Tarian piring seringkali dikaitkan dengan seni tarian milik orang Minangkabau. Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa di Negeri Pahang juga terdapat tarian piring yang cukup berbeza dan miliki keunikan gerak tari tersendiri. Rentak tari dan alunan muzik juga berbeza dengan tarian piring Minangkabau.
Oleh ZURAILAWATI YONG untuk Lensa Seni
Tarian Piring bukanlah satu tarian yang asing dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Secara umum di Malaysia, tarian piring sering kali dipersembahkan ketika majlis perkahwinan terutamanya dalam kalangan keluarga berada, bangsawan dan hartawan di sesebuah kampung atau daerah.
Gerak tari tarian piring biasanya mengikut gerakan kaum atau penduduk itu sendiri. Tarian piring Minangkabau berasaskan gerakan petani semasa bercucuk tanam, membuat kerja-kerja menuai dan sebagainya. Tarian ini dilakukan bagi menzahirkan perasaan gembira dan syukur dengan hasil tanaman mereka.
Berbeza pula dengan tarian piring Pahang. Untuk mengetahui keunikan dan perbezaan tarian piring Pahang, saya bersama Muhammad Amir Amirul Bin Ismail, yang berasal dari Temerloh Pahang yang sudi berkongsi dengan lebih lanjut mengenai tarian ini.
Mendalami ilmu tarian ini sejak 2016 di bangsal Silat Sendeng Cikgu Jantan di Paya Luas, Temerloh, Amir merupakan pengamal tarian piring Pahang yang diasaskan oleh Ayahchik Sulaiman dan Arwah Cikgu Nazri dari pertubuhan Gerakan Persatuan Seni Silat Sendeng Gunung Sakti. Beliau masih aktif membuat persembahan Tarian Piring Pahang mengikut permintaan dan undangan majlis.
Tarian ini dikatakan telah wujud sejak ratusan tahun dahulu dan lengok tarinya berasaskan bunga seni silat asli yang kemudiannya diolah ke dalam seni Tari Piring Pahang. Antara gerakan silat yang terdapat dalam tarian ini ialah, Lela sembah, Lenggang janda, Lang belayar, Cacak racik, Merbah berlaga dan Buka jendela.
Secara umumnya, tarian ini asalnya hanya dipersembahkan di dalam istana untuk majlis adat istiadat, ulangtahun keraian, majlis raja sehari dan majlis-majlis tertentu keluarga diraja. Namun begitu, persembahan ini kemudiannya dipanjangkan kepada semua rakyat agar seni tari ini dapat dikekalkan.
Bagi sesetengah masyarakat Melayu di Pahang, mereka suka melihat persembahan silat pulut atau silat pengantin untuk santapan raja sehari. Tetapi ada juga yang lebih suka memilih tarian ini bagi menggantikan persembahan silat ketika berlangsungnya kenduri perkahwinan.
Tarian ini juga dikatakan bermula di Tembeling, Pahang dan tersebar ke beberapa daerah lain seperti Jerantut, Bentong, Raub, Chenor dan lain-lain. Walaupun telah tersebar di beberapa daerah, berbeza tenaga pengajar dan pembawaan, namun keaslian tari piring Pahang tetap terpelihara.
Peralatan yang digunakan semasa menari tarian piring Pahang ialah 2 biji piring kaca. Piring bewarna putih digunakan kerana warnanya yang cerah dapat menarik pandangan penonton. Saiz piring adalah mengikut keselesaan tangan si penari. Dua bentuk cincin gelang jala atau cincin perak yang dipakai pada jari telunjuk di kedua-dua belah tangan.
Cincin ini digunakan untuk mengetuk bawah piring bagi mengeluarkan bunyi ‘ting..ting..ting’ yang turut mengiringi alunan rebana dan gong. Adakalanya gendang juga digunakan untuk mengiri muzik, khas untuk tarian piring. Ketukan cincin pada piring adalah mengikut ketukan gong semasa alunan muzik dimainkan.
Keunikan tarian piring Pahang terletak kepada pakaian si penari dengan mengenakan baju tradisional Melayu, bersongkok, bersamping dan berkaki ayam. Pada asalnya, tarian piring hanyalah dimainkan oleh penari lelaki sahaja. Oleh itu, walaupun tarian piring dipersembahkan oleh penari wanita, mereka tetap memakai baju melayu ketika menari bagi mengekalkan tradisi asal tarian ini. Namun begitu, ada juga penari yang memperagakan busana tradisional yag lain seperti kebarung, kurung kedah dan kebaya ketika penari wanita membuat persembahan.
Tarian piring Pahang biasanya dipersembahkan secara berkumpulan dan dimainkan di siang hari oleh tiga hingga tujuh orang penari. Memgambil tempat selama lima hingga sepuluh minit, lenggok tari yang dipersembahkan adalah mengikut tata tertib. Penari tidak boleh memusing membelakangi penonton utama seperti raja, bangsawan, orang kenamaan atau pengantin ketika persembahan tarian.
Tempat persembahan adalah di halaman rumah atau di hadapan rumah. Persembahan dilakukan di hadapan pasangan pengantin yang sedang bersanding. Pengantin biasanya dalam keadaan duduk di atas kerusi menyaksikan persembahan tarian piring.
Persiapan awal dan rapi perlu dilakukan sebelum persembahan. Latihan yang cukup sangat penting untuk memperkemas langkah dan mengelakkan nafas tercungap-cungap semasa membuat persembahan. Penari juga perlu memastikan peralatan seperti piring dalam keadaan baik. Piring yang sumbing perlu dibuang bagi mengelakkan kecederaan kepada penari mahupun kepada penonton semasa membuat persembahan.
Tarian piring akan bermula sebaik sahaja rebana dan gong dipukul oleh pemuzik. Penari akan memulakan ‘sembah pengantin’ atau ‘sembah tari’ sebagai tanda hormat kepada pengantin. Sebaik sahaja selesai sembah pengantin, penari akan mula mencapai piring yang diletakkan di hadapannya serta mengayun-ayunkan tangan sambil memegang piring mengikut rentak dan muzik yang dimainkan. Ketukan jari pada piring perlu berseiringan dengan rentak muzik.
Sepanjang tarian berlangsung, penari tidak akan membelakangkan pengantin dan hanya dibenarkan mengundur langkah sehingga selesai tarian. Sebelum mengakhiri persembahan, penari akan menutup persembahan dengan sembah penutup kepada pengantin.
Kini pelapis tarian ini perlu dicari dari bakat-bakat baru yang perlu dipupuk sejak dari kecil lagi. Tanamkan rasa cintakan seni tari tradisional Melayu agar tidak hilang di bawa arus kemodenan zaman. Bagi yang ingin belajar tarian ini, tempoh masa yang diambil bagi seseorang pelajar yang tidak pernah mempunyai asas tari atau silat, memerlukan tempoh selama setahun untuk menguasai tarian ini. Manakala bagi pelajar yang telah mempunyai asas, mereka akan mengambil masa lebih kurang 6 bulan. Kunci asas kejayaan adalah usaha dan sabar. Latihan demi latihan amat diperlukan untuk setiap penari bagi memantapkan lenggok langkah.
Walaupun ini hanyalah sekadar persembahan seni, tarian piring perlu terus kekal dan berkembang mengikut peredaran masa. Inisiatif dalam kalangan guru-guru tarian di sekolah harus dipuji. Mereka giat melatih pelajar untuk membuat persembahan untuk acara majlis sekolah dan majlis menyambut tetamu kehormat. Pertandingan tarian tradisional di peringkat sekolah juga wajar diterapkan. Bahkan dengan cara ini, sedikit sebanyak mampu memupuk minat generasi muda untuk meneruskan seni tarian tradisional ini.
Zurailawati Yong merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021
Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan dari sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.