‘The Lain Lain Project’ oleh Borneo Laboratory galakkan kerjasama, kefahaman dan kebijaksanaan kolektif

Sepakat membawa berkat: Dari 20 April sehingga 20 Oktober 2024, ikuti ‘The Lain Lain Project’, sebuah pameran yang memperkasakan penguasaan ilmu akar umbi dan kefahaman leluhur kebijaksanaan nenek moyang menerusi kraf.

Oleh NABILA AZLAN

Mengambil lebih empat tahun untuk dikongsi hasilnya kepada khalayak, The Lain Lain Project keluaran Borneo Laboratory merupakan pameran trilogi dinamik yang sarat dengan naratif, dialog dan riwayat masyarakat. Dalam mengenal cabaran dan cabang seni yang dijejaki kali ini, BASKL bercakap dengan kurator merangkap pengasas Borneo Laboratory iaitu Wendy Teo.

Ini adalah projek ketiga selepas Serumpun: Crafts Without Borders dan Big Trip yang turut memperjuangkan kepentingan mempelajari selok belok dan leluhur kebijaksanaan nenek moyang melalui hubungan kraf dan komuniti. Dalam The Lain Lain Project, cahaya disorotkan kepada Teo yang duduk bersama empat orang individu untuk merungkai selok-belok ‘lain lain’ dalam landskap Malaya menerusi soalan-soalan yang merangsang pemikiran berunsurkan profesion dan latar belakang mereka yang pelbagai. Selain dialog yang dirakam ini, Borneo Laboratory turut menampilkan karya enam individu luar biasa yang secara aktif mengabdikan diri mereka ke arah mewujudkan komuniti yang lebih inklusif di Malaysia. Pengunjung pameran digalakkan untuk menyuarakan pendapat mereka tentang galeri tersebut pada akhir pameran, dengan harapan mereka pulang dengan perspektif yang baharu.

Jelas Teo, “Kami mempunyai cukup ramai artis dan komuniti yang menjadi sebahagian daripada projek kami. Melalui projek tiga tahun kami, Serumpun, lebih 200 orang yang terlibat dalam projek itu sehingga kini, memandangkan tumpuannya tertumpu kepada 12 buah komuniti sekitar Borneo. Projek penyelidikan empat tahun kami pula, Big Trip, melibatkan perkongsian antara kira-kira 15 buah komuniti di seluruh dunia. The Lain Lain Project di Kuala Lumpur mungkin yang terkecil, tetapi sekitar 20 orang juga yang mengambil bahagian dalam sesi perkongsian. Setiap pereka dan kolaborator datang dengan semangat yang sama, iaitu untuk membolehkan suara dan mesej mereka untuk keluar dengan lebih lantang, meskipun masyarakat seolah-olah tidak endah.”

Wendy Teo

 “Semasa saya kecil, persekitaran hidup ibu bapa saya yang saling berbeza sebenarnya meluaskan perspektif saya tentang kehidupan. Ibu saya tinggal di bandar pinggir bandar Serian iaitu sebuah pekan Hakka-Bidayuh yang mana kebanyakan penduduknya beragama Katolik. Rumah ayah saya pula terletak di tengah-tengah bandar Kuching yang didiami oleh pelbagai etnik. Memandangkan saya sering berulang-alik di antara kedua-dua tempat ini pada hari bekerja dan hujung minggu sejak usia muda, minda saya secara tidak langsung dipengaruhi oleh kedua-dua persekitaran tersebut.”

Teo merupakan warga Kuching, Sarawak yang telah mengembara seumur hidupnya. Sebelum pulang ke Malaysia sekitar tahun 2017, Teo telah menghabiskan masanya lebih kurang 15 tahun di tanah asing sebagai latihan dan pengayaan pengalaman beliau sebagai seorang arkitek.

Siri pengalaman hidup yang membuka minda ini sedikit sebanyak mendorong Teo untuk berfikir di luar kotak mengenai cara baharu untuk merapatkan jurang seni dan budaya di tempatnya sendiri. Katanya, “Saya mula berfikir tentang cara kebolehan kraf untuk bersatu dalam seni bina dan ruang, terutamanya dalam konteks amalan kraf di Borneo yang lebih mudah dikenali sebagai amalan rohani dan bukannya sejenis komoditi yang boleh dipasarkan atau dijual beli. Sejak saya kembali [ke Malaysia] sehinggalah pada saat ini, saya merasakan bahawa banyak yang perlu saya pelajari dan belajar semula.”

Menurut bahasa Sanskrit purba, ‘Lain’ turut membawa erti ‘merangkul’. Melalui The Lain Lain Project, Teo menerusi Borneo Lab bersemangat dalam merangkul atau mendekati perbezaan menggunakan luhur kebijaksanaan yang diwarisi daripada keturunan nenek moyang. Sebuah produksi berbentuk trilogi, bahagian pertama memberikan visual bagaimana 12 komuniti kraf di serata Borneo menggunakan kraf mereka untuk memelihara dan mewariskan kebijaksanaan nenek moyang. Bahagian kedua menceritakan persamaan budaya yang mengambil bentuk daripada pelbagai landskap semula jadi, bukti bahawa kebijaksanaan nenek moyang adalah kunci untuk berhubung dengan masyarakat global. Bahagian yang ketiga pula sebuah wadah perbincangan sikap terhadap isu ‘lain-lain’ dalam lanskap Malaya.

Kata Teo, “Memandangkan kami menerima pelbagai bentuk maklumat sepanjang tempoh penyelidikan projek, saya sering mengutamakan maklumat dan pengalaman secara langsung berbanding kandungan yang boleh didapati secara atas talian (Internet). Bagi saya, proses ini adalah perkara asas dalam membina pandangan, dialog dan perjalanan sebenar.”

 “Kami sebenarnya merancang pengeraman (incubation) tiga buah fasa di Kuala Lumpur untuk The Lain Lain Project – apa yang anda dapat lihat di GMBB ini hanyalah fasa kami yang pertama. Fasa ini penting kerana ia menyatakan kepentingan ‘kebijaksanaan nenek moyang’ melalui cara pelbagai individu dengan pengalaman ‘lain-lain’ menerima perbezaan mereka; dalam erti kata berbeza, kesediaan mereka untuk berhimpun sebagai kolektif di platform ini,” cerita Teo lagi. Matlamat utama kami adalah untuk memupuk kerjasama yang lebih luas di pelbagai peringkat dalam mewujudkan impak positif yang ketara. Jujur saya katakan, kami masih dalam proses untuk mewujudkan kesemuanya, dan perjalanan ini adalah sesuatu yang banyak mengajar kami.”

“Sejak awal tahun 2018 dan 2019, Borneo Laboratory telah berjaya menghasilkan beberapa siri perbincangan mengenai kebijaksanaan bahan (wisdom of materials) yang telah hilang atau semakin hilang melalui reka bentuk semula estetika Borneo. Ini mencetuskan perbincangan tempatan mengenai bahan dan bentuk kraf yang semakin hilang. Pada tahun 2020, semasa pandemik, kami mula mengembangkan perbincangan kami tentang kebijaksanaan nenek moyang ke skop global dan secara beransur-ansur, kami mula menerima respons dan resonans dari tempat lain. Kami mulai sedar bahawa hamparan isu, potensi dan cabaran di dunia kita saling berkait rapat, lantas mempengaruhi satu sama lain dalam konteks yang lebih besar.”

Buat siapakah The Lain Lain Project dihasilkan? Jawab Teo, “Bukan sahaja artis, pengamal budaya, ahli akademik, komuniti tempatan, dan barisan penggubal dasar, tetapi juga sesiapa sahaja yang berminat dengan warisan budaya dan kebijaksanaan nenek moyang.”

Jika anda mengikut perjalanan kami sejak dahulu,” jelasnya lagi, “Anda akan dapati bahawa penyelidikan atau projek kami berpunca daripada keinginan untuk memperlihatkan lapisan halimunan persekitaran kami. Kami ingin lihat bagaimana ia mampu diterjemahkan kepada skala intervensi yang berbeza, misalnya melalui ruang, produk, filem dan penerbitan.”

“Mengambil kira masa, belanjawan dan sumber yang kami ada, saya percaya [aras projek] ini adalah yang terbaik yang boleh kami capai. Jika kami mempunyai lebih banyak masa, belanjawan dan sumber, saya harap kami boleh terus ke fasa kedua projek ini,” ringkasnya.

Selaku rakan ruang mereka pada kali ini, The Lain Lain Project oleh Borneo Laboratory dipamerkan di GMBB, Kuala Lumpur selama enam bulan iaitu dari 20 April sehingga 20 Oktober 2024. Think City merupakan rakan projek mereka. Masuk adalah percuma. Info lanjut ada di sini.

Gambar utama The Lain Lain Project oleh GMBB

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites