Azizan Paiman dan ruang antara runtuhnya suatu orchestra

Meletakkan diri sebagai backdated reporter Azizan Paiman menggunakan kisah lama dalam karyanya, inspirasi sebuah buku berjudul ‘The Collapse of an Orchestra’ yang disimpan dalam sanubarinya lebih 20 tahun, kini hidup di The Space Between.

Oleh FAZRINA JASMIN

09.09.1999 – Tarikh keramat yang menyaksikan Azizan Paiman buat julung kalinya menjejakkan kaki di Manchester, England atas tiket pembiayaan pengajian peringkat sarjana dalam Seni Halus di Manchester Metropolitan University. Bagi menampung perbelanjaan harian keluarga yang turut sama menemani keberadaannya di perantauan, mengambil upah sebagai tukang cuci sambilan merupakan rutin yang lazimnya dilakukan Azizan selain menghadiri kuliah di universiti. Seingatnya, seawal pagi lagi dia sudah mula bekerja dengan tekun bertemankan perdebatan di parlimen antara Perdana Menteri pada ketika itu, Tony Blair dengan William Hague sebagai Ketua Pembangkang. Terasa seumpama dirinya berada di tengah-tengah medan pertempuran sambil rancak “membersihkan” kiri dan kanan tatkala sesi bertikam lidah sedang hangat berlangsung.

“Semasa menjadi cleaner, saya telah diarahkan pergi ke perpustakaan untuk memunggah dan membuang buku-buku di tong sampah. Saya tertarik dengan satu buku yang berjudul The Collapse of an Orchestra. Ia menceritakan bagaimana sesebuah kerajaan mengalami kejatuhan dari zaman kuno hingga ke perang dunia dan bagaimana demokrasi itu berlaku. Dari situ saya telah mendapat cetusan idea, namun tak pasti bila sebetulnya idea tersebut dapat direalisasikan. Lebih 20 tahun ia berada dalam sanubari, cuma tidak dilontarkan sehinggalah dijemput oleh Amir Zainorin (Pengasas Jambatan-Stateless Mind) untuk turut serta menjayakan The Space Between,” jelas Azizan sebagai pembuka bicara.

Azizan akan mempersembahkan karya seni berjudul The Collapse of an Orchestra / Runtuhnya Suatu Orkestra pada 16 Oktober, jam 2 pagi waktu Malaysia bersempena Festival Seni Antarabangsa 2021 – The Space Between di Laterna Magica Museum, Denmark anjuran Jambatan Association yang berpusat di Copenhagen. Berkolaborasi dengan Galeri Percha, Azizan bakal bersiaran secara langsung selama 10 minit menerusi platform atas talian di Percha Artspace, Pusat Kraf Lumut, Perak.

The Space Between merupakan festival yang meneroka konsep kekitaan dan pengalaman tentang hybridity atau kacukan yang wujud dalam pelbagai warisan budaya dan nilai kemasyarakatan. Ia diadakan antara lainnya bertujuan untuk memupuk kolaborasi baru dalam kalangan diaspora artis/seniman, kurator dan ahli akademik yang menetap di negara-negara Nordik, Eropah dan Asia Tenggara.

Hampir dua tahun dunia bergelut dengan penularan Covid-19 yang sememangnya telah mengubah secara drastik tatacara hidup bersosial, bekerja dan berkomunikasi. Bagi Azizan sendiri, dia sentiasa mengikuti perkembangan berita-berita dunia menerusi pelbagai saluran media antarabangsa dan menyedari awal tercetusnya pandemik pada 2019.

“Secara global, setiap kerajaan yang jatuh adalah disebabkan pandemik. Inilah ‘ciri-ciri’ negara demokrasi yang sering berkisar tentang nombor. Apabila sesuatu nombor ‘disendengkan’ ke tempat lain, segala-galanya berubah. Begitu juga di AS – Trump jatuh disebabkan undi dan sentimen ketidakpedulian terhadap Covid-19 yang digunakan sebaik mungkin oleh Biden dan pasukannya. Jalan cerita yang hampir serupa berulang di negara-negara seperti Jepun, Slovakia, Itali, Sweden, Mongolia dan juga Malaysia.”

Azizan Paiman

Jelas Azizan lagi, “Saya meletakkan diri saya sebagai backdated reporter dan menggunakan cerita-cerita lama untuk diketengahkan dalam pengkaryaan. Saya percaya seseorang artis tidak perlu melibatkan diri secara khusus dengan mana-mana parti – artis sewajarnya bersifat neutral. Sebagai seorang penggiat seni yang duduk di tengah-tengah, saya mendapat idea untuk menterjemahkan polemik politik yang membuak-membuak itu tadi dalam karya dan mengambil semula judul sewaktu di Manchester yang sekian lama tersimpan/tertangguh.”

Azizan bakal bergandingan dengan pemuisi muda, Nadiya Abdullah yang akan mendeklamasikan sajak nukilan Sang Nabil Utama sambil diiringi lagu opera bertemakan “sorrowful” sebagai muzik latar. Pemilihan lokasi persembahan yang berhampiran dengan jeti Lumut adalah bersesuaian dengan konteks laut dan perihal perdagangan, selain bertepatan dengan konsep “jambatan” yang dibawakan oleh persatuan di Copenhagen.

Bagi merealisasikan naratif Runtuhnya Suatu Orkestra, Azizan menggunakan tujuh “welding mask” atau topeng kimpalan yang menampilkan seni bina bangunan dari pelbagai negara, antara lainnya seperti Jepun, Itali, Slovakia, Mongolia dan Malaysia. Ujar Azizan, “Welding mask mempunyai duality – sama ada kita ingin menjaga diri kita ataupun kita sendiri yang sedang sakit. Adakalanya mata kita ‘sakit’ melihat perangai manusia terutamanya politikus. Duality yang terlihat ialah bagaimana manusia mengambil peluang dengan mengadakan suatu polemik tapi sebenarnya dijadikan medan untuk mempromosikan ideologi/agenda tersendiri. Namun, karya masih boleh dilihat dan dinilai dari sudut pandang yang berbeza buat masa ini.”

Selain topeng kimpalan, Azizan turut menggunakan botol-botol kaca bagi tujuan persembahan. Mengambil inspirasi sempena salah satu babak klasik dalam filem Bujang Lapok yang menyaksikan Sudin mengetuk botol sebagai isyarat memanggil Eton, penceritaan karya Azizan bermula dengan aksi ketukan botol-botol kaca dari luar galeri sehingga akhirnya botol-botol tersebut pecah lantas dimasukkan ke dalam balang yang dipegang oleh Nadiya – simbolik kepada “kejatuhan” suatu orkestra yang membuka ruang kepada orkestra yang baru yang belum diketahui kesudahannya.

Ditanya mengenai jangkaan daripada keseluruhan persembahan yang bakal berlangsung, Azizan secara ringkas menjelaskan, “Saya menggunakan kaedah fiksyen sejarah bagi menterjemahkan apa yang sedang berlaku dalam dunia hari ini – sebagai suatu nilai sejarah yang digarap dalam bentuk seni kreatif. Saya berterima kasih kepada CENDANA dan pemilik Galeri Percha, Puan Suhaila Hashim atas sokongan dan keizinan lokasi persembahan.”

Untuk maklumat lanjut mengenai jambatan Stateless Mind dan The Space Between, anda boleh layari website ini.

4 comments

  1. Hijaz

    15 October 2021

    Syabas Pak Azizan..Salam sukses

  2. Saiful

    15 October 2021

    Salam ukhuwah dari Cheetham Hill Warriors.

    Saiful UniSZA.

  3. Sazali

    15 October 2021

    Terbaeeek Prof.. local artist with international mindset. We are proud of you!!!

  4. Jeman

    15 October 2021

    Terbaik sahabat SJMC ku, semoga terus sukses

Comments are closed.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites