Apa itu Thaipusam?

Apa yang kita biasanya ketahui, Thaipusam adalah “public holiday”! Tetapi apakah yang selebihnya? Apakah Kavadi yang cukup warna-warni dan apakah yang menjadikan Batu Caves destinasi lawatan hangat dan dapat menarik perhatian jutaan manusia seluruh dunia?

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Sebuah kuil di Batu Caves

Thaipusam sudah menjadi seakan perayaan atau acara tahunan dalam kalendar rakyat Malaysia. Namun, kebanyakan kita hanya mengetahui Thaipusam sebagai sebuah hari cuti umum di Malaysia dan kita semua tahu betapa gemarnya rakyat Malaysia akan cuti! Sebagai sebuah portal seni dan budaya, BASKL ingin membuka mata dan minda rakyat Malaysia tentang kisah sebenar di sebalik perayaan Thaipusam. Siapakah yang menyambut Thaipusam? Apakah acara yang diadakan pada perayaan ini? Mengapakah perayaan Thaipusam ini disambut? Bagaimakah perayaan Thaipusam ini disambut? Apakah ucapan yang terbaik kepada rakan kita yang beragama Hindu pada Hari Thaipusam ini?

Bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta dan ramuan terbaik bagi membina sebuah negara dan bangsa Malaysia yang harmoni dan madani adalah dengan mengenali budaya dan adat masing-masing. BASKL sempat mengadakan sebuah sesi temu ramah bersama Ketua Penerangan Majlis Belia Daerah Klang yang beragama Hindu, saudara Sivanesan Tamilselvam, 36 untuk mengenali perayaan ini dengan lebih mendalam. 

Seorang Hindu yang mencukur rambut selepas upacara Thaipusam

“Perkara nombor satu yang ingin saya kongsi, sebenarnya Thaipusam bukanlah satu perayaan sebaliknya Thaipusam merupakan sebuah upacara keagamaan di dalam hidup seorang penganut agama Hindu. Perkataan Thaipusam berasal daripada perkataan Bahasa Tamil iaitu “Thai” yang merupakan nama bagi bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil dan “Pusam” adalah nama bagi sebuah bintang di dalam buruj Cancer,” kongsi Sivanesan. Bintang “Pusam” ini pula dikatakan bintang yang paling terang bersinar di antara bintang-bintang yang lain. Hari Thaipusam ini didedikasikan untuk Dewa Murugan yang dipercayai sebagai pemberi nikmat. 

272 anak tangga Batu Caves

Oleh itu, penganut agama Hindu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kesetiaan dan pengabdian mereka terhadap Dewa Murugan untuk memperoleh nikmat dan seterusnya berharap agar permintaan mereka itu dikurniakan. Sivanesan turut menambah, “Kalau dalam agama Islam, saya boleh kata dia ada sedikit persamaan seperti pergi menunaikan Haji kerana di akhir proses upacara keagamaan ini, kita juga akan mencukur rambut kepala kami.” Namun perkara ini hanya akan tertakluk kepada mereka yang bernazar untuk melakukan upacara Thaipusam pada tahun itu dan bukannya kesemua penganut agama Hindu.

Perkara yang paling menarik dan diketahui ramai mengenai Hari Thaipusam ini pula sudah tentunya Kavadi dan apa yang lebih menarik perhatian ramai adalah Kavadi pada zaman moden datang dalam pelbagai jenis, bentuk dan warna. Sudah tentu ada yang pernah melihat Kavadi yang berukiran seperti pasukan bola sepak, logo syarikat dan ada juga yang membuat Kavadi berukiran lambang parti politik! Namun dengan gelak tawa santainya, Sivanesan telah menolak dan memperbetulkan pemikiran ini. “Ini semua adalah satu benda yang tidak betul dalam agama Hindu. Sebenarnya salah, tetapi biasalah manusia dan kreativiti mereka kita tidak dapat nak buat apa-apa. Namun kebiasaanya, Kavadi yang terlebih kreatif ini tidak akan dibenarkan untuk naik hingga ke puncak Batu Caves. Ini kalau kita bicara mengenai membuat nazar Thaipusam mereka di Lembah Klang.”

Penganut agama Hindu membawa Paal Kudam sewaktu berarak

“Apa yang lebih penting adalah penganut agama Hindu yang sudah membuat nazar, mereka akan menjalani proses ini sebagai tanda menyerah diri atas permintaan yang mereka ingin minta daripada Dewa Murugan.” Selain itu, Sivanesan turut berkongsi tentang Kavadi, terutamanya Kavadi yang besar hanyalah sebuah proses yang dijalankan oleh seorang lelaki dewasa. Para wanita dan kanak-kanak selalunya tidak akan mengangkat Kavadi. “Jika kita ikutkan asal-usul dan sejarahnya, barang pengorbanan yang asli pada upacara keagamaan Thaipusam ini adalah “Paal Kudam” iaitu sebuah bekas perak yang diisi dengan susu sebagai hadiah penyerahan kepada Dewa Murugan,” tambah Sivanesan. 

Kita juga sering lihat upacara Thaipusam ini dimeriahkan dengan menusuk sesetengah bahagian badan mereka menggunakan besi. Ada yang menusuk bahagian belakang badan, ada yang menusuk di pipi dan ada juga di lidah. “Pengangkat Kavadi yang besar kebiasaanya kita akan menusuk di bahagian belakang badan kita untuk menarik dan mengangkat Kavadi namun jika kita menusuk di bahagian mulut dan pipi pula, itu merupakan tanda pengorbanan dan kesyukuran atas nikmat untuk berbicara,” kata Sivanesan. 

Kuil di dalam gua di puncak Batu Caves

Di akhir perbualan itu, pihak BASKL juga sempat untuk bertanya, “Tak sakit ke semua itu?” Sivanesan turut menjawab, “Kami tidak rasa sakit itu kerana kami berada dalam satu keadaan minda yang memberikan sepenuh perhatian terhadap upacara keagamaan kami.” Sungguh menarik jika kita mendalami setiap langkah sebuah proses Hari Thaipusam itu sendiri. Memandangkan Thaipusam ini bukanlah sebuah perayaan atau festival tetapi sebuah upacara keagamaan, Sivanesan juga turut berkongsi sebuah ilmu yang cukup bermanfaat buat kita rakyat Malaysia, “Jadi cara dan ucapan yang terbaik untuk Thaipusam bukanlah Selamat Hari Thaipusam sebenarnya tetapi selamat mengerjakan ibadat Thaipusam.”

Malaysia merupakan negara yang cukup bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai agama dan bangsa untuk kita pelajari dan hayati bersama tuntasnya, dapatlah kita mengenali di antara satu sama yang lain untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan damai di masa-masa yang akan datang. Di kesempatan ini, BASKL ingin mengucapkan Selamat Mengerjakan Ibadat Thaipusam buat penganut agama Hindu dan buat pembaca BASKL yang lain, selamat bercuti!

Gambar dari Unsplash.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di laman BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites