Adiguru CENDANA: Halidan Bin Ithnin

Halidan Bin Ithnin, a maker of gambus in Johor, talks about his craft.

Oleh CHIN JIAN WEI | Diterjemah oleh NABILA AZLAN

Halidan bin Ithnin merupakan seorang pembuat gambus Hadramaut dan gambus Arab di Johor. “Pada tahun 1996, saya mula membuat gendang. Saya bermula dengan membaiki kulit gendang dan alatan lain seperti kompang,” katanya. Sekitar tahun 2005 hingga 2010, beliau merupakan bekas pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya Warisan Kebangsaan (ASWARA), di mana beliau mempelajari seni pembuatan gambus melalui pemerhatian teknik penghasilan arwah Pak Hassan, seorang pembuat gambus terkenal yang aktif terutamanya pada tahun 1970-an di negeri Johor. “Dari 2013 hingga sekarang, saya aktif mengendalikan bengkel saya dan di sinilah saya menumpukan perhatian terhadap pembuatan gambus,” kata Halidan.

Gambus, atau qanbus ialah sejenis alat muzik berbentuk buah pir yang berasal dari Yaman. Tersebarnya seni muzik gambus disebabkan oleh pengaruh pedagang Islam dari Yaman yang menyebarkannya ke serata dunia; kini, ia dianggap sebagai alat muzik tradisional di negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura, dan tentunya, Malaysia. Berleher pendek tanpa fret dan mempunyai 12 tali, terdapat dua jenis alat muzik ini di Malaysia iaitu gambus Melayu dan gambus Hadramaut.

“Biasanya, gambus di Johor digunakan dalam persembahan tradisional seperti ghazal atau zapin,” jelas Halidan. “Tetapi pada masa kini, gambus juga digunakan dalam muzik berbentuk fusion, dimainkan dalam gaya indie atau jazz. Zaman sekarang lebih moden.”

“Melihat dari perspektif membuat gambus, keadaannya juga amat berbeza sekarang,” kata Halidan. “Orang-orang dahulu memang betul-betul hebat. Hanya dengan menggunakan parang, mereka dapat membuat alat muzik yang menarik. Sekarang, kita menggunakan mesin untuk mempercepatkan proses pembuatan. Prosesnya nampak sangat mudah pada masa kini. Tentang cara mendapatkan bahan mentah pula, pada zaman dahulu orang yang terlibat akan kumpulkan sendiri bahan-bahan tersebut dari persekitaran sekeliling, contohnya dari kawasan belakang rumah mereka. Sekarang, cukup sekadar membeli bahan mentah dari atas talian sahaja.”

“Sewaktu saya masih muda, dunia nampak lebih tertutup,” kenang Halidan. “Jika saya ingin belajar membuat gambus, saya tak tahu ke mana nak pergi. Pada masa kini, anda hanya perlu mencari di Internet dan begitu juga dengan proses mencari alatan. Hakikatnya, membuat gambus menggunakan tangan sangat memenatkan. Sekarang, melalui penggunaan mesin pun boleh menghasilkan gambus halus dengan bunyi yang sedap.” Walaupun begitu, menurut Halidan, teknik yang diperlukan untuk mengguna pakai alatan yang ada adalah yang perkara yang paling penting. Gambus selalu dilengkapi ukiran yang rumit yang hanya boleh datang melalui kemahiran seni ukir.

“Saya lebih tertarik untuk menggunakan kayu tempatan yang boleh didapati di sekeliling kita,” kata Halidan. Beliau menggunakan kayu seperti Rengas dan Merawan serta kayu daripada pokok buah-buahan seperti ciku dan durian dalam membuat gambus; selain itu, bunga, daun serta lada hitam pula dijadikan motif rekaannya. Bahan-bahan tersebut biasanya diperoleh dari hutan berhampiran dan diproses secara tradisional, termasuk mengeringkannya di bawah cahaya matahari. Selepas kaedah pengeringan tamat, kayu yang berkualiti baik akan diasingkan dan dikeringkan lagi di dalam rumah pada suhu bilik.

Seperti bentuk-bentuk kraf tradisional lain di Malaysia, gambus juga menghadapi penurunan populariti dalam kalangan generasi muda. “Agak susah untuk mencari orang yang berminat untuk membuat gambus,” kata Halidan. “Pastinya, pembuatan gambus melibatkan proses yang rumit, namun semua jenis kraf ada kerumitannya yang tersendiri. Pada pendapat saya, aktiviti pemasaran boleh digiatkan lagi. Saya rasa kita perlu melihat kepada apa yang boleh mendatangkan hasil dan apa yang tidak, juga bagaimana untuk memperbaiki hal ini daripada perspektif pemasaran. Semoga bantuan agensi dan aktiviti pelancongan dapat membantu dalam memastikan bahawa seni pembuatan gambus tidak terus lenyap.”

Halidan bin Ithnin merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa kedua dalam seni pembuatan Gambus. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites