Pelancaran BASKL dengan gaya norma baharu

Oleh MIMI SALLEH

Alunan muzik memberi makna mendalam pada pelancaran laman sesawang Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BASKL) pada Jun 21. Acara itu dianjurkan secara live streaming jam 8.30 malam di laman Facebook Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya, atau CENDANA, yang merupakan sebuah unit dibawah MyCreative Ventures, bersempena dengan Hari Muzik Sedunia. 

Selama lebih satu jam, barisan pemuzik Musicians for Musicians Malaysia (MFM), iaitu Kudin Ramly, Mizan & Kyra, Don & Angela, MDT Family Band, dan Brian Dourado telah membuat persembahan secara norma baharu iaitu persembahan dalam talian. Dalam program ini juga, Kudin turut berkongsi ucapan takziah atas pemergian Saufi Aiman Yahya, pemain sape negara yang meninggal dunia pada Jun 10 yang lalu. 

Bagi memastikan kelancaran acara, para artis yang terlibat telah membuat pra-rakaman dari rumah. Lengkap dengan instrumen muzik seperti keyboard dan gitar, mereka mendendangkan lagu-lagu yang pernah popular dari dalam dan luar negara. Semenjak Mac 2020 iaitu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan, MFM sebagai sebuah persatuan telah memainkan peranan aktif membantu pemuzik yang kehilangan sumber pendapatan mereka. 

Justeru, pelancaran ruang maya BASKL dilihat tepat pada waktunya. Selain daripada menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem seni budaya di Kuala Lumpur, dan memberi kesedaran dalam bidang seni, muzik, kraf dan seni persembahan kepada umum, BASKL turut memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni untuk memperkenalkan seni masing-masing.  

Inisiatif BASKL ini sebenarnya sudah dimulakan pada tahun 2018 lagi. Ketika itu, ia merupakan program bersepadu di bawah Program Transformasi Ekonomi, Greater Kuala Lumpur. Para penggiat seni, media dan personaliti media sosial bekerjasama secara strategi membawa seni persembahan dan visual serta muzik kepada masyarakat umum.

Noor Azmi Mat Said

Kini, pandemik COVID-19 telah menukar cara kita melihat dan menggunakan media sosial. Perkara ini turut ditegaskan oleh Noor Azmi Mat Said, Pengerusi MyCreative Ventures.

“BASKL adalah sebahagian daripada Inisiatif Ekonomi Jingga atau Orange Economy untuk membantu industri muzik berhadapan dengan keadaan yang mencabar disebabkan oleh pandemik,” katanya.

Tambahan lagi, “Kami juga menyambut pengumuman oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melalui Pelan Pemulihan Nasional: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat yang memberikan beberapa maklumat penting untuk membantu penggiat industri kreatif dan perniagaan membuat perancangan.”

Industri dan para penggiat seni khususnya sedang melalui anjakan paradigma dalam menyesuaikan diri dan seni masing-masing dengan norma baharu. Namun, hakikatnya keadaan pahit dalam pandemik ini harus kita akur. Buat masa ini, sebarang aktiviti siaran langsung hanya dibenarkan secara dalam talian dari rumah atau studio. 

Bermulanya PKP 1.0 pada tahun lepas, para penggiat seni belajar mengendalikan gajet untuk bersiaran di media sosial. Malah, mereka juga perlu berhadapan dengan penonton di laman sosial  yang berbeza daripada secara fizikal. Namun pada masa yang sama, media sosial juga membuka ruang seni itu melepasi sempadan negeri malah boleh ditonton sehingga ke luar negara. Ini adalah peluang positif yang harus dimanfaatkan. 

“Usaha yang meluas ini datang dalam pelbagai bentuk sama ada pembangunan modal insan, program geran, peluang membina jaringan, dan banyak lagi. Hari ini, kami berbesar hati dapat melaksanakan usaha yang sama, pentingnya untuk memperkenalkan kembali usaha membina apresiasi tinggi terhadap sektor seni budaya, termasuk industri muzik iaitu melalui laman web baskl.com.my .” 

Izan Satrina Mohd Sallehuddin

Semasa acara langsung pelancaran BASKL, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, turut memberi jaminan dalam usaha menyokong pembangunan muzik independen di seluruh Malaysia. 

Maka bersempena dengan Hari Muzik Sedunia, pelancaran BASKL ini merupakan antara inisiatif untuk membantu artis Malaysia termasuklah dalam seni muzik untuk mempamerkan usaha kerja mereka dengan artikel – artikel serta penampilan kurasi khas muzik Malaysia di Spotify BASKL.

Di samping itu, BASKL turut melancarkan satu pertandingan yang dipanggil “KLik” iaitu sebuah pertandingan fotografi bulanan yang membawa tema yang berbeza setiap bulan. Bermula akhir bulan ini, tema pertama untuk Klik ialah “Lagu Dalam Gambar” dimana semua rakyat Malaysia boleh mengambil bahagian dengan mengambil dan memuat naik gambar yang mengingatkan mereka tentang lagu buatan Malaysia. 10 orang pemenang bertuah akan dipilih setiap bulan untuk memenangi hadiah wang tunai. Pertandingan akan bermula pada 29 Jun 2021 dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang BASKL. 

Bahagian editorial BASKL menjemput penganjur aktiviti seni secara dalam talian dan fizikal (terkecuali semasa PKP), pemilik ruang dan persatuan seni dan penulis seni untuk menjadikan ruang maya ini sebagai ruangan untuk sama-sama mewarnai industri seni dan budaya di Malaysia. 

Sehubungan itu, BASKL mengharapkan agar para artis tempatan tidak kira dari mana-mana bidang dapat berkongsi cerita dan karya mereka di platform ini. Selain daripada itu, kerjasama dengan badan yang berkaitan juga adalah amat dialu-alukan. Untuk sebarang pertanyaan mengenai BASKL dan kerjasama, anda boleh terus berhubung dengan Ann Marie Chandy, Pengarang BASKL melalui emel annmarie@cendana.com.my.

Pada saat negara menghadapi kegawatan ekonomi dan suasana pandemik yang merunsingkan, masyarakat umum memerlukan ruang untuk menikmati keceriaan hidup. Seni bukanlah hiburan semata-mata. Lebih penting, seni mampu menyuntik perasaan harmoni ke dalam masyarakat dan menjadi terapi pada jiwa individu yang kosong. 

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. BASKL adalah salah satu bentuk permuafakatan di dalam ekosistem seni negara. Ayuh para penggiat seni dan budaya, mari kita memeriahkan dunia seni dengan alunan muzik, warna-warni seni visual dan persembahan yang mengasyikkan.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites