Nantikan konsert ‘Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur’ September ini

Terowong masa, muzik dan kehidupan Faizal Tahir ini akan menemui peminat pada 2 September 2023.

Melalui Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur, bintang rock tersohor Faizal Tahir, akan berkongsi kembara pembabitannya dalam industri seni yang penuh turun naik. Dia yang memegang pengenalan pentas Faizal Tahir masuk ke industri muzik tempatan bukan sekadar mahu memegang predikat ‘aku penyanyi’.

Dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad, Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur bakal dilaksanakan pada 2 September 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre pada pukul 8.30 malam.

Ia merupakan konsert sulung pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 44, yang akan dilangsungkan dalam suasana bukan sekadar mengisi dahaga penggemar lewat untaian lagu, tetapi juga peminat akan ikut masuk ke terowong masa sepanjang 17 tahun berkarya.

Menurut Sean Ng merangkap wakil penganjur iaitu JioBuddy, “Kami sangat berbesar hati kerana akhirnya diberi kepercayaan menganjurkan Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur pada 2 September ini. Konsert ini amat penting kerana pengisiannya bukan sekadar muzik, tetapi sebuah penceritaan perjalanan seorang insan bernama Faizal Tahir. Setelah pihak kami dan Faizal mencapai kata sepakat bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan tanpa manfaat, maka pihak kami berasa sebuah konsert atau persembahan hebat seperti ini perlu segera dipertontonkan kepada penggemar dan umum.”

Bagi penyanyi itu, objektif yang lebih penting dari sekadar penggemar melihat dirinya sebagai penyanyi, popular dan dipuja kerana vokal atau persembahannya adalah bagaimana dunia seni juga menjadi sebahagian daripada fasa hidup lewat pengalaman yang dilalui.

“Secara jujurnya, selepas 17 tahun baru sekarang terjadinya konsert solo Faizal Tahir. Sebabnya, saya sudah lama dipujuk oleh ramai pihak. Akhirnya, saya akur dengan pujukan itu. I give in, mereka telah meyakinkan saya untuk buat konsert saya,” akui Faizal.  

Bercerita tentang konsep dan kelainan, Faizal membayangkan bahawa konsert ini akan membawa kepada segmen-segmen yang membahagikan perjalanan seninya.

“Konsert ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi sama-sama untuk kita mengambil sesuatu yang baik dan positif tentang kehidupan. Ada sesi perkongsian dari dari zaman ‘poyo’, tak sedar diri sampailah sedar diri. Saya nak orang pulang dengan mereka rasa mendapat sesuatu yang bermanfaat untuk diri masing-masing. Bukan sekadar sebuah konsert orang nyanyi dan balik dan habis begitu sahaja,” kata Faizal. “Aku Faizal Tahir akan membawa penonton dalam sebuah penggembaraan kehidupan — dari tanggungjawab seorang penyanyi kepada seorang Muslim, kemudian dari seorang artis kepada seorang bapa.”

Sudah tentu hit-hit dari lima album termasuk Aku.Muzik.Kamu, Adrenalin dan Faizal Tahir serta Anatomi dan Rojak akan didendangkan. Peminat akan mendengar vokal mantap Faizal dalam Mahakarya Cinta, Bencinta, Assalamualaikum dan Ragaman yang sudah menjadi antem peribadi buat penggemarnya.

Malah, sebagai tanda kasih buat semua pihak yang mendukung perjalanan kariernya selama ini, beliau merakamkan semula lagu Sampai Syurga yang akan menjadi hadiah atau momen paling berharga untuk didengarkan pada malam konsert.

“Besar harapan saya agar rakaman semula Sampai Syurga yang akan didendangkan nanti mampu mengimbau dan mengembalikan memori peminat untuk menghidupkan pengalaman konsert secara keseluruhan,” tambah Faizal lagi.

Konsert sulung Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur di Dewan Merdeka, World Trade Centre sedia untuk menemui ramai pada 2 September 2023, 8.30 malam. Tiket-tiket berharga RM488 (Platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia atau hubungi hotline: 011-5100 3111 (kiriman WhatsApp sahaja).

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites