Adiguru CENDANA: Abdul Rahman bin Dollah

Abang Man merupakan anak didik Dollah Baju Merah yang sohor sebagai pemain wayang kulit ketika tahun 70an kini menjadi pengajar muzik wayang kulit.

Oleh DANIAL FUAD

Ramai yang sudah cukup tahu tentang fungsi tok dalang dalam permainan wayang kulit di mana mereka merupakan tunngak utama dalam sesebuah persembahan. Namun begitu, muzik juga merupakan satu aspek yang penting dalam permainan wayang kulit di mana ahli muzik merupakan pendamping untuk tok dalang dalam melengkapkan persembahan. “Salah satu kepayahan belajar muzik wayang kulit adalah kerana ia tiada not muzik untuk di belajar dan hanya dipelajari melalui pemerhatian dan latihan,” ujar Abdul Rahman bin Dollah atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Man.

Abang Man merupakan pemain muzik utama bagi Kumpulan Wayang Kulit Sri Warisan Pusaka yang telah diasaskan oleh Tok Dalang Ibrahim atau lebih terkenal dengan nama Dollah Baju Merah. Dalam usaha mengangkat seni persembahan ini, beliau bersama Tok Dalang Nawi yang lebih mesra dikenali sebagai Pok Nawi sentiasa mencari pelapis baru untuk menyambung tradisi ini.

Mereka berdua adalah anak murid Dollah Baju Merah yang merupakan seorang pemain wayang kulit tersohor sekitar tahun 60an dan 70an sehingga pernah digelar sebagai penjelmaan semula Pak Dogol, pengasuh bagi Sri Rama. Dollah Baju Merah yang sangat sinonim dengan wayang kulit Kelantan mula belajar main wayang ketika belasan tahun lagi di bawah ajaran Pak Dol Sabok.

Pemain wayang kulit sering terkait dengan ‘angin wayang’, iaitu keinginan untuk bermain wayang kulit. Untuk Pok Nawi dan juga Abang Man, angin wayang mereka datang cukup awal, seperti tok guru mereka juga. “Minat wayang kulit saya datang sejak umur tujuh ke lapan tahun lagi di mana pada ketika itu, saya sudah boleh melukis watak-watak wayang kulit ini dalam buku sekolah,” ujar Pok Nawi. Abang Man pula menyatakan, “Minat saya terhadap wayang kulit datang semasa kecil lagi, ketika saya berumur 10 tahun di kampung. Saya mencari tok dalang untuk mengajar saya dan pada ketika itu, Dollah Baju Merah telah datang ke kampung saya.”

Bagi seni ini, terdapat jenis persembahan yang mana cerita pokoknya berkisarkan epik India iaitu Ramayana, namun cerita ini jarang dipersembahkan. “Tok guru saya, Dollah Baju Merah dan Jusoh bin Wan Mat sering berkongsi cerita-cerita mereka tetapi menasihati saya untuk menambah sendiri kandungan cerita secara spontan, “ ujar Pok Nawi. Tok Dalang kebiasaannya akan mempersembahkan cerita ranting yang berkongsi latar dan diolah daripada cerita pokok. Tambah Pok Nawi lagi, “Saya masih ingat kata-kata tok guru saya; belajar wayang kulit ini bukan seperti mengaji Quran yang tidak boleh diubah-ubah”.

Selain persembahan Tok Dalang, muzik juga memainkan peranan penting dalam wayang kulit ini. Terdapat tujuh alat muzik utama bagi seni ini iaitu serunai, gedombak, gendang, geduk, gong, canang dan juga kesi. “Menurut tok guru saya, kita perlu mahir dalam geduk dan canang kerana itulah roh bagi muzik wayang kulit,” ujar Abang Man. Muzik memainkan pelbagai peranan dalam sesebuah persembahan. Ia digunakan sebagai pengumuman permulaan persembahan, menandakan adegan dan babak, menetapkan suasana bagi sesebuah adegan dan juga sebagai pengiring lagu Tok Dalang.

“Salah satu kepayahan mempelajari muzik wayang kulit adalah ketiadaan not muzik, semuanya melalui pemerhatian dan latihan,” ujar Abang Man. Tambah Pok Nawi, “Jika tidak memberikan tumpuan sepenuhnya, sukar untuk kita mahir dalam seni ini terutamanya dari segi lenggok irama dalam dialog.” Mungkin ini jugalah yang membuatkan generasi baru sukar untuk mendekati seni ini, seperti kenyataan Abang Man sebelum ini iaitu jumlah 10 orang pelajar di bawahnya kini berkurangan menjadi enam.

Abang Man terpaksa menghentikan permainan wayang kulitnya atas sebab kerjaya, katanya, “Pada tahun 1977, saya telah berhenti bermain wayang kulit kerana saya bekerja di bawah kerajaan. Saya sering tidak dapat mengikut persembahan Dollah Baju Merah atas sebab kerja dan hanya mengikuti beliau ketika ada cuti.” Namun begitu, keadaan berubah selepas Kelantan mengharamkan wayang kulit pada tahun 1991. “Pak Dollah pada ketika itu menasihati saya untuk meneruskan permainan wayang kulit di luar Kelantan, tetapi saya tidak boleh memberikan komitmen yang penuh kerana bekerja sepenuh masa,” tambah beliau lagi sambil bercerita mengenai dirinya yang membantu Dollah Baju Merah sebagai penyelaras persembahan ketika terdapat persembahan di Kuala Lumpur.

Risau akan kesenian wayang kulit yang kian menghilang kerana pengharaman, Abang Man cekal untuk bersara dari kerjayanya sebagai pemandu ambulans dan menyambung permainan wayang kulitnya. “Bermula dari situ, saya memanggil teman-teman lama untuk menubuhkan satu kumpulan wayang kulit untuk bermain di luar Kelantan,” ujar beliau yang kini sudah melatih dua generasi anaknya sebagai penyambung seni tradisi ini.

“Anak saya mula belajar memalu gendang seawal umur empat tahun lagi,” ujar Abang Man. Ahli kumpulan mereka yang kini dianggotai oleh ramai anak muda termasuk anak beliau yang paling bongsu, Irsyad Abdul Rahman sebagai pemain gendang utama. Beliau menambah dengan gurauan, “Pada saya, saya lebih suka mengajar anak orang lain berbanding anak sendiri kerana kita akan lebih berlembut dengan anak sendiri. Ini menggalakkan mereka untuk tidak mengikut ajaran kita dan mahu berlatih secara bersendirian.”

Hubungan guru dengan anak murid juga sangat penting kerana dalam pembelajaran seni ini, para pelajar menerima ilmu dan cerita daripada guru secara lisan, kemudian ia akan ditambah mengikut cita rasa tersendiri. Kongsi Pok Nawi, “Apa yang diceritakan oleh guru saya, akan saya sambungkan pada anak murid saya pula. Mungkin ada sedikit perubahan melalui cara saya, namun isi cerita itu masih lagi sama.”

“Guru saya menganggap saya sebagai anak angkatnya,” ujar Pok Nawi. Tambahnya lagi, “Pernah sekali saya membantu guru saya membaiki rumah beliau. Begitulah kasih sayang antara guru dan anak murid.” Abang Man yang mempunyai kisah bersama Dollah Baju Merah berkata, “Kenangan paling manis saya bersama Pak Dollah adalah ketika dia merayu kepada saya untuk menjual barang-barang wayang kulit miliknya. Beliau menangis apabila menerima cek bernilai puluhan ribu hasil jualan barangannya. Pada ketika itu, beliau menawarkan untuk saya ambil berapa sahaja yang saya mahu tetapi saya menolak.”

Kini, Pok Nawi dan Abang Man sebagai penerima geran Adiguru CENDANA dapat melatih lebih ramai orang dalam kesenian wayang kulit. “Selain belajar bermain muzik, terdapat juga latihan untuk menjadi tok dalang, di mana Pak Nawi akan menilai kemampuan seseorang pelajar,” ujar Abang Man. Pok Wi juga berkongsi pendapat beliau, “Pada pendapat saya, wayang kulit ini merupakan satu seni yang sejagat, amatlah rugi sekiranya ia tidak disambung oleh generasi muda kerana melalui wayang kulit inilah saya dapat mengenali dan dikenali oleh ramai orang.”

Abdul Rahman bin Dollah merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa pertama dalam seni Wayang Kulit. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah menarik lain yang terdapat di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites