Air Force The Movie: Hanya sekadar cukup haul

Dalam tempoh 11 hari, filem yang dinantikan ramai sebelum penayangannya telah mengutip RM20 juta. Penulis telah pergi menonton filem ini di pawagam dan merasa sedikit kecewa kerana filem ini hanya dirasakan cukup haul sebagai sebuah filem. Tulisan kali ini adalah pendapat peribadi penulis mengenai filem tersebut. Spoiler alert!

Oleh Azuwan Ahmad

Pertama sekali, Penulis harus mengingatkan bahawa ulasan ini adalah pendapat peribadi dan anda berhak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan ulasan ini seperti mana yang telah Penulis katakan semasa mengulas filem Mat Kilau tempoh hari.  Secara keseluruhan filem ini penulis kira sebagai filem penghormatan (tribute) untuk angkatan Tentera Udara negara kita sahaja, tak lebih dan tak kurang. Ulasan ini ditulis dalam keadaan penulis mengerti telah banyak usaha yang dicurahkan untuk membikin filem ini yang tentunya menelan kos belanja yang banyak.

Secara ringkas, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berkisahkan tentang sekumpulan anggota PASKAU (Pasukan Khas Angkatan Udara) dan beberapa orang awam yang cuba untuk keluar dari sebuah wilayah yang diberi nama Namburi. Wilayah Namburi ini mengalami perang saudara antara pihak tentera utara dan militia selatan dan tempoh waktu gencatan senjata sudah tamat. Sekumpulan anggota PASKAU ini yang dipercayai menjadi tentera pengaman, seorang doktor sukarelawan dan dua orang wartawan ini mengalami detik cemas untuk keluar daripada wilayah bergolak tersebut setelah pesawat mereka ditembak pihak pemberontak selatan.

Filem ini dibintangi ramai pelakon antaranya adalah Dato’ Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sarah Ali, Johan Ashari, Pablo Amirul, Luqman Hafidz, Jack Tan dan Anas Ridzuan. Air Force diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan Frank See. Frank juga merupakan penerbit untuk filem Paskal The Movie.

Babak aksi dalam filem ini tidak diragui memang baik.

Sebenarnya Penulis sudah menonton 10 minit yang pertama beberapa hari sebelum menonton tayangan penuh di pawagam. Cerita bermula dengan latar belakang wilayah bergolak Namburi kemudian membawa kepada hari gencatan senjata tamat di pangkalan anggota PASKAU. Keadaan genting buat kumpulan dari Malaysia ini untuk bergerak keluar daripada pengkalan menggunakan pesawat dipaparkan melalui watak-watak yang asyik menunjukkan jam di tangan, soalan bila mahu bergerak dan konflik kecil antara dua wartawan. Tiba-tiba watak Dato’ Adi Putra muncul dalam kereta memangku seseorang yang tercedera dikejar oleh sekumpulan pemberontak menaiki kenderaan dari belakang.

Ini adalah momen di mana anggota-anggota kumpulan ini bersiap sedia dengan senjata untuk menyelamatkan ketua mereka itu dari diapa-apakan sehingga masuk dengan selamat ke dalam kawasan pengkalan. Sebenarnya terasa ada kejanggalan di sini. Sub-plot dalam 10 minit pertama ini ada beberapa yang dibuka dan kemudian ditutup dengan aneh atau tak diselesaikan. Contoh, hubungan antara pihak anggota PASKAU dan pemberontak atau militia setempat itu menimbulkan persoalan. Kebanyakan tempat atau situasi dimana ada tentera pengaman, selalunya jarang ada kumpulan bertelagah yang cuba untuk menimbulkan masalah dengan kumpulan pengaman.

Dato Adi Putra antara bintang utama di dalam filem ini.

Sebab penulis menimbulkan soal ini adalah kerana babak watak Adi Putra itu yang timbul secara tiba-tiba tanpa tahu asal usul kejadian kejar-mengejar tersebut. Babak ini kemudian dihabiskan dengan mereka berjaya sampai ke pengkalan dan terlihat pemberontak yang mengejar mengambil gambar anggota PASKAU yang bertahan di pengkalan tersebut. Rentetan daripada babak itu, sukarelawan yang berada di situ cuba membantu mangsa yang cedera tersebut tapi kemudian menunjukkan ekspresi terkejut apabila ternampak cap pada tubuh mangsa tersebut. Mereka kemudian enggan untuk membantu. Apa yang sebenarnya berlaku di situ? Tidak jelas.

Kemudian, selepas mereka yang cuba keluar dari wilayah bergolak ini menaiki pesawat, di tengah perjalanan pesawat mereka ditempah jatuh oleh kumpulan pemberontak. Kalau saya tanya kepada para pembaca, berapa kerap anda mengalami kejadian pesawat ditembak jatuh? Itulah sebuah kejadian yang tak berlaku setiap hari dan sudah tentu menakutkan dan mencemaskan.

Orang awam yang terdiri daripada seorang doktor dan dua orang wartawan selepas terjun dari pesawat tersebut menggunakan payung terjun tidak menggambarkan keadaan yang menakutkan itu. Hanya sebentar sahaja watak Mat No yang dijayakan Anas Ridzwan menunjukkan trauma. Watak Sarah Ali yang juga merupakan wartawan langsung tidak menggambarkan ngerinya kejadian tersebut. Malah watak ini mengalami pasang surut emosi dalam sikapnya terhadap anggota-anggota PASKAU yang baru sahaja menyelamatkannya terutama kepada watak Adi Putra. Ada kejadian yang dia sangat kritikal terhadap PASKAU, adakalanya dia terlihat empati dan simpati terutama terhadap cerita-cerita peribadi.

Antagonis dalam filem ini merupakan kumpulan pemberontak yang diketuai oleh pelakon Han Zalini juga tidak membantu. Selain daripada beberapa butir perkataan bahasa asing yang diulang-ulang dan ekspresi wajah yang kelihatan seperti tidak makan beberapa hari berbanding wajah bengis pahlawan pemberontak, ia tidak mempunyai signifakasi melainkan hanya mengacah-acah kumpulan PASKAU.

Hayat watak antagonis ini berakhir di sebuah lubang terowong yang pada akhirnya tidak ditunjukkan pun. Kita hanya dapat tahu Adiputra dapat mengalahkannya apabila pintu lubang tersebut dibuka dan hanya Adiputra yang muncul. Konflik antara watak Nas-T dan Aiman Hakim Ridza juga seperti dipaksa-paksa. Konflik ini seharusnya difikirkan semasaknya kerana Nas-T merupakan antara watak utama dalam filem ini.

Kalau anda tertanya-tanya apakah konflik tersebut, saya dengan senang memberikan analogi. Bayangkan anda berjanji untuk pergi ke restoran mamak dengan kawan anda tetapi kawan anda bailout pada akhirnya kerana dia lebih gemar untuk makan sushi di restoran Jepun. Kemudian hubungan anda dan kawan anda itu menjadi keruh. Benar, sekecil itu.

Secara keseluruhan, filem ini mempunyai lambakan pelakon yang tidak memberikan tenaga yang sama antara satu sama lain dan penuh dengan subplot yang dipaksa-paksa serta tidak membantu. Tema dan persoalan dalam cerita ini juga tidak diolah dengan baik.

Maka, penulis menyarankan hal ini, anda harus pergi menonton filem ini untuk terus menyokong industri kita dan sebagai tanda yang baik atas keringat yang dicurahkan untuk menjayakan filem ini. Kalaupun filem ini bukanlah filem yang puas untuk ditonton, paling tidak ia menunjukkan sebenarnya mereka di dalam industri kita mampu untuk menghasilkan filem yang bergenre seperti ini. Penulis memberikan 5/10 untuk Air Force The Movie: Selagi Masih Bernyawa.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites