Adiguru CENDANA: Ismail Yahya

Ismail Yahya mula berkecimpung dalam bidang pembuatan wau semasa mengikut bapanya ketika berusia 18 tahun.

Oleh DANIAL FUAD

Wau merupakan salah satu kraf yang telah diamalkan sejak berpuluh tahun lagi di Malaysia. Antara wau yang cukup rapat dengan masyarakat kita adalah wau bulan yang terkenal sehingga digunakan logonya pada syarikat penerbangan nasional kita, Malaysian Airlines. Terdapat bermacam lagi jenis wau yang merupakan lambang setiap negeri seperti Wau Helang dari Perlis, Wau Merak dari Johor dan Wau Jala Budi dari Kedah.

Negeri Selangor juga tidak terkecuali dalam mempunyai tradisi wau tersendiri di mana lebih terkenal dengan wau kapal. “Wau kapal ini diilhamkan daripada rupa bentuk kapal ketika belayar di laut dan ia telah rasmi menjadi simbol negeri Selangor. Tradisi ini tidak terhad di Bukit Changgang sahaja, terdapat juga pengamal dari Klang, ia dipanggil wau kapal Selangor asalkan ia dibuat di negeri ini,” ujar Ismail Yahya. Terdapat juga catatan sejarah mengatakan bahawa wau pada suatu ketika dulu menjadi panduan kepada para nelayan yang pergi menangkap ikan untuk pulang.


Ismail Yahya merupakan salah seorang pengamal wau yang masih lagi mengamalkan tradisi ini semenjak usia muda lagi di mana menurut beliau, “Saya mula berkecimpung dalam pembuatan wau ini sejak dari umur 18 lagi dan semenjak 2015 ke atas saya mula menerima anak murid mengajar selok belok pembuatan.” Beliau menambah lagi, “Semangat anak muda yang jauh umurnya dari saya kinilah yang terus membakar semangat saya untuk meneruskan pembuatan wau. Permainan wau ini berkumpulan, jika saya hanya membuat wau tetapi tiada siapa yang mahu menaikkannya, mungkin saya tiada semangat.”

“Wau kapal memang asalnya dari Negeri Selangor di mana nenek moyang kita sudah lama mengamalkannya tetapi apabila muncul generasi baru, ianya sudah tidak digunapakai kerana kebanyakkan pertandingan sekarang berasaskan wau moden,” ulas Ismail tentang dua jenis wau yang masih dihasilkan beliau. “Jika dibanding dulu, saya hanya boleh membuat satu wau seminggu manakala kini saya boleh menyiapkan tiga wau dalam masa sehari,” tambah beliau lagi. Wau kapal tradisional sarat dengan motif hiasan dihasilkan melalui teknik seperti telepuk dan tembuk yang rumit dan memakan masa manakala wau moden tidak mempunyai motif hiasan tersendiri tetapi terletak lebih kepada kreativiti pembikinnya.

Penerimaan wau juga semakin meningkat menurut Ismail di mana beliau telah menyatakan, “Semenjak tahun 2000 ke atas, pembikinan wau membangun secara pesat. Sekarang makin ramai orang yang boleh membuat wau berbanding dahulu, di mana hanya saya dan bapa saya sahaja yang pandai membuatnya.” Ismail juga yang telah menerima pelajar di bawahnya menceritakan semangat anak muda yang sangat kuat, “Kebanyakkan yang datang belajar sudah tahu bagaimana nak mencari, meraut buluh dan menerbangkan wau. Saya hanya membantu dalam membuat analisis kerja tangan mereka dan berkongsi apa yang boleh ditambah baik.”

Wau kini dihasilkan bukan sahaja untuk bermain di waktu petang sahaja, malahan kini terdapat pelbagai pertandingan dianjurkan orang ramai dan juga persatuan yang sangat mendapat sambutan. Baru-baru ini pada bulan Ogos, Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis telah menganjurkan pertandingan wau kapal yang telah menarik lebih 600 penyertaan. “Kini dalam sesuatu pertandingan kita boleh mencecah sehingga 800 ke 900 buah wau,” tambah Ismail.

“Terdapat pelbagai jenis pertandingan wau semenjak dulu lagi seperti dengung siapa yang kuat, wau siapa paling jauh dan berapa lama boleh bertahan wau. Saya pernah tiga hari tiga malam wau saya bertahan, tapi itu dahululah, kini cuaca tidak menentu jadi susah sikit jika tiba-tiba hujan,” ujar Ismail tentang pengalaman beliau menyertai pertandingan wau. Ismail berkongsi perbezaan permainan wau kapal dahulu dan sekarang di mana, “Perbezaan wau kapal dahulu, ia lebih kepada format main angin manakala wau kapal moden menggunakan format main poncot.”

“Salah satu kelebihan ‘main poncot’ adalah ia mempercepatkan permainan kerana kini terdapat penyertaan ramai jadi masa sedikit suntuk,” ujar Ismail lagi di mana main tangan ditentukan pemenangnya dengan melihat wau siapa yang paling tegak selepas 20 saat manakala main poncot lebih kepada perlumbaan wau siapa yang paling tegak pada bahagian pancang selepas lima hingga lapan saat. Ismail juga menambah, “Beza dahulu kita main wau mengikut musim, mungkin setahun sekali atau dua kali tetapi sekarang orang membuat dan bermain wau sepanjang tahun menyertai pelbagai jenis pertandingan.”

Bahan utama dalam pembikinan wau adalah buluh, jadi tentulah buluh yang digunakan harus berkualiti tinggi di mana Ismail telah menyatakan, “Seperti dulu di Bukit Changgang ini terdapat 20 rumpun buluh, namun hanya satu sahaja yang berkualiti tinggi di mana ia boleh digunakan untuk pertandingan. Yang lain itu untuk main petang-petang mungkin sesuai”. Ini menunjukkan amat penting memilih buluh yang bersesuaian dalam pembikinan wau. “Kita banyak menggunakan buluh minyak dan buluh betong dalam pembikinan wau. Kalau buluh tak kuat, ia mungkin senang patah, tak mampu untuk dimain dan juga bermasalah,” ulas Ismail lagi.

“Setiap wau yang dihasilkan walaupun kelihatan sama tetapi ia sangat berbeza kerana ini merupakan hasil tangan sendiri tanpa menggunakan mesin. Mungkin hari ini saya berjaya membuat wau yang berjaya memenangi pertandingan tetapi jika saya buat satu lagi yang sama, belum tahu lagi boleh jadi,” ujar beliau tentang kerumitan wau yang tidak melibatkan mesin.

Selain daripada penggunaan buluh yang bersesuaian, berat wau juga memainkan peranan di mana Ismail mengulas, “kebiasaannya berat wau adalah di antara lima hingga tujuh gram. Terdapat masa tertentu dalam pertandingan untuk menerbangkan wau kita dalam jangkamasa enam saat antaranya. Jika sebelum sampai enam saat wau kita sudah jatuh, hilanglah peluang kita untuk memenangi pertandingan”.

Ismail positif dengan nasib pembikinan wau kerana dia telah melihat dengan mata sendiri di mana terdapat ramai yang berminat untuk belajar membuat wau dengannya. “Kini ramai anak muda yang minat dengan pembuatan wau ini. Tak. saya tidak terhad mengajar kepada orang di Bukit Changgang sahaja malahan kepada kampung di persekitaran sini,” ujar Ismail Namun begitu, akibat daripada perkembangan pesat minat terhadapap wau ini, muncul satu lagi permasalahan lain di mana beliau menyatakan, “masalah utama yang kita hadapi adalah kekurangan buluh kerana buluh muda sering digunakan jadi sukar untuk mendapatkannya lagi. Hingga ada yang sanggup ke Kelantan hanya untuk mendapatkan bahan utama ini”.

Ismail akan terus menghasilkan wau kerana baginya masih banyak yang perlu diperbaiki “Saya tak boleh mengaku saya pandai buat wau kerana jika saya betul pandai, saya akan berhenti membuatnya.” Kini beliau masih lagi aktif dalam menyertai pertandingan, tradisinya kini telah diturunkan kepada ahli keluarganya juga, di mana anak beliau telah mengikut jejak langkahnya. Beliau juga aktif mengadakan kelas pembuatan wau di mana kemaskini berkenaan pengambilan pelajar boleh didapati di laman Facebook beliau.

Ismail Yahya merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni wau. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Terdapat banyak lagi kisah menarik di BASKL yang boleh diikuti melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites