Seni, emosi dan perasaan dalam penghasilan dan penciptaan karya

Seni adalah hasil karya manusia yang menggunakan bahan yang diorganisasikan dengan kemahiran untuk menyuarakan pengalaman manusia. Melalui hasil seni, penilaian akal fikiran, nilai, kepercayaan dan budaya hidup sesuatu masyarakat dapat diketahui.

Oleh WAN NUR AQMAR ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Sesuatu karya seni tidak dapat lari daripada berdepan dengan persoalan emosi sama ada ia berkait terus dengan perasaan atau fizikal pelukis yang menghasilkan kesan tertentu daripada reaksi fizikal atau daripada susunan elemen tampak seperti garisan, jalinan, ruang dan warna serta penggunaan prinsip rekaan yang menghasilkan kepelbagaian dan kesatuan kepada komposisi karya. 

Penggiat seni atau pelukis mempunyai pendekatan tersendiri dalam meluahkan emosi masing-masing. Tulisan R.G. Collingwood (1958) dalam buku The Principles of Art ada menyatakan bahawa pengkarya tidak dapat mengetahui bentuk emosi dan perasaan selagi mereka  tidak melupakannya. Ini bermakna karya seni visual merupakan manifestasi pengkarya dalam menterjemahkan kegiatan dan penerokaan emosi atau perasaan itu. 

Seorang pelukis atau pengkarya seni yang lain juga meluahkan emosi dan perasaanya melalui bahantara seni lain. Penulis mengambil contoh pengacara yang berbakat, Raja Shahriman Raja Aziddin. Pengarca ini dapat merakamkan pengolahan perasaan terhadap sesuatu yang berlaku dan dia menterjemahkan perasaannya itu menggunakan pendekatan yang agak unik.

Dalam arca yang dihasilkannya diberi judul, Gerak Tempur (1996). Raja Shahriman berjaya memaparkan bentuk-bentuk arca yang dramatik dan beraksi. Aksi dan gerak laku arca yang diperbuat daripada keluli dapat menterjemahkan sesuatu yang tersembunyi dalam pemikiran Raja Shahriman. Ini menarik perhatian kerana sifat keluli yang keras, pejal dan pada itu karya ini telah berjaya digubah dan diolah dengan sebaik mungkin.

Imej yang diolah mengambil pendekatan imej figuratif. Bentuk-bentuk itu mula dikimpal dengan memberi pelbagai aksi. Aksi yang dirakamkan merujuk kepada seni silat Melayu yang merupakan satu seni warisan yang hampir dilupakan. Menurut Raja Shahriman, bahan besi sendiri merupakan satu simbol kepada kekuatan dan jati diri Melayu, iaitu bersedia menghadapi cabaran dan sanggup bergadai nyawa demi menegakkan maruah bangsanya.

Raja Shahriman Raja Aziddin, Gerak Tempur, Besi, 1996

Karya seni dapat diterjemahkan sebagai minat, sikap, apresiasi, nilai, emosi dan ia menjelaskan emosi dalam pelbagai rupa bentuk, pemilihan warna, penggunaan warna, penggunaan bahan dan media, kesan-kesan yang terhasil dan bagaimana kesan emosi tertentu. Warna juga membangkitkan kesan emosi dan ianya mewakili bentuk emosi atau perasaan tertentu di dalam sesuatu komposisi karya. Ini jelas bahawa warna mempunyai hubungan langsung dengan emosi. 

Emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan harian manusia. Emosi sering merujuk kepada perasaan atau reaksi afektif yang berpunca daripada empat kompenan asas iaitu fisiologi, kognitif, tingkah laku dan pengalaman.

Kita dilahirkan dengan keupayaan untuk bertindak balas secara emosi terhadap segala yang dilihat di sekeliling kita. Bagi setiap bentuk dan makna yang dihasilkan dan yang pasti akan berlaku perbezaan dalam memberikan interpretasi dan apresiasi yang ditonjolkan di dalam karya yang melibatkan psikologi, emosi dan ekspresi serta tingkah laku. 

Pelukis seperti Van Gogh banyak menghasilkan karya potret diri yang amat jelas mengekspresikan emosinya. Jelas bahawa unsur-unsur kecemasan malah kesunyian diluahkan menerusi ekspresi wajah serta sapuan berus yang berlingkaran dan berpusaran yang menguatkan lagi penampilan bentuk imej figura. Ia menghasilkan kesan kontras yang kuat dan mewujudkan kesan dramatik untuk menyokong kekuatan makna. 

Vincent Van Gogh, ‘Self Portrait with Bandaged Ear’, 1889

Kebanyakan pelukis pada aliran abad ke-20 meluahkan ekspresi emosi dengan lebih ekstrem. Emosi bukan sahaja diekspresikan melalui imej-imej figura tetapi juga penggunaan bentuk-bentuk abstrak melalui warna, komposisi, ruang, irama dan sebagainya. Selain itu, emosi turut dijelmakan melalui penggunaan tanda atau simbol yang mencerminkan ekspresi perasaan atau sesuatu bentuk yang ingin disampaikan.  Oleh sebab itu, wujudnya aliran seperti Surrealisme, Futurisme, Kubisme dan Abstract Ekspresionisme. 

Selain itu, Awang Damit Ahmad melalui siri karyanya Alun-Alun ke Marista menggambarkan pengalaman peribadi kanak-kanak beliau yang telah mencorak serta mewarnai keperitan perjalanan hidup sepanjang menempuh alam kedewasaan.

Awang Damit Ahmad, Alun Alun Ke Marista, 2000

Cukup jelas kepada kita bahawa seni , emosi dan perasaan adalah saling berkaitan dan ia adalah sebahagian daripada proses menjana idea. Idea yang dilontarkan oleh pelukis ketika berkarya dapat memberikan ruang tersendiri. Tanpa emosi maka tidak akan wujud idea. Emosi boleh dianggap sebagai pencetus idea. Emosi ialah sebahagian dari proses permulaan bagi pelukis untuk berkarya. Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa pelukis berkarya melalui emosinya. 

Menurut Mohd Johari Ab Hamid, pengkaji falsafah dan kritikan seni, menjelaskan bahawa kegiatan seni berpusatkan kepada dua kompenen, iaitu bentuk dan isi. Isi yang dimaksudkan ke atas karya melalui gabungan iaitu dari aspek elemen dan prinsip seni seperti rupa, bentuk, garisan, jalinan, ruang dan warna. Manakala bagi prinsip rekaan ialah seperti imbangan, kontras, kadar banding, penegasan, rentak, kepelbagaian dan harmoni. Oleh itu, penghayat dapat melihat bentuk yang terhasil dan mentafsir makna yang tersurat dan tersirat.

Emosi telah sedia ada di dalam jiwa pengkarya dan karya merupakan tempat bagi pelukis meluahkan emosi dan penghayat akan cuba menghuraikan persoalan yang digambarkan pada karya. Kemampuan pelukis menghasilkan karya juga bergantung kepada tahap emosinya. Bagi penulis, sesetengah pelukis peka dan sensitif dengan isu-isu kemasyarakatan, kebudayaan, global dan anatarabangsa serta pelbagai isu. Fakta tersebut telah mendorong pelukis untuk melahirkan karya yang bermutu yang berkaitan dengan isu-isu tersebut. 

Kesimpulannya, setiap karya seni yang dihasilkan adalah hasil daripada perkembangan emosi dan seni. Tanpa seni dan emosi, pelukis tidak mungkin dapat berkarya dengan baik. Bentuk-bentuk ekspresi yang melambangkan emosi dalaman dalam sesuatu karya seni menjadi garis penghubung antara karya, pelukis dan penghayat.

Pelukis meluahkan emosinya yang diterjemahkan dalam bentuk-bentuk tertentu di dalam karya. Dengan kata lain karya seni merupakan suatu emosi yang dijelmakan secara abstrak melalui penggunaaan bahan dan susunan imej, bentuk dan elemen tertentu sebagai simbol ekspresi. 

Gambar utama oleh Guillaume Didelet

Wan Nur Aqmar merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan dari sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites