Anyaman buluh salingkawang tradisi Sabah

Setiap motif anyaman buluh salingkawang mempunyai maksud tersendiri berdasarkan keadaan kehidupan sekeliling penganyam seperti motif 'Nurugan' yang bermaksud mutiara, motif 'Nandus' bermaksud mata panah sukuk kaum dusun dan motif 'Tavaran' bermaksud jagung.

Oleh DANNY ADAM

Kesenian anyaman buluh salingkawang mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia merupakan warisan suku kaum dusun di Sabah. Setiap produk yang dihasilkan perlu melalui proses yang sangat teliti supaya hasilnya kelihatan kemas dan cantik. BASKL kali ini berpeluang menemubual dengan pengusaha anyaman buluh salingkawang iaitu Emily Jeneble.

Meminati seni anyaman buluh ini sejak kecil lagi kerana tradisi turun-temurun daripada neneknya ini menjadikan Emily ingin menimba mendekati ilmu mengenai kesenian ini, ditambah pula dengan darah seni yang dimiliki keluarganya.

“Nenek saya seorang pembuat kraf tradisional seperti topi tradisi suku kaum Dusun. Ketika itu saya hanya memerhatikan sahaja dan mencuba melakukan teknik-teknik asas dalam anyaman. Selain itu, ibu saya juga turut menerima tempahan membuat dulang anyaman buluh.

“Jadi bermula dari waktu itu, ketika saya sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran malaysia (SPM) saya mula berjinak-jinak dalam seni anyaman ini secara serius kerana kampung saya jauh dari bandar, mahu cari kerja di bandar sangat jauh. Saya fikir daripada pergi ke bandar yang jauh dengan kampung, lebih baik saya fokus melakukan seni anyaman buluh ini untuk menyara keluarga saya,” katanya.

Antara produk yang dihasilkan Emily.

Menceritakan lebih lanjut, perkara yang sangat menggembirakan Emily adalah apabila menerima upah RM50 daripada ibunya hasil tempahan daripada pelanggan.

“Saya rasa sangat gembira kerana dapat upah RM50, bagi saya duit yang diterima itu sangat besar nilainya. Oleh sebab itulah, ia membuatkan saya lebih semangat untuk mengembangkan bakat saya dalam bidang seni ini.

“Dengan wang bernilai RM50 inilah ia sebenarnya menjadi kekuatan dan pembakar semangat kepada saya untuk saya terus berjaya sebagaimana kejayaan yang saya kecapi hari ini. Bagi saya jika kita berusaha pasti kita akan mendapat lebih kejayaan,” kata Emily yang sudah lebih 40 tahun berkecimpung dalam bidang seni anyaman ini.

Motif Nandus, antara motif yang digunakan dalam anyaman buluh salingkawang.

Bagi Emily, jatuh bangun dalam seni kraf itu sudah menjadi lumrah, “Jika kita tidak pernah gagal, kita pasti susah untuk bangkit.” Emily tidak pernah menganggap kegagalan yang dilaluinya sepanjang kariernya ini membuatkan beliau berputus asa, sebaliknya ia menjadikan Emily untuk terus bangkit.

“Seni kraf ini memang sukar jika kita tiada minat, tetapi percayalah hasil yang kita lakukan dan sentuhan seni yang diukirkan ini sebenarnya memberi inspirasi kepada semua orang.  

“Seni anyaman buluh ini memiliki 30 jenis motif seperti motif ‘Nurugan’ yang bermaksud mutiara, motif ‘Nandus’bermaksud mata panah sukuk kaum dusun dan motif ‘Tavaran’ bermaksud jagung. Setiap motif anyaman buluh salingkawang mempunyai maksud tersendiri berdasarkan keadaan kehidupan sekeliling penganyam,” katanya.

Katanya lagi, teknik untuk membuat anyaman buluh ini agak susah dan mencabar tetapi apabila sudah lama dipraktikkan ia akan menjadi mudah.

“Cabaran untuk buat anyaman buluh ini adalah mencari bahan mentah kerana kita perlu masuk kedalam hutan, tebang buluh dan sebagainya kerana kita tidak menggunakan mesin, semuanya menggunakan pisau.”

Menurutnya, untuk penelitian dalam menghasilkan produk anyaman ini juga amat penting agar ia kelihatan kemas dan sempurna, jadi setiap lakaran atau hiasan pada design itu perlu dilakukan dengan berhati-hati dan cermat.

“Bagi proses produk ini, ia bergantung mengikut rekaan kerana setiap teknik yang dilakukan adalah berbeza-beza seperti bakul anyaman buluh yang akan mengambil masa sebulan sekiranya menggunakan 100 peratus bahan semulajadi. Manakala jika produk anyaman buluh gabungan jahitan hanya memerlukan tempoh kira-kira seminggu,” katanya.

Emily bersama produk anyaman buluh salingkawang.

Ditanya adakah produk anyaman buluh ini memerlukan penjagaan yang khusus, Emily berkata ia perlu dielakkan daripada terkena sinaran matahari kerana produk hiasan seperti pasu bunga dan alas meja boleh bertanan selama bertahun-tahun manakala produk seperti beg dapat digunakan selama tiga tahun mengikut cara pembeli menggunakannya.

Bagaimanapun, Emily melahirkan rasa syukur kerana sambutan seni kraf anyaman buluh di kampungnya ini semakin mendapat sambutan meluas malah kerajaan juga telah memilih Kampung Batu Lunguyan sebagai Program Kraf Kampungku (KKK) kerana produk kraf anyaman buluh yang dihasilkan sangat berkualiti sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara menerusi tempahan daripada pelancong antarabangsa.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai seni anyaman buluh salingkawang atau ingin membuat tempahan boleh layari laman sosial media seperti Facebook Anyaman Buluh Keningau dan Instagram Emily Jeneble atau kelarai_craft.

Jika anda berminat untuk melihat produk hasil daripada Emily, anda boleh ke Pasar Seni pada hujung minggu ini bersempena KLWKND di “Best of Malaysian Artisans”. Untuk maklumat lanjut anda boleh klik di SINI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites