Kesederhanaan itu radikal; barangkali detak itu yang menjadi api di dalam diri anak jati Sabah, Jennifer P. Linggi untuk mempamerkan bakul tradisional yang merupakan antara ciri masyarakat di pedalaman Sabah di dalam hiruk-pikuk Kuala Lumpur yang mungkin sudah lama lupa tentang erti sederhana.
Oleh AZUWAN AHMAD
The Godown Arts Centre yang bertempat di Lorong Ampang, Kuala Lumpur sedang mengadakan Pameran BAKUL: Everyday Baskets From Sabah selama tujuh minggu bermula 7 Jan sehingga 23 Feb.
Pameran ini mempersembahkan puluhan koleksi bakul tradisional Sabah yang dimiliki oleh Jennifer P. Linggi, penulis dan kolektor dari Sabah seperti mana yang dinukilkan di dalam bukunya, A Journal of North Borneo’s Traditional Baskets.
Idea ini tercetus melalui pertemuan para pengasas The Godown dengan Jennifer pada lewat tahun 2021, di mana Jennifer bergurau dengan mengatakan bahawa dia memerlukan sebuah muzium untuk menampung banyaknya koleksi bakul tradisional yang dimilikinya. Perbualan yang asalnya sebuah candaan ini akhirnya menjadi serius dan dewan utama Godown pula menjadi lokasi yang sempurna untuk tujuan tersebut. Maka bermulalah usaha untuk membawa bakul-bakul tersebut untuk dibentuk sebagai pameran, bersama Ling Hao, seorang arkitek selaku kurator bagi pameran tersebut.
Proses menuju pameran ini dilakukan dengan teliti dan penuh makna. Sekitar Julai 2022, Jennifer dan Ling Hao bersama rakan kumpulan yang lain mengadakan lawatan penyelidikan ke Kampung Bakuku di kawasan pedalaman selatan Sabah. Perjalanan tersebut sangat mengujakan bagi kumpulan ini; ada yang siap berbekalkan beg tidur, stokin anti-pacat dan penghalau nyamuk. Mereka tinggal dan makan bersama penduduk kampung serta mengikuti perjalanan orang Murut dalam menjelajahi hutan mencari rotan, buluh dan bahan alam yang lain untuk tujuan membuat bakul yang mereka gunakan setiap hari. Mereka memilih gambar dan barangan dari Kampung Bakuku untuk dijadikan sebahagian daripada pameran di Kuala Lumpur ini.
Tadang, Buan, Barabat dan Sulupi adalah antara puluhan nama yang diberikan kepada pelbagai jenis bakul tradisional oleh orang-orang Sabah. Ling Hao sebagai kurator yang dipilih untuk pameran ini sangat sentimental terhadap bakul-bakul ini dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dia benar-benar yakin dan percaya terhadap bentuk-bentuknya yang sarat dengan falsafah. “Dunia bakul-bakul ini sangat berjauhan dengan dunia bandar di mana ia dipamerkan. Namun begitu, bakul-bakul ini telah lama menemui jalan jauh dari tempat ia berasal, seperti mana manusia telah berjalan jauh dari dunia mereka dilahirkan”, tulis Ling Hao.
Ling Hao juga berkata dalam kenyataan kuratorialnya: untuk mengenal bakul-bakul, caranya adalah untuk ‘masuk’ ke dunia mereka. “Dunia ini bertunas dari rotan, buluh, bemban, mengkuang dan tumbuhan hutan yang lain. Ia juga berasal dari matahari, hujan, becak, pacat, serangga dan hidupan lain yang menjadikan sangarnya hutan. Setiap bakul adalah penemuan segar, sebuah transformasi daripada tumbuhan yang dipotong, kemudiannya dibawa balik ke kampung untuk diraut, dikupas, diisikan beras, dipikul oleh manusia, memerangkap ikan, membawa tandan pisang, menyimpan ubat, dibawa bekerja dan membawa bayi,” katanya. Kalau difahami kata-kata Ling Hao ini dari awal proses sampailah ke penggunaannya, semuanya di dalam satu rentak aturan kerja yang teratur hasil dari tangan, tubuh dan parang yang sama, tidak ada pemisahan kerja. Tambah Ling Hao lagi, tidak ada dua bakul yang serupa atau sama seperti mana tidak ada dua orang manusia yang serupa.
Jennifer P. Linggi, pemilik kepada bakul-bakul ini mempunyai perwatakan yang sederhana; inilah yang menampakkannya sebagai seorang yang benar-benar menarik dan tulen. Seakan perwatakannya, tujuan pameran ini diadakan juga serba sederhana. “Tentunya, untuk mendokumentasikan bakul-bakul ini. Bila saya melukis bakul-bakul ini sebagai kegemaran peribadi, saya dapat berbual dengan para penduduk kampung di mana mereka bercerita tentang kisah mereka dengan bakul-bakul tersebut dan bagaimana mereka telah bermula sejak remaja. Apabila saya melihat kraf tradisional, saya menjadi teruja. Di dalam buku saya ada 60 ke 70 buah lukisan bakul, semuanya mempunyai nama, personaliti dan tujuan yang berlainan. Buku ini adalah mengenai kepentingan orang ramai untuk mengetahui tentang bakul-bakul ini yang berkemungkinan akan pupus kerana para pembuatnya sudah lewat usia. Tidak ada generasi penerus yang meminatinya,” ceritanya panjang lebar.
Ketika penulis bertanya kepada Jennifer apakah keterujaannya disebabkan dia seorang anak jati Sabah dan punyai rasa tanggungjawab terhadap tradisi negerinya, dia menjawab, “Ketika saya pulang ke Sabah selepas 20 tahun mengembara di negeri orang untuk tujuan pendidikan, saya melihat bahawa segalanya yang bersifat mempromosikan Sabah itu hanyalah di permukaan dan lebih bersifat pelancongan. Saya tidak mengatakan ia tidak bagus, cuma hal ini tidak disertai pengetahuan yang mendalam mengenai budaya, ritual dan kraf Sabah. Oleh sebab itu, saya merasakan penting untuk mendokumentasikannya. Jika di waktu yang lebih ke depan, ada orang yang berminat untuk mengetahui tentang hal ini, mereka boleh merujuk kepada dokumentasi ini.” Jennifer yang pernah menjabat jawatan pengarah di Galeri Seni Sabah mengatakan, fokusnya sekarang lebih kepada budaya dan pendokumentasian yang sepadan dengan minatnya.
Pengasas Godown, Wan Yee Lim apabila bercakap kepada media mengatakan bahawa mereka (Godown) sangat senang mempamerkan hasil kraf orang-orang di pedalaman negeri Sabah. Pameran ini mengambil waktu setahun untuk dijadikan realiti dan dia sangat gembira kerana akhirnya, mereka mencapai maksud dan tujuan tersebut. Katanya, “Setiap bakul menakjubkan di pameran ‘berbicara’ sebagai wakil sendiri dan kami berharap sedikit imbasan ke dalam dunia mereka serta pembuatnya membuatkan orang Malaysia lebih menghargai dan membangkitkan kesedaran terhadap kaum asli di Sabah dan di Malaysia umumnya, juga isu-isu penting yang membelenggu mereka seperti perubahan iklim dan hak tanah”.
Pameran ini dibuka kepada semua secara percuma. Orang ramai juga boleh mengikuti bengkel-bengkel dan forum sepanjang pameran ini berlangsung. Dua Tamu, sebuah pasar terbuka dengan gaya Sabah akan diadakan hanya pada 28-29 Jan dan 25-26 Feb 2023 di mana orang ramai boleh mendapatkan kraf, produk tempatan, buku dan koleksi dari Borneo.
Waktu akses pameran adalah dari jam 12tgh-6ptg untuk hari Isnin-Khamis dan jam 12tgh-7mlm untuk hari Jumaat-Ahad. Pendaftaran dan maklumat lain boleh didapati daripada laman Instagram The Godown atau layari laman web www.godown.com.my.
Ikuti cerita-cerita menarik yang lain di BASKL: