Bersama Takahara Suiko, seorang penulis lirik, produser dan ahli muzik yang berasal dari Lembah Klang, Selangor. Mari kita ikuti jelajahnya ke destinasi-destinasi seni persembahan menarik yang ada di ibukota.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
“Saya mempunyai sebuah kugiran muzik yang bernama The Venopian Solitude, namun saya juga turut berminat dalam menceburi bidang-bidang kesenian yang lain seperti seni visual, filem, teater, tarian dan pelbagai jenis seni yang ada.” Itulah kata-kata awal daripada Takahara Suiko yang merupakan seorang anak muda seni yang cukup ramah dan mesra apabila BASKL mendapat peluang untuk meluangkan masa secara peribadi dengannya.
Ilmu pengetahuan yang ada pada Takahara cukup luas dan bukan sahaja meliputi ilmu seni persembahan atau muzik sahaja, dia seorang yang memang mempunyai khazanah ilmu yang amat luas, mungkin juga kerana Takahara sendiri memang seorang yang gemar akan ilmu dan seorang yang mempunyai sifat ingin tahu yang cukup tinggi.
Pada episod Jalan-Jalan Cari Seni kali ini, BASKL bersama dengan Takahara telah menjelajahi beberapa lokasi seni persembahan menarik di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur. Antaranya termasuk Temple of Fine Arts di Brickfields, Panggung Bandaraya di Jalan Raja, Kongsi KL di Jalan Klang Lama dan beberapa tapak seni persembahan yang lain. Anda bolehlah menonton video yang disediakan di bawah ini.
Sepanjang seharian BASKL dan Takahara dalam sesi penggambaran ini, terdapat banyak topik-topik perbualan yang sempat kami berbincang dan bertukar pendapat. Antaranya adalah seni sebagai satu terapi bagi minda, jiwa dan juga emosi seseorang manusia dan Takahara juga mengakui perkara itu. “Semenjak lebih kurang tahun 2008, saya memang menggunakan seni sebagai satu terapi untuk menguruskan pemikiran yang serabut. Muzik itu bagi saya sebuah medium untuk mengarkibkan emosi, pengalaman serta pemerhatian tentang apa yang terjadi di sekeliling kita,” kongsi Takahara yang cukup bersemangat orangnya.
Bercerita pula berkenaan fasiliti seni persembahan yang ada di ibu kota, ramai antara kita di Kuala Lumpur ini hanya akan mengenali Istana Budaya, itulah tapak paling terkenal di negara ini, namun buat yang lebih “senior”, antara pentas yang cukup mahsyur di antara mereka adalah Panggung Anniversari yang terletak di Taman Botani Perdana. Sebenarnya terdapat pelbagai lagi tapak-tapak seni persembahan yang sedia ada di sekitar Bandaraya Kuala Lumpurm tetapi Takahara juga telah menyampaikan rasa sedikit kecewa atas penghebahan mengenai tempat sebegini.
“Fasiliti yang disediakan sebenarnya agak lengkap, cuma tidak ramai yang tahu tentang tempat-tempat yang ada ini. Pada pendapat saya, kita seharusnya menggalakkan masyarakat umum untuk melawat tempat-tempat kesenian di seluruh negara. Selain itu, silibus sekolah haruslah menggalakkan malah mewajibkan lawatan sambil belajar ke lokasi-lokasi kesenian seperti yang kita lawati hari ini untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pelbagai bidang seni yang dipraktikkan dalam masyarakat kita.”
Takahara turut menambah, “sekaligus secara tidak langsung apabila tempat-tempat ini lebih dikenali dan dilawati, perkara ini juga boleh membantu ekonomi setempat!” Amat penting untuk kita sebagai sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni bersama-sama berganding bahu dalam usaha mengekalkan tradisi dan budaya yang ada di negara kita. Ini juga akan dapat mendorong kemajuan seni dan dapat meningkatkan kuantiti serta kualiti industri seni di seluruh negara.
Pada akhir hari penggambaran kami, walaupun Takahara merupakan seorang anak seni tetapi pandangan mata dan mindanya juga telah terbuka luas dan amat berbeza daripada sebelumnya. “Penggambaran hari ini merupakan sebuah pengalaman yang sangat menarik dan telah memberikan saya satu semangat baru untuk meneroka dan bekerjasama dengan bidang-bidang kesenian yang lain.”
Sama-samalah kita mendokong penggiat-penggiat seni dan budaya yang ada di negara Malaysia yang kita cintai ini dan cara yang paling mudah adalah membantu memasarkan acara-acara kesenian dan budaya melalui saluran utama sama ada di kaca TV, mahupun di media sosial.
Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di laman BASKL: