Sempena Hari Autisme Sedunia, BASKL ingin ketengahkan sebuah komuniti seniman yang cukup hebat dan mampu memberi inspirasi buat seluruh lapisan masyarakat
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Autisme merupakan keadaan di mana seseorang itu mempunyai masalah perkembangan dan membuatkan kemahiran lisan, penulisan dan interaksi mereka terganggu. Namun begitu, dengan kewujudan teknologi alaf baharu dan kepakaran kesihatan yang serba canggih pada hari ini, autisme tidak lagi dilihat sebagai sebuah kecacatan, malah seseorang yang menghidap autisme juga mampu bersaing dengan insan yang sihat fizikal dan mentalnya.
Pada hari ini, seorang pelukis yang mempunyai autisme juga mampu untuk menghasilkan karya seni yang cukup hebat dan mampu terjual pada kadar yang mungkin lebih tinggi daripada seorang karyawan biasa. Sebenarnya autisme mahupun tidak, kemahiran dalam bidang seni pasti dapat dikuasai jika menumpukan sepenuh perhatian dalam apa yang cuba dikecapi. Apatah lagi apabila menjadi karyawan autisme, memang cukup luar biasa keupayaan untuk menguasai bidang seni ini. Ini telah terbukti apabila tiga orang sahabat iaitu Izzati, Haziq dan juga Maria yang merupakan tiga orang seniman autisme mampu untuk menjadi seorang artis yang berjaya sehingga karya mereka mendapat perhatian ramai.
Sebuah kolektif seni yang telah terbina ini menamakan diri mereka sebagai “We & I Art” dan pada asalnya telah ditubuhkan oleh seorang ibu yang cukup berdedikasi dalam memberikan yang terbaik buat anaknya yang merupakan seorang anak autisme. Antara orang kuat yang lain pula adalah Armani Shahrin yang merupakan kakak kepada Izzati. “Jika anda tanya pada ibu saya Puan Zuraini Anuar, dia akan kata We & I Art ini merupakan sebuah hadiah harijadi buat Izzati,” kongsi Armani kepada penulis BASKL. Apa yang mungkin tidak ramai ketahui, We & I Art ini merupakan sebuah projek gabungan keluarga yang mempunyai anak-anak autisme. Huruf “I” di dalam We & I Art pula merujuk kepada perkataan inklusif.
Pada hari ini, Armani menghabiskan masa sepenuhnya untuk membangunkan komuniti atau keluarga kecil mereka ini. Namun begitu, sudah tentu wujud cabaran serta halangan apabila kita berjuang untuk golongan yang mempunyai kelainan seperti mereka ini. “Bekerjasama dengan komuniti OKU (Orang Kurang Upaya) atau PWD (Person With Disabilities) ini sejujurnya memang mencabar lebih-lebih lagi apabila infrastuktur dan fasiliti yang ada di bandar seperti Kuala Lumpur ini belum mempunyai kemudahan selengkapnya untuk golongan seperti mereka,” luah seorang kakak yang kecewa akan segala kekurangan kemudahan di ibu kota dan budaya kefahaman masyarakat.
“Memang akan ada saat-saat di mana kami akan mempunyai keterbatasan untuk ke sesetengah lokasi kerana memang tidak ada laluan yang boleh dimasuki oleh mereka yang mempunyai beberapa kekurangan fizikal,” kongsi Armani. “Saya masih ada sebuah rakaman video di mana rakan saya terpaksa menolak kerusi rodanya di laluan motosikal. Ini kerana laluan pejalan kaki telah penuh dengan motosikal yang diletakkan di situ dan laluan pejalan kaki sangat terhad.”
Bagi Armani, inilah antara contoh yang paling mudah difahami oleh masyarakat mengenai apa yang dilalui oleh seseorang OKU pada setiap hari. Mungkin itu bukan sebuah contoh mengenai seorang yang mempunyai autisme namun Armani ingin membuka mata masyarakat untuk lebih peka dan prihatin dengan apa dan siapa yang ada di sekeliling kita.
Namun di sebalik segala cabaran yang harus mereka lalui, Armani tetap rasa girang dan tenang kerana telah memilih jalan ini untuk berjuang bersama-sama dengan adiknya. “Secara peribadi, saya rasa bekerja dengan mereka yang mempunyai autisme ini memberi ruang kepada saya untuk menyedari perkara-perkara yang saya tidak sedar sebelum ini dan ini membolehkan saya menjadi seorang yang lebih peka dengan apa yang ada di sekeliling saya.”
Selain dari itu, Armani juga telah mengasaskan sebuah perusahaan sosial bermula dengan laman dagang atas talian untuk membantu Izzati dan kawan-kawannya untuk mempromosikan hasil karya mereka. Idea ini telah muncul sewaktu semua aktiviti dihentikan akibat pandemik yang melanda. “Sewaktu zaman PKP, aktiviti komuniti kami yang sedia ada pun sudah kurang mendapat perhatian, jadi pada waktu sebegini pula ia telah berhenti sepenuhnya. Maka saya pun telah membuat sebuah inisiatif untuk merangka sebuah laman yang dinamakan NakSeni yang bertujuan untuk membawa karya seniman autisme ini ke alam digital,” tambah Armani. Selain daripada menjual karya artis-artis daripada komuniti ini NakSeni juga berusaha untuk mencetus kesedaran dan membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali komuniti artis OKU tersebut melalui aktiviti-aktiviti seni dan projek yang menggalakkan ketercapaian.
BASKL juga sempat berbicara dengan Armani mengenai tanggungjawab sosial yang sepatutnya digalas oleh seluruh lapisan masyarakat di negara kita. “Saya rasa langkah pertama yang harus dibuat adalah untuk mempelajari keperluan golongan mereka ini dengan lebih mendalam,” kongsi Armani. Antara lain yang turut dikongsikan oleh Armani adalah kekecewaannya dengan segelintir masyarakat yang mempunyai pemikiran negatif terhadap golongan autisme dan juga golongan OKU secara keseluruhannya. “Mereka sering letakkan golongan OKU ini sebagai asing dan disisihkan daripada masyarakat padahal kita lupa, kita semua akan tua dan suatu hari nanti kita juga akan termasuk di dalam golongan OKU. Jadi apabila kita bantu mereka pada hari ini, kita sebenarnya membantu masa hadapan diri kita sendiri”
Sebelum berakhirnya perbualan BASKL bersama Armani, turut memberi pesanan bagi pihak mereka yang autisme dan merupakan golongan OKU ini. “Apabila kita menjadikan perbualan dan perkongsian mengenai golongan yang kurang upaya ini, kita akan dapati bahawa akhirnya kita juga yang akan menerima manfaatnya dalam jangka masa yang panjang. Jadi pendek kata, sentiasa amalkan sikap baik hati kepada semua.”
Ikuti kisah menarik yang lain di laman BASKL: