Ada apa dengan Mea Culpa?

Mea Culpa oleh Amirul Fakir tidak mengikut kelaziman sesebuah cerpen. Garapan beliau dipenuhi dengan lenggang lenggok bahasa yang indah, berasaskan penggunaan kosa kata dan tatabahasa yang jelas. Karya ini seolah-olah cuba merevolusikan bentuk dan teknik penulisan cerpen.

Oleh AMIR AMIN untuk Lensa Seni

Amirul Fakir (AF)bukanlah satu nama yang biasa saya lazimi. Penulisannya agak berlainan daripada hasil penulis-penulis kontemporari seangkatannya. Sedikit sejarah ringkas mengenai AF. Amirul Fakir atau nama sebenarnya Amiruddin Bin Hussin yang merupakan anak jati Ipoh dan dilahirkan pada 8 April 1967. Amirul telah kembali ke rahmatullah pada 10 Jun 2011 (Al-Fatihah). AF merupakan seorang penyair, penulis, penterjemah dan editor bebas.

Mea Culpa, apakah maksud di sebalik perkataan ini? Jika dilihat atau dipisahkan kepada dua perkataan, mea bermaksud berasa pening manakala culpa pula diambil daripada bahasa Latin yang bermaksud menidakkan atau menyalahkan. Jika dilihat sebagai satu perkataan, mea culpa ialah mengakui akan satu kesalahan. Mea Culpa merupakan senaskhah buku nukilan Allahyarham Amirul Fakir yang menampilkan 13 buah cerpen yang hanya senipis 85 halaman. Ia bukanlah senaskhah buku yang mudah untuk dihadam, kerana ia punya unsur absurd yang tebal dan simbolisme.

Jika dilihat kepada setiap hasil nukilannya, penulis dapat lihat bahawa bentuk penulisan AF bersifat tidak mengikut kelaziman sesebuah cerpen. Garapannya dipenuhi dengan lenggang-lenggok bahasa yang indah, berasaskan penggunaan kosa kata dan tatabahasa yang jelas. Karya ini seolah-olah cuba merevolusikan bentuk dan teknik penulisan cerpen. Berbalik kepada makna mea culpa iaitu mengakui akan sesuatu kesalahan, dapat dilihat pada penulisan ini seolah-olah AF dibelenggu oleh sesuatu – mungkin rasa serba salah yang membebankan atau suatu ketegangan. Hal ini jelas kelihatan dalam hampir kesemua cerpennya – NOL, R-A-N-T-A-I, PIDANA.

Gaya dan lenggok bahasa yang diguna pakai olehAF bersifat luar dari kebiasaan. Membaca Mea Culpa mengenalkan penulis dengan perkataan-perkataan seperti merogoh, sopir (supir), sano, sigap dan surup; antara yang membuatkan Kamus Dewan Bahasa sentiasa berdamping dengan saya. Penulis juga dapat melihat terdapat corak dalam penulisan AF yang mana kebanyakan cerpennya mengenai aku dan suasana misteri. Seperti dalam cerpen pertama iaitu NOL yang membawa pembaca ke sebuah tempat misteri – sebuah dewan di satu kawasan yang tidak diketahui akan kewujudannya. Watak aku dalam NOL merupakan seorang ternama yang bijak dan sering diundang ke majlis-majlis untuk memberikan syarahan dan pidato. Aku sangat berbangga diri kerana penampilan dan status serta pernah diberikan penghargaan oleh negara.

“…suatu undangan tanpa sebarang sambutan dan keriuhan sedangkan dengan status dan ketrampilannya selama ini, dia bukan sahaja disanjung malah dinobatkan sebagai satu aset yang amat berbobot kepada negara!” Memetik bait-bait dalam novel tersebut.

Seterusnya elemen misteri yang disampaikan oleh AFdiolah dengan kemas dan mewujudkan suasana tegang.

“Sayup-sayup, kuping Sang Wadun menangkap sesuatu. Dia tergegau seketika. Bergeming di hadapan cermin untuk beberapa saat…”

Cerpen yang disampaikan oleh AF diadun dengan nuansa tegang, misteri dan mendebarkan. Setiap plot ceritanya digarap dengan kemas dan meyakinkan pembaca (seperti yang saya rasai) seolah-olah pembaca sedang mengalami atau merasai suasana itu. Cerpennya punya misteri yang sangat menghairahkan dan mengasyikkan, seolah-olah pembaca sedang menikmati candu saat membacanya.

HIJAB membawa pembaca mendalami perasaan dia yang sentiasa dirundung perasaan serba salah dan kebingungan kerana telah melakukan satu kesalahan yakni minum benda haram yang dilarang ILAHI. Dia sering kali gelabah dek kerana keterlanjuran mendampingi minuman tersebut.

“Hatinya dirongrong resah yang tidak keruan. Kotak fikirannya berputar ligat dan dia teringat peristiwa semalam yang membuatnya kalap.”

Dia sentiasa diganggu dengan keraguan, malahan saat berwuduk dan ingin bersembahyang juga tidak terlepas. Fikirannya terganggu dengan kesalahan yang dilakukannya dan ketenangan diri seolah direnggut. Hal ini terjadi kerana dia melanggar fitrah kejadian-NYA. Jika dihayati, HIJAB membawa kita bermain dengan paradigma perasaan; perasaan bersalah, rasa berdosa, bingung dan ragu ditonjolkan oleh dia. AFbijak bermain dengan tanda tanya. Dia menulis dan membuatkan pembaca melihat perasaan-perasaan ini lebih utama daripada perbuatan meminum minuman keras. Kesan daripada perbuatan kita itu yang lebih utama.

MEA CULPA ini agak berbeza dengan cerpen-cerpen yang biasanya berada di pasaran. AF membawa kita meneliti karya-karya yang bersifat absurd atau surreal di mana watak utama bukanlah dia, aku dan lain-lain, sebaliknya perasaan atau emosi yang disampaikan itu sebagai galang gantinya. Bagaimana rasa itu menjadi pemboleh ubah dalam pembawaan cerpen beliau. Tanpa ada rasa tersebut, semuanya kaku, seolah-olah membaca tanpa ada erti. Konflik yang krisis.

Krisis-krisis ini mewujudkan suatu ‘peperangan’ dalam diri antara yang “baik” dengan “jahat”, “positif” dengan “negatif” dan “ya” dengan “tidak”. Pengisian ini berlawan dalam sebuah kitaran kehidupan. Ia merupakan satu percanggahan dan jika dilihat dari satu sisi, ia saling memerlukan ibarat Ying dan Yang.

Keistimewaan cerpen-cerpen nukilan Amirul selain garapan dalam gaya dan lenggok bahasa yang begitu indah, kemas dan bermakna dengan menggunakan bahasa Melayu klasik, sudah tentu tema yang dibawa oleh nya. Saat membaca, fikiran penulis  seolah-olah melihat seorang seniman menghasilkan sebuah karya catan.

Setiap patah kata umpama satu sapuan berus. Latar yang digunakan seperti warna yang diletakkan di atas permukaan kanvas. Warna ditindan dan dicampur menjadikan satu warna baharu yang matang. Begitu juga penulisan Allahyarham Amirul, Elemen-elemen seperti gaya dan lenggok bahasa, latar masa dan tempat, idea dan maknanya menjadikan cerpennya kukuh dan padu. Ibarat sebuah catan yang menarik, ia memerlukan sokongan daripada rupa dan jiwa. Rupa ialah bentukan cerpen tersebut dan jiwa pula elemen-elemen yang disebut tadi. Maka lahirlah sebuah karya yang membanggakan.

Amir Amin merupakan salah seorang peserta program CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021.

Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di Lensa Seni dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites