Anuar Zain bakal raikan empat dekad muziknya yang hebat

#AZ40 merupakan sebuah catatan perjalanan Anuar Zain daripada seorang penyanyi kanak-kanak yang cilik pada tahun 1983 sehinggalah beliau menjadi seorang penyanyi lelaki solo yang cukup mahsyur dan terkenal di rantau ini

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Lebih 40 tahun yang lalu, dua orang penyanyi cilik telah mengeluarkan sebuah album duet kanak-kanak yang telah menggegar negara dan menjadi halwa telinga seluruh lapisan masyarakat. Lebih-lebih lagi lagu berjudul “Kain Pelikat” yang menjadi cukup popular. Ia dinyanyikan oleh Anuar Zain bersama teman duetnya Ellina. Setelah 4 dekad berlalu, nama Anuar Zain tetap unggul dan menjadi antara penyanyi lelaki Malaysia yang paling malar segar dan sentiasa mempunyai peminat tidak kira umur dan jantina. 

Pada 28 Oktober nanti, Anuar Zain bakal kembali lagi untuk beraksi di pentas besar Anuar Zain 40th Anniversary Concert #AZ40 bagi mengubati rindu para peminatnya. Penyanyi yang cukup dihormati dan disegani ini berada di dalam liganya yang tersendiri dek suaranya yang merdu, kemanisan senyumannya dan tidak dilupakan aura Anuar Zain sendiri yang cukup kuat dan positif. Kehadiran Anuar Zain di sesebuah tempat pasti dapat dirasai oleh orang ramai. 

Poster Konsert #AZ40 memaparkan sebuah gambar Anuar Zain yang memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Jelas Anuar, gambar poster dan konsert ini sendiri merupakan tanda apresiasi kepada peminat, rakan-rakan media, cetak dan digital. “Ini merupakan tanda terima kasih atas sokongan anda semua selama ini dan warna merah itu tanda i love you,” tambah Anuar yang cukup lembut dan jujur dalam memenangi hati warga media dan tetamu yang hadir pada sidang media tempoh hari.

Konsert AZ40 ini dianjurkan oleh JioBuddy. Sean Ng, Ketua Pegawai Eksekutif JioBuddy berkata bahawa JioBuddy amat berbesar hati untuk menganjurkan Anuar Zain 40th Anniversary kali ini. ” Anuar Zain 40th Anniversary Concert bukanlah hanya sebuah konsert biasa tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seninya yang panjang bersama semua peminat dan penggemar muzik beliau,” tambah Sean. 

Sebagai seorang artis yang mempunyai peminat yang merentasi zaman, Anuar berharap agar konsert kali ini menjadi sebuah kenangan indah antara para peminat dan dirinya sendiri. “Saya mengimpikan agar konsert AZ40 ini akan menjadi kenangan yang terindah di antara kita semua pada malam itu nanti. Juga menjadi kenangan manis buat semua tenaga kerja dan pasukan produksi yang besar di dalam menjayakan konsert AZ40 ini. ” kongsi Anuar Zain.

Tiket-tiket akan mula dijual pada 12 Julai 2023 mulai jam 10 pagi di  www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline tiket di +6011 510 03 111. Tiket-tiket berharga RM1188  (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Diamond) RM388 (Platinum) dan RM 188 (Gold). Raikan temujanji anda bersama Anuar Zain pada 28 Oktober 2023 jam 8.30 malam sempena  Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Malawati Indoor Stadium, Shah Alam.

Ikuti kisah-kisah menarik lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites