Adiguru CENDANA: Jusoh bin Chin

Jusoh bin Chin mempunyai pengalaman dalam persembahan Jikey hampir tiga dekad lamanya.

Oleh DANIAL FUAD

Sedikit sukar pada zaman ini untuk mendengar perkataan Jikey. Akan tetapi, seni persembahan ini sangat sohor dan aktif sekitar tahun 1950an hingga ke 1970an di selatan tanah air terutamanya Perlis serta Kedah dan juga sekitar utara Thailand. Jikey merupakan persembahan teater tradisional Melayu yang merangkumi lakonan, tarian, nyanyian dan juga muzik.

Sering dipersembahkan di pelbagai acara keramaian terutamanya majlis perkahwinan, seni ini dianggap unik dalam persembahan tradisional kerana mempamerkan watak dari pelbagai kaum. Asal-usul seni ini sedikit samar dengan terdapat tiga tanggapan utama tetapi berkongsi satu motif yang sama iaitu bagaimana sekumpulan manusia terpaksa berlakon bagi mendapatkan wang untuk membebaskan diri mereka.

Seni ini kian ditelan zaman dengan ramai tokoh-tokoh Jikey seperti Saidin bin Arshad dan Hamid bin Itam telah pergi meninggalkan kita baru-baru ini. Bagi menyambung tradisi persembahan ini, Jusoh bin Chin bersama dengan Bibun bin Arshad telah membuat keputusan untuk mengajar kesenian ini kepada generasi baru.

Juga dikenali sebagai Pak Choh, Jusoh yang berasal daripada Kampung Bukit Nau, Langkawi telah terlibat dalam persembahan Jikey semenjak kecil lagi. “Saya bermula bermain Jikey ini bersama dengan Tok Baguh dari Jikey Kedawang, dialah yang memperkenalkan seni ini kepada saya” ujar Jusoh. Semasa berusia 12 tahun, Jusoh telah menyertai Kumpulan 1 Jikey Kedawang dan menerima didikan daripada Said Ibrahim.

Jusoh mengulas, “pada mulanya saya tidak berapa minat dengan Jikey ini tetapi didorong oleh bapa dan juga datuk saudara saya.” Beliau aktif membuat persembahan bersama Bibun hampir tiga dekad di antara tahun 1990 hingga 2017. Antara kumpulan yang pernah disertai Jusoh adalah Kumpulan Jikey Yooi, Kumpulan Jikey Kedawang 2, Kumpulan Jikey Mawat 2 dan Kumpulan Jikey Kedawang 3.

Seni Persembahan Jikey

Dalam persembahan Jikey, terdapat lima watak utama yang perlu ada iaitu; Perempuan Jawa atau Minachi, Watak Peran atau Awang, Pek Seng atau Ah Seng, Tok Penghulu atau Raja dan juga Tuan Keling. “Saya mula dengan memainkan watak Awang akan tetapi, pada satu malam Bang Chik telah menjemput saya datang kerumahnya dan memberi saya pakaian watak wanita,” ujar Jusoh tentang bagaimana Chik Gerabak memberi beliau watak perempuan yang dimainkan beliau sehingga kini.

Selain daripada pandai berlakon, Jusoh juga mahir dalam memainkan alat muzik berkaitan Jikey. Alat muzik dalam Jikey digunakan sebagai muzik latar dan juga mengiringi nyanyian serta sebagai pengenalan watak tertentu berdasarkan jenis bunyi yang dimainkan. “Persembahan Jikey ini bermula dengan tiga buah lagu seperti lagu Duduk Sila,” ulas Jusoh lagi.

Ketika permulaan persembahan ini jugalah elemen muzik menjadi penting di mana ia menjadi pengiring untuk pengenalan watak-watak seiring dengan sketsa lucu. Persembahan pembukaan ini  merupakan identiti Jikey yang membezakannya dengan persembahan teater tradisional Melayu yang lain. Alatan muzik Jikey biasanya terdiri daripada biola, tiga buah rebana dan dua cerek atau pun dikenali sebagai ketuk buluh.

Pemerkasaan Jikey

Terdapat pelbagai usaha bagi memperkenalkan Jikey kepada orang ramai telah dibuat oleh Jusoh bersama dengan Bibun. Antaranya adalah terlibat dalam pementasan Jikey generasi baru bersama Persatuan Warisan Anak Inspirasi Seni pada tahun 2017 dan 2018. Beliau juga terlibat dalam sebuah dokumentari berkenaan Jikey bersama Langkawi UNESCO Global Park pada tahun 2020 malahan pada tahun 2022 pernah membuat persembahan di hadapan Temenggung Kedah sempena sambutan 15 tahun Langkawi sebagai UNESCO Geopark.

Bagi menurunkan ilmu ini kepada generasi baru, Jusoh bersama dengan Bibun telah mengadakan bengkel enam hari di Auditorium LADA Langkawi. Mendapat sokongan daripada Cultural Economic Development Agency (CENDANA), bengkel yang diberi nama Bengkel Bersama Adiguru Jikey – Pemindahan Ilmu Kepada Generasi Baru ini telah berlangsung pada Ogos 2022 dan menerima sambutan seramai 34 orang peserta.

Pada tahun 2022 juga, Jusoh bersama Bibun telah mendapat Anugerah Adiguru daripada Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). “Minat penting dalam mempelajari ilmu ini, saya akan berhenti mengajar jika mendapati seseorang itu tidak mempunyai minat dalam seni ini,” ujar Jusoh.  Kini berusia 85 tahun, diharapkan usaha-usaha daripada Jusoh dan juga Bibun ini sedikit sebanyak dapat menyelamatkan seni ini daripada terus hilang dari sanubari masyarakat.

Jusoh bin Chin merupakan penerima dana Adiguru fasa ketiga dalam Seni Jikey. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites