Semangat Zaman meraikan 20 tahun muzik Rock Malaysia!

Semangat Zaman yang menghimpunkan sekumpulan penyanyi Rock tanah air kembali membuat penampilan semula di konsert khas September ini. BASKL turut hadir di majlis sidang media mereka untuk meraikan jenama yang sudah mencecah 20 tahun ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Andai anda seorang peminat muzik Rock tanah air, pasti anda akan mengingati sebuah album kompilasi berjudul Semangat Zaman yang telah diterbitkan pada tahun 2004. Penyanyi yang mengisi dan menyumbangkan lagu dalam album tersebut adalah Datuk Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Rahim Maarof, Muss dan Joey BPR.

Sempena ulang tahun ke -20 album ini, sebuah konsert yang diberi nama Konsert Semangat Zaman-20th Anniversary akan diadakan pada 29 September 2023 di Zepp, Kuala Lumpur. Persembahan konsert itu nanti akan disertai oleh Datuk Nash, Joey BPR, Aris Ariwatan, Tantzen, Rahmad Mega, Jatt Black Dog Bone, Muss dan tambahan terbaru Bandi Amuk. Hanya seorang penyanyi daripada album asal yang tidak dapat menyertai konsert iaitu Rahim Maarof kerana faktor kesihatan.

Lagu-lagu dari penyanyi ini menjadi siulan anak muda di zaman kemuncak meraka.

Album kelahiran 2004 itu pada asalnya digubah oleh komposer L.Y. dan dijayakan konsepnya bersama dengan penggiat industri muzik, Jean Lau. Ketika itu, album fizikal ini telah berjaya mencapai jualan tahap Multi Platinum sebanyak 100,00 unit. Tahun 2005 album Semangat Zaman yang kedua juga mencatatkan kejayaan yang sama dengan tambahan Rahmad, Jatt dan arwah Shamrin Fotograf sebagai penyanyi. Oleh yang demikian, konsert ini berakarkan pemahaman untuk menyemarakkan lagi industri muzik dengan artis dan penyanyi Rock yang pernah menggegarkan dunia muzik di dalam tempoh waktu sekarang di saat kumpulan Indie sedang menguasai pasaran semasa. Ia sesuai dengan tema bagi malam itu iaitu ‘8 Legenda Rock. Satu Malam. Satu Pentas.Muzik Hebat’.

Jean Lau sebagai pengemudi kepada projek konsert kali ini mengatakan bahawa dia sangat merindui keseronokan dan pengalaman kedua-dua album terdahulu, serta peluang bekerja dengan kumpulan artis ini. “Saya menelefon L.Y. dan melontarkan idea untuk mengadakan konsert ulang tahun ke-20. L.Y. bersetuju dan kami mula mengumpulkan pasukan”, ceritanya.  Mengenai Bandi Amuk yang tidak terlibat sebelum ini, Jean percaya gaya dan kehadiran Bandi akan memberikan wajah dan rasa baharu kepada Semangat Zaman. “Konsert itu akan menjadi konsert pertama ikon-ikon muzik rock Malaysia berada di atas satu pentas membuat persembahan bersama”, tambahnya. 

Jean sempat memberikan cenderamata kepada wartawan veteran yang pernah meliputi album pertama Semangat Zaman.

Majlis sidang media ini turut dirasmikan dan disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd Yusof di mana beliau menyatakan sokongan penuh dari pihak kementerian mengenai penganjuran konsert seperti ini buat memeriahkan industri hiburan tanah air. Di dalam ucapan perasmiannya, beliau sangat prihatin terhadap masalah kebajikan artis-artis tanah air dan memberikan komitmen untuk membantu para artis termasuk dalam soal perniagaan. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak di luar negara seperti Thailand yang akan dikunjungi dalam masa terdekat mengenai kemungkinan membawa persembahan artis-artis tanah air ke sana. 

Datuk Azman teruja dengan penganjuran konsert Semangat Zaman dan juga akan mewar-warkan kepada warga kementeriannya.

BASKL menyokong penganjuran konsert muzik rock ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Semangat Zaman Entertainment Sdn Bhd! Sudah pasti persembahan pada malam itu nanti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk peminat dan pencinta muzik Rock tanah air.

Tiket Untuk konsert itu nanti boleh didapati di my.bookmyshow.com dan peminat juga boleh hubungi mereka di talian 03-9212 4202. Ia berharga RM 208 (Zon Rock), RM 328 (Kerusi Normal) dan RM 388 untuk kerusi premium. Pengunjung konsert boleh menikmati harga istimewa ‘early bird’ RM 198 Untuk Zon Rock (sah sehingga 15 Julai 2023).

Ikuti kisah-kisah lain yang menarik di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites