Lau Beh Chin melestarikan kerjaya tradisi di persada seni dunia

Penari Lau Beh Chin mengukir nama di serata dunia.

Oleh MIMI SALLEH

Melihat gaya anak kelahiran Pulau Pinang ini melentikkan jari dan menggerakkan tubuh dengan gemalai, tiada siapa menyangka penari bernama Lau Beh Chin, atau lebih mesra dipanggil Jinn, ialah graduan Kejuruteraan Kimia. Namun, pada tahun 2011 oleh sebab minat yang mendalam pada seni tarian, dia menukar arah dan menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di Fontys Hogeschool Voor de Kunsten, Tilburg di Belanda.

Rezeki ayam nampak di taji, rezeki Jinn bermula apabila dia mendapat biasiswa Stepping Stone yang membolehkannya menamatkan Sarjana Persembahan Tari Kontemporari, kelas pertama dari University of Limerick, Ireland.

Bakat tari Jinn semakin menyinar dari tahun ke setahun melalui persembahan dengan nama-nama besar dalam dunia persembahan tari seperti Katja Grässli, Laura Murphy, Jacqueline Doyen dan Isabella Schad.

Jinn turut mengakui penglibatannya dalam acara-acara persembahan di luar negara telah membina kredibilitinya sebagai seorang penari dan koreografer. Antara festival yang dia terlibat termasuklah ABUNDANCE ’13 di Sweden, Dancewoods Workshop Festival di Bologna, Itali, FAKI’19 di Croatia, World Dance Alliance-Asia Pacific 2016 di Korea Selatan dan M1 Contact Festival 2017 di Singapura.

Gambar: Brian Choong

Pada tahun 2015, usaha konsisten Jinn ini ternyata membuahkan hasil apabila memperolehi Dana Gala Seni Diraja (Royal Art Gala Fund) yang membolehkannya berkolaborasi dengan Marc Colpaert dan Katja Grässli. Bertitik-tolak daripada kolaborasi ini, dua tahun kemudian satu lagi projek berjaya dihasilkan iaitu Cataract yang dipersembahkan di Belgium and Belanda.

Semakin lama senarai kejayaan Jinn semakin berkembang malah projek-projek seni tari yang terhasil berjaya mencetuskan dialog membincangkan perbezaan budaya seni Malaysia dan Eropah. Bermula daripada sesi-sesi dialog inilah bermulanya projek ANJEZ yang memberi tumpuan pada pembelajaran dan pengajaran seni kepada pelajar pelarian.

“Pada tahun 2018 saya menganjurkan satu projek yang dipanggil Your Memories, Our Identity (YMOI). Ini adalah inspirasi daripada kisah-kisah lisan mengenai pekerjaan tradisi yang semakin luput sekitar bandar Butterworth,” jelas Jinn.

Hasil projek YMOI ini telah membuka peluang baharu untuk Jinn menganjurkan tiga program berbeza di Butterworth Fringe Festival 2018 dengan sokongan dana daripada Think City Butterworth & INXO Arts. Pada tahun 2020, dia meneruskan projek ini dengan sokongan Cultural Economy Development Agency (CENDANA).

Kini Jinn terpilih sebagai penerima anugerah WE (WE-Award) kali ke-5 daripada Mathilde Gilhet artis seni tari dari Switzerland. Anugerah WE ini dianjurkan bagi menggalakkan pembangunan artis yang berpotensi dan berdedikasi dengan memberikan mereka peluang kebebasan untuk berkarya melalui sokongan kewangan. Penerima anugerah WE dipilih daripada komuniti penggerak yang memberikan cadangan semasa sesi WE-Open Call.

“Menerima anugerah WE ini membuatkan saya rasa lebih bersemangat untuk berkarya. Ini bukan sahaja mengiktiraf projek Moving with Artisan (MoA), malah tujuan anugerah ini turut membuka peluang kepada lebih ramai artis tari untuk menimba ilmu dan pengalaman,” jelas Jinn.

Di laman sesawang WE, kita boleh melihat peranan dan misi besar Mathilde Gilhet sebagai pengasas dalam membentuk dan membangunkan pemimpin komuniti seni terutama dalam menangani cabaran budaya dan sosial.

“Memenangi anugerah ini saya tidak terikat dengan apa-apa komitmen dengan pihak Mathilde Gilhet dan WE. Saya hanya perlu maklumkan sahaja akan aktiviti yang akan dibuat pada masa hadapan. Namun, perbincangan awal sudah dibuat malah kami juga sudah menjemput mereka untuk berkolaborasi sama ada untuk siri bengkel atau kelas dalam talian. Itu akan dibincang lanjut apabila mereka datang ke Malaysia, tahun depan,” jelas Jinn.

Berpegang pada tiga prinsip WE iaitu pembelajaran (educate), penglibatan (engage) dan galakan (encourage) Jinn mahu projek YMOI yang pertama kali dibangunkan pada tahun 2018 diteruskan dengan sokongan yang lebih padu untuk projek MoA. Artisan adalah penggiat seni yang mempunyai kepakaran tersendiri. Malangnya seni dan pekerjaan tradisi sudah semakin dilupakan.

“Saya sedih melihat kurangnya generasi muda cakna terhadap pekerjaan tradisi menyebabkan ia semakin hilang ditelan zaman. Kini pekerjaan tersebut telah diganti dengan penggunaan mesin. Kelak, ia hanya wujud dalam lipatan sejarah,” kata Jinn.

Aktiviti “MoA: Body as Archive” menerokai peluang dan metod yang sesuai untuk mengarkibkan gerakan para artisan. Lima artis muda sudah dikenal pasti daripada pelbagai latar belakang persembahan dan latihan tarian untuk meneruskan usaha mengumpulkan bahan dan memperkatakan mengenai hal ini. Jinn melalui Jinn Production turut menganjurkan beberapa siri bengkel dan aktiviti dalam talian bagi memberi kesedaran mengenai kerjaya-kerjaya tradisi.  Orang ramai dijemput untuk ke laman facebook MoA untuk mendengar kisah-kisah artisan yang disampaikan oleh beberapa orang generasi muda.

Sesungguhnya kerjaya seni tradisi seperti pertukangan, ukiran dan kimpalan besi adalah seni warisan yang harus dilestarikan dalam ingatan semua. Kualiti hasil produk seni itu adalah kemahiran hasil tangan yang melibatkan pengalaman bertahun-tahun dan nyala rasa berkobar-kobar para artisan tradisi. Seni tradisi ini harus sentiasa mekar dari zaman ke zaman. Justeru, usaha Jinn melalui MoA harus disokong dengan kerjasama daripada pelbagai pihak lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Lau Beh Cin anda boleh layari laman sosialnya di Instagram, Facebook.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites