarah dan penerbit agar dengan perspektif mereka selari dengan apa yang mereka fikirkan sambil kami bekerja menggunakan bajet yang ditetapkan.
Pemilihan kru dan para pelakon
Brendan Vinsent Hannan Barakbah Grace Ng
Kwok: Barisan pelakon yang kami cari memerlukan bukan sahaja kecergasan fizikal dan tingkah laku, tetapi untuk tenaga keseluruhan (sebagai ensemble). Walaupun kemahiran teknikal suatu keperluan asas, penting juga untuk kita memberikan peluang kepada artis baru. Kami mengiklankan panggilan terbuka (open call) untuk menguji bakat serta menghubungi individu tertentu yang kami fikir mungkin ada keserasian untuk persembahan ini. Kalau bukan disebabkan oleh sifat keterbukaan di Amberjade Arts, kami mungkin tidak akan bertemu Yanwen, pemuzik dan komposer hebat kami mahupun memasukkan Brendan atau Hannan ke dalam barisan pelakon kami.
Penyusunan muzik
Komposer, Yanwen: Sewaktu menyaksikan latihan persembahan pelakon, saya mula mempunyai imej muzik tertentu yang bermain di fikiran saya. Hal ini datang daripada proses kreatif yang disepadukan oleh latihan formal saya dalam muzik klasik, kebanyakannya diilhamkan oleh susunan klasik komposer filem terkenal seperti Hans Zimmer, Michael Giacchino. Tidak dilupakan juga, stail jazz artis R&B masa kini dan gambaran konsep emosi dalam konteks adegan yang ingin dilontarkan oleh barisan pelakon.
Anda akan dapat mendengar riff tema yang membantu dalam memberikan tindak balas emosi kepada visual atas pentas, seterusnya mentafsirkan emosi yang disimpulkan – melankolia, ketegangan, kesedihan dan kekosongan. Tak dilupakan juga momen-momen kecil yang membentuk idea saya, seperti perbualan dengan orang lain, mendengar lagu permainan video, memahami gambaran emosi daripada pelakon, tekanan (yang baik), mimpi dan kopi!
Peranan dan persiapan para pelakon dalam menyampaikan cerita
Pelakon, Brendan Vinsent: Saya rasa pengarah dan penulis kami, Tarrant (Kwok) memainkan peranan yang besar dalam projek ini kerana dia sering kali membuka perbualan tentang motif dan perjalanan watak. Ia membolehkan saya untuk mengambil langkah ke belakang untuk menganalisis skrip dan benar-benar mengembangkan sudut pandangan demi memanusiakan watak-watak yang saya gambarkan.
Pelakon, Hannan Barakbah: Kerana sudah sekian lama tidak menjejakkan kaki di panggung, pengalaman ini sangat bermakna buat saya. Untuk bekerja bersama yang lain, rasanya, cerita tersirat karya ini disulam dengan pengalaman hidup kami juga.
Saya memegang watak androgynous ensemble, di mana saya dikehendaki untuk menjadi seekor anjing, seorang wanita berbahasa Melayu Penang Tanjung, seorang askar Jepun, seorang ahli Komunis yang juga berbahasa Hakka dan beberapa lagi watak yang mendukung karya ini.
Pelakon, Grace Ng: Kami membuat kajian kami sendiri tentang sejarah peristiwa pada era itu seperti pembunuhan beramai-ramai Sook Ching serta pendudukan Jepun. Sewaktu raptai, kami mengadakan perbincangan mengenai sejarah dan garis masa peristiwa di mana setiap daripada kami bercakap tentang kenangan dan berkongsi tentang Pulau Pinang.
Reaksi penonton tentang Opium at Closing Time
Para penerbit: Oleh sebab ini persembahan pertama kami (sebagai Amberjade Arts), kami terkejut dengan aura positif yang luar biasa ini. Maklum balas daripada penonton yang hadir adalah baik secara keseluruhannya, ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah persembahan terbaik yang pernah mereka lihat! Ada yang sangat terharu dengan paparan tema kekeluargaan dengan air mata yang berlinangan. Turut ada penonton yang menghargai representasi sejarah lisan Malaysia dipentaskan secara langsung. Sudah ada permintaan buat kami menyiarkan semula produksi ini dalam pelbagai peringkat persembahan. Kami yang masih memproses reaksi ramai kami amat terharu dengan penghargaan orang ramai dan bersyukur akan pasukan produksi yang sedia bekerja keras.
Opium at Closing Time dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) dari 20 hingga 30 Oktober 2022. Baca info mengenai pementasan di laman Facebook ini. Ikuti Amberjade Arts di Instagram untuk pementasan mereka yang akan datang!
Gambar oleh Amberjade Arts, Chew Seng Cheong dan Chan Kien Ming
Anda juga boleh mengikuti kisah lain di sini: