Bunkface 15 tahun tetap di hati peminat

Setelah 15 tahun berada di arena seni tanah air, kumpulan muzik punk rock ini kembali menghiburkan peminat dengan Bunkface! 15 Years Of Korang.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI | Gambar oleh Zarif Jaflus dan Azzad Azman

Siapa tak kenal kumpulan Bunkface yang mula menempa nama di persada seni negara sejak 2005 lagi. Kumpulan yang mula terkenal dengan lagu ‘Silly Lily’ ini memang memberikan impak seolah-olah ‘malam ini kita punya’ pada hari terakhir konsert mereka!

BASKL berkesempatan menonton bersama ribuan peminat tegar Bunkface di Zepp Kuala Lumpur semalam (31 Julai 2022). Setelah 15 tahun ternyata Bunkface masih memberi aura yang cukup hebat buat semua peminat mereka.

“Tujuan utama konsert ini diadakan adalah untuk mempersembahkan lagu-lagu kami kepada peminat Bunkface yang juga dikenali sebagai Bunkers secara ‘live’ bersama-sama mereka,” kata Youk pemain gitar bass kumpulan ini.

Tambah Pa’an, gitaris Bunkface pula, “Idea di sebalik konsert ini sepatutnya berlaku dalam tahun lepas, namun bencana pandemik COVID-19 yang berlaku secara global membantutkan kebanyakan aktiviti seni di serata dunia.

“Setelah negara memasuki fasa endemik dan membolehkan aktiviti-aktiviti secara fizikal diadakan kami rasakan sekaranglah masanya untuk beraksi dan bertemu kembali dengan peminat,” ujar Pa’an.

Melihat ‘Bunkers’ begitu bersemangat menyanyikan dari satu lagu ke satu lagu yang lain sebenarnya membuatkan penulis turut sama merasai manis dan indahnya bait-bait lagu mereka, seolah membawa kita ke suatu zaman yang berbeza.

Bagi peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka seperti lagu Situasi, Darah Muda, Malam Ini Kita Punya, Prom Queen, Soldier dan pelbagai lagi lagu yang menggamit memori, konsert ini pasti dapat mengubat rindu anda.

Menurut Alyshaa Zaid salah seorang peminat Bunkface, “Saya begitu gembira dah teruja sebab lagu-lagu Bunkface ni memang bring back memories of us growing up, memang Bunkface yang terbaik lah. Antara lagu masa konsert tadi yang saya suka sudah semestinya Malam Ini Kita Punya, Situasi dan ofcourse closing act tadi Revolusi! Lagi best sebab lagu-lagu tu is few of my favourite songs”.

Dalam persembahan mereka malam tadi, Sam selaku vokalis dan pemain gitar utama sempat menghadiahkan berita gembira buat semua ‘Bunkers’, mereka bakal mengeluarkan album baharu tidak lama lagi.

Konsert Bunkface! 15 Years Of Korung yang dianjurkan oleh Bunkface Production dan Hitman Solutions, dengan sokongan MyCreative Ventures dibawah Program PENJANA dan Waka, serta rakan radio rasmi Hot FM dan Fly FM telah berjaya melabuhkan tirai semalam.

Tahniah buat Bunkface dan semua yang terlibat. Semoga Bunkface terus berjaya dalam memperkasakan karya-karya pop alternatif dalam genre rock punk dengan lagu-lagu baharu mereka yang bakal keluar tidak lama lagi dan dapat terus berjuang dalam industri muzik tanah air.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites