Dari Kertas Ke Pentas – Antara Kemelut, Kebangkitan dan Impian Seni Mosyuki

Oleh Fazrina Jasmin

“Pendam, luahkan. Pendam, luahkan. Pendam, luahkan.” 

“Kita adalah orang-orang yang tak pernah kalah, cuma jatuhnya di tempat yang salah.”

Susunan kata dituturkan berselang-seli diiringi muzik latar instrumental sebaik sahaja persembahan bermula. Sambil bermonolog, perilaku pelakon menggayakan aksi menyarung kemeja berkolar biru gelap ke atas kemeja-t putih yang sudah sedia tersarung di badan. Seketika itu juga dia berjalan perlahan mengelilingi kerusi kayu sebelum duduk diam berteleku sejenak; kata-kata yang sama diungkap silih berganti, dalam tenang tangan mengenakan butang kemeja satu persatu. 

Sejajar di sisi bahunya, bahasa tubuh yang hampir serupa diisyaratkan oleh pelakon mime tetapi dengan lantunan emosi yang bertentangan dan menjerat rasa. Gerak badan beremosi itu disuntik dengan monolog yang bermain dengan perasaan dan minda sesiapa sahaja yang menonton. Kombo dua dalam satu – lakonan puisi dengan lontaran suara yang jelas dipadankan dengan isyarat mime yang berbicara; imbangan antara ekspresi yang tersurat dan interpretasi maksud tersirat dari awal hingga akhir penyampaian. 

Segalanya disaksikan pada slot persembahan open mic Mosyuki Borhan dan Ash Mime berjudul “Cermin” pada Oct 17, 2020, di Zoom Webinar menerusi Creative Release Series for Women’s Aid Organisation, Kuala Lumpur anjuran My Kolektif (Malaysian Mental Health Arts Collective) sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia. 

Tidak terhenti sekadar menyaksikan lakonan puisi ringkas yang berjaya menambat perhatian dan menjentik emosi, saya mula meneliti perkongsian di Facebook yang mengetengahkan profil seni dan kerjaya profesional Mosyuki yang turut menerima tempias pandemik Covid-19. Setelah menjejaki dan menghubunginya pada Nov 9, saya berjaya mendapatkan temujanji pada keesokan harinya untuk mengetahui dengan lebih lanjut perkembangan seni terkini dan kegusaran yang menimpa sambil menghirup segelas kopi ais segar (dengan penjarakan sosial tentunya) di kafe yang diusahakan bersama rakannya di Seksyen 9, Shah Alam. 

Berkongsi tentang slot open mic “Cermin” tempohari, Mosyuki menjelaskan perancangan asal keseluruhan persembahan terpaksa diubah kepada maya dan dipertontonkan secara langsung dari rumah masing-masing bagi mematuhi SOP sepanjang PKPB. Ini merupakan kali pertama dia menyertai acara anjuran My Kolektif. 

Seiring dengan tema yang diketengahkan iaitu kesihatan mental, dia menerokai idea melakonkan puisi yang boleh melepaskan stress atau keresahan emosi; luahan mesej daripada dalam diri itu digambarkan menerusi cerminan mime yang melengkapi persembahan. Mengakui pernah melalui fasa-fasa kemurungan, dia menegaskan yang penting ialah bagaimana seseorang boleh mengawal diri agar tidak pernah putus asa untuk bangkit semula setelah jatuh. 

Menelusuri penglibatan seni Mosyuki seawal 2008, dia bergerak aktif menerusi platform seni yang bukan sahaja bertapak di Malaysia malah telah melebarkan sayap ke Indonesia. Antara pencapaian tertinggi dan membanggakan termasuklah jemputan untuk menyertai persembahan pentas Makassar International Writers Festival (MIWF) selama dua tahun berturut-turut (Mei 2018 dan Jun 2019) dan juga Festival Sastra Banggai, Sulawesi Tengah (Julai 2019). 

Pada masa yang sama, dia membina kerjaya dalam industri penerbangan selama 10 tahun sehinggalah Mei tahun ini. Dirinya turut terkesan setelah rata-rata syarikat penerbangan tempatan terjejas teruk akibat pandemik sehingga terpaksa memberhentikan pekerja dan menutup operasi. Keadaan ini memaksanya beralih arah mengusahakan sesuatu yang lain demi kelangsungan hidup memandangkan sumber pendapatan yang tidak menentu jika hanya bersandarkan kepada hasil kerja seni sahaja. Bermula dengan menguruskan akaun media sosial DOS Cafe, dia dan rakan sama-sama mengusahakan kafe dari Julai tahun ini, di samping memasarkan dan menjual buku-buku indie terbitan tempatan di ruang khas kafe.

Menurut Mosyuki, dia mengambil pendekatan berlapang dada dan kekal optimis terhadap apa yang berlaku. Pengalaman peribadi dalam bidang seni mengajarnya untuk terus cekal dan tabah dalam menghadapi apa sahaja kecelaruan dan ketidaktentuan dalam hidup.

“Satu benda yang saya pegang sampai sekarang, kalau orang tidak pandang kita, kita kena buat sesuatu sehingga orang nampak nilai kita. Apabila kita buat dengan semangat dan passion, sesuatu perkara itu akan menjadi ikhlas dan orang akan hargai. Iya, memang struggle. Kunci utama dalam hidup, kalau saya inginkan sesuatu, saya perlu buat bersungguh-sungguh.”  

Mengimbau kembali kenangan sewaktu beraksi di pentas MIWF 2019 di hadapan lebih kurang 8000 penonton yang memenuhi ruang seluas Dataran Merdeka yang turut dikongsi di YouTube, Mosyuki begitu kagum dengan sambutan luar biasa yang diberikan penonton di sana terhadap seni pementasan puisi. 

“Di suatu daerah atau tempat begitu ramai orang yang membaca. Belum pernah saya jumpa di mana-mana, penonton yang begitu fokus menonton persembahan puisi tanpa mengalihkan pandangan dan bermain telefon. Bila ada bahagian yang sampai punchline, mereka bersorak. Ini bukan ceramah atau konsert. Dengar puisi boleh teliti sebegitu. Antara benda yang membuatkan saya rasa saya tidak boleh berhenti berkarya walau menceburkan diri dalam bidang lain.” 

Dengan suntikan semangat yang sama, dia nekad untuk mengangkat martabat puisi agar sama taraf dengan bentuk seni yang lain; melenyapkan tanggapan yang menstereotaipkan puisi sekadar tulisan-tulisan yang dibaca, kaku dan ‘mati’ di atas helaian kertas yang diselak-selak, sekaligus memelihara prestij puisi yang layak dan berjaya dipentaskan. Sebagai pengasas syarikat penerbitan Rumah Ripta, selain menerbitkan naskah bertulis, Mosyuki bercita-cita untuk memecah tradisi dengan mengadakan pementasan puisi di atas pentas besar suatu hari nanti seperti Damansara Performing Arts Centre yang menggabungkan elemen nyanyian/muzikal, visual, lakonan dan tarian bersama rakan-rakan seperjuangan yang sealiran dengannya, mengulangi kegemilangan Panggung Hujan Bakawali di Rumah Tuhan yang sebelum ini pernah dipentaskan di Twenty20Two pada 2018.

Selain mengusahakan kafe, Mosyuki giat menjalani latihan teater sulung bertema seram berjudul Malam Keliwon @ Colonial yang telah berlangsung secara maya menerusi Zoom Webinar jam 9 malam 27-29 Nov baru-baru ini, selain perancangan projek sajak yang menggabungkan elemen teater selepas tamat PKP kelak. Projek sajak bakal disajikan dalam bentuk adegan drama secara tertutup di hadapan kumpulan kecil penonton.

Kredit Gambar Video www.facebook.com/mykolektif

Fazrina Jasmin merupakan peserta di bawah Program Bimbingan Penulisan Kesenian CENDANA-ASWARA 2020-2021

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites