Sempena Hari Kanak-Kanak, penulis BASKL kembali bergabung dan berkongsi bersama semua pembaca beberapa kartun yang menjadi peneman zaman kanak-kanak kami.
Oleh NABILA AZLAN, AZUWAN AHMAD, WAN NOR ALIA WAN ALI dan DANIAL FUAD | Disusun oleh CHIN JIAN WEI
Rata-rata dari kita kadang-kadang terkenang akan zaman kanak-kanak yang boleh mengukir senyuman tatkala mengimbau kembali beberapa momen yang manis. Selain permainan tradisi di zaman kanak-kanak, perasaan bangun pagi di hujung minggu dan teruja untuk membuka televisyen kerana tak sabar-sabar untuk menyusun rancangan pagi di hadapan tv dengan kartun kegemaran anda. Walaupun masa telah berlalu, kita pasti terkenang akan zaman kanak-kanak yang cukup mengembirakan dan hari-hari yang santai tanpa sebarang masalah. Ikuti perkongsian penulis BASKL dalam mengenang nostalgia kartun kegemaran kami!
Kampung Boy (1997)
Pengenalan: Karya seni artis kelahiran negeri Perak, Mohammad Nor Khalid yang dikenali ramai dengan nama Lat ini membintangi seorang budak lelaki yang membesar di kampung dengan penerapan tradisi Melayu. Dinamakan Mat, ‘budak kampung’ era 50-an ini memenangi hati penonton melalui ragam sehariannya bersama ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung. Mula sebagai novel grafik yang dicetak buat pertama kali pada tahun 1979, Kampung Boy menjadi pemangkin cetakan novel susulan seperti Town Boy dan Kampung Boy: Yesterday and Today, serta diangkat menjadi siri animasi televisyen dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dengan 26 buah episod. Siri animasi yang berwarna ini diedarkan kepada 60 negara lain seperti Kanada dan Jerman! Watak-watak lain di samping Mat seperti Ana, Bo dan Tak, serta ahli lain seperti Opah, Ibu Yop dan Yah tiada gantinya.
Sedutan memori penulis: “Kalau bercakap tentang kartun ini atau setiap kali teringat tentang Kampung Boy, dua benda akan terus terlintas di kepala saya – koleksi novel grafik bersaiz besar yang saya kumpul dan simpan sehingga ke hari ini dan bunyi siulan lagu temanya! Kartun ini meninggalkan perasaan rindu saya ke kampung halaman dan kehidupan ‘serba nyaman’ zaman kanak-kanak. Walaupun garis cerita dalam jilid komik karikatur dan siri animasi Kampung Boy dimulakan sekitar tahun 70an, kisah-kisah yang dipaparkan malar segar dah tidak jemu ditonton!” – Nabila
Anak-Anak Sidek (1999)
Pengenalan: Siapa sahaja yang tidak pernah mendengar tentang kartun Anak-Anak Sidek? Komik dan siri animasi autobiografi yang meletakkan kisah benar hidup jaguh badminton Malaysia yang juga lima bersaudara, iaitu Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid ini menjangkau tiga musim (39 episod) dan 160 buah edaran. Komik-komik selama 10 tahun telah diterbitkan oleh Penerbitan JAS Sdn Bhd, Jam Picture dan X-Square studio dengan isu pertama pada tahun 1995. Buat siri animasinya pula yang bersiaran di RTM dari tahun 1999 hingga 2003, dengan semua anak-anak Haji Sidek sebagai penerbit eksekutif kecuali Razif. Turut membintangi siri animasi ini adalah ibu bapa jaguh berlima ini, kakak dan adik mereka, serta gelanggang, raket, kerusi dan bulu tangkis yang turut membantu dalam menceritakan kisah mereka!
Sedutan memori penulis: “Saya sebagai anak kelahiran tahun 90-an seperti kawan-kawan sepermainan yang lain memang tidak lekang mata menonton siri Anak-Anak Sidek di televisyen. Bukan setakat itu sahaja, komik dan VCD animasi pun saya minta ibu bapa untuk belikan! Sekitar tempoh siri komik dan animasi ini hangat di pasaran, kawan-kawan rata-ratanya kagum dengan semangat persaudaraan mereka dan ada juga yang berhasrat untuk mengikuti jejak langkah mereka sebagai atlet badminton.” – Nabila
Di mana Joe Jambul? (1996)
Pengenalan: Di mana Joe Jambul adalah sebuah rancangan TV kanak-kanak yang diterbitkan oleh RTM pada tahun 1996 dan bertahan hingga tahun 2001. Ramai orang tidak mengetahui sebuah fakta bahawa program ini sebenarnya diadaptasi daripada sebuah rancangan kanak-kanak yang berasal dari barat berjudul ‘Where In The World Is Carmen Sandiego?‘. Tidak seperti rancangan kanak-kanak di zamannya, ia adalah berkonsepkan kuiz yang menguji tahap pengetahuan am dan geografi anak-anak di sekolah rendah. Treatment rancangan ini adalah sekumpulan kanak-kanak telah direkrut untuk menjadi detektif untuk menangkap sekumpulan watak fiksyen penjahat yang diketuai oleh Joe Jambul. Dalam kumpulan tersebut juga terdapat watak pakar bom, computer dan samseng. Kejayaan menangkap Joe dan rakan-rakannya bergantung kepada kecekapan kanak-kanak ini menyelesaikan cabaran kuiz. Rancangan popular ini juga telah mengangkat populriti Norzizi Zulkifli sebagai pengacaranya.
Sedutan memori penulis: “Saya masih ingat menonton rancanagn ini setiap hari Sabtu pagi. Antara bahagian rancangan ini yang paling diingati tentunya di segmen terakhir apabila peserta diminta untuk mengingati kedudukan negara-negara di dunia sebelum meletakkan tiang lampu di atas peta yang disediakan di atas lantai dalam tempoh yang singkat. Kalau tiang tersebut diletakkan di atas kedudukan negara yang betul, maka ia akan menyala. Andai kata sebaliknya, ia tidak akan menyala. Di penghujungnya yang ditunggu adalah sama ada peserta pada episod tersebut dapat menangkap Joe Jambul. Sebenarnya saya tidak lah terlalu meminati rancangan ini kerana treatment nya yang rumit, namun kesungguhan Norzizi sebagai pengacara dalam menggalakkan peserta-peserta sangat mengujakan.” – Azuwan
Putih (2001)
Pengenalan: Filem animasi Putih sudah tentu tidak dapat dilupakan kanak-kanak yang sezaman dengan penulis. Filem yang diterbitkan pada tahun 2001 oleh Fine Animation di bawah syarikat produksi Eurofine ini diarahkan oleh pengarah terkenal suatu ketika dahulu, Rashid Sibir. Jalan cerita filem ini agak mudah. Ia mengisahkan tentang seorang anak perempuan bernama Putih yang diseksa oleh ibu tiri dan kakak tirinya selepas kematian ayah kandungnya. Putih kemudian bertemu dengan seorang putera raja yang mendengar dia menyanyi ketika berburu di hutan kemudian saling jatuh cinta. Cerita agak cliché’ bukan?
Namun, yang hebat mengenai filem ini ia adalah filem animasi kedua yang diterbitkan anak tempatan selepas Silat Lagenda dan pengisi suara kepada watak dalam filem ini bukan calang-calang. Erra Fazira dan Datuk M. Nasir adalah suara di belakang 2 watak utama filem ini dibantu oleh pelakon-pelakon seperti Wan Maimunah, Raja Azura dan arwah Noraini Hashim. Oleh kerana suara filem ini diisi oleh pelakon-pelakon mantap dan lagenda, maka permainan watak dalam filem animasi ini dapat dirasai seolah-olah benar, dan bukan animasi. Segala emosi dan ton suara dijiwai pelakon-pelakon dengan mantap sekali.
Sedutan memori penulis: “Oleh kerana yang demikian, saya tidak malu menceritakan bahawa saya yang pada waktu itu masih di sekolah menengah telah pergi membeli VCD filem ini di sebuah pusat membel-belah. Barangkali kalau digali di dalam stor rumah ibu bapa saya, masih ada kewujudan VCD filem Putih. Kalau anda mahu menonton filem ini rajin-rajin lah mencari ya? Apatah lagi kos filem ini dianggarkan melebihi RM 1 juta! Shoutout untuk pelakon-pelakon kegemaran saya Datuk M. Nasir, Wan Maimunah dan Raja Azura!”– Azuwan
Usop Sontorian (1996)
Pengenalan: Cerita ini berkisarkan kehidupan Usop yang tinggal di Kampung Parit Sonto, sebuah kampung yang terletak tidak jauh dari Ayer Hitam, Johor. Usop Sontorian ini merupakan sebuah siri animasi pertama yang dicipta di Malaysia dan telah dicipta oleh Ujang dan juga Kamn Ismail. Bertemakan kehidupan harmoni antara kaum di kampung tersebut, cerita ini menggambarkan kehidupan harian Usop bersama teman-temannya iaitu Abu, Dol, Ah Kim, Vellu dan juga Singh. Siri animasi ini telah bersiaran di antara tahun 1996 sehingga 1997 dengan tiga musim yang mengandungi 50 episod kesemuanya.
Sedutan memori penulis: “Apa yang membuatkan cerita ini sangat rapat dengan saya adalah kerana saya membesar dengan suasana kampung namun telah berpindah ke bandar Kuala Lumpur ketika berumur sembilan tahun. Jadi gelagat dan telatah Usop bersama teman-temannya sering menimbulkan perasaan nostalgia kepada saya terhadap memori yang ada ketika saya membesar.” – Danial
Silat Lagenda (1998)
Pengenalan: Filem animasi pertama Malaysia yang telah dikeluarkan pada tahun 1998 ini telah menelan belanja sebanyak RM 6 juta dan diarahkan oleh Hassan Mutalib. Dibintangi oleh pelakon sohor ketika itu seperti Noorkumalasari dan Jalaludin Hassan, cerita ini berkisahkan tentang lima orang anak muda yang telah menemui senjata hikmat pada latar masa mereka iaitu pada abad ke-21. Lima orang yang sangat tertarik dengan lagenda kisah perwiraan Hang Tuah ini setelah menemui senjata hikmat itu secara tidak langsung telah membangkitkan Mona, watak jahat utama cerita ini yang mereka harus kalahkan.
Sedutan memori penulis: “Semestinya cerita yang sangat popular pada zaman saya membesar antaranya adalah Power Rangers. Cerita Silat Lagenda ini sedikit sebanyak mendapat nafas daripada cerita tersebut dan ia telah menarik minat saya ketika membesar. Apabila mengenang kembali cerita ini menjadi penyebab saya berminat untuk menyertai silat dan sedikit sebanyak telah membuatkan saya berasa bangga kerana ada adiwira kita yang tersendiri.” – Danial
Keluang Man (1998)
Pengenalan: Keluang Man merupakan antara siri animasi yang terawal di Malaysia. Siri terbitan UAS Animation Studios ini merupakan kartun yang ditayangkan di TV1 bermula pada tahun 1998 hingga 2005 yang diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Ismail atau Kamn Ismail bersama Pengasas dan Pemilik bersama UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor.
Keluang Man ini merupakan kisah animasi superhero bagi anak-anak lewat 90-an yang berkisarkan tentang Borhan yang duduk di Hospital Bahagia Tampoi, tetapi mempunyai identiti kedua sebagai Keluang Man yang merupakan satria yang melawan penjahat dikala dia diperlukan. Bersamanya terdapat beberapa watak lain yang menceriakan lagi siri ini. Antaranya watak seperti Tiong Man, Inspektor Sahab, Khaty dan beberapa watak sampingan lain. Buat penggemar Keluang Man juga walaupun sudah hampir tiga dekad, namun kartun animasi ini masih ikonik dan bakal difilemkan tidak lama lagi, nantikan!
Sedutan memori penulis: “Sebut sahaja Keluang Man, pasti kanak-kanak 90-an tahu tentang kartun animasi ini! Begitu juga lagu pembukanya “Dia bagai seorang pahlawan, menjadi pembela pada yang tiada upaya..” menjadi antara lagu yang biasa didengari apabila tiba senja hari, kira-kira pukul 7 malam (seingat saya). Pada lewat 90-an dan awal 2000, tidak banyak karton animasi tempatan. Apatah lagi di Malaysia, tidak banyak yang mempunyai kemahiran untuk menyajikan penonton dengan siri animasi. Seronoknya zaman kanak-kanak, kewujudan internet masih di peringkat awal dan tidak ramai yang terdedah dengan sesawang yang ada. Menjadi satu rutin harian sekeluarga bagi kami adik beradik untuk menonton kartun bersama-sama. Memori itu adalah ‘gold’ bagi saya kerana momen begitu amat bermakna dan sukar untuk kita lihat pada generasi kini yang lebih cenderung kepada penggunaan dan menonton pada gadget masing-masing.” – Alia
Yokies (1997)
Pengenalan: Yokies merupakan keluarga telur yang boleh bercakap, datang dari angkasa lepas yang mula ditayangkan pada tahun 1997. Siri animasi ini diterbitkan oleh Fina Animation (M) Sdn Bhd. Kebanyakkan siri animasi tempatan ditayangkan di TV1 dan TV2 pada ketika itu. Siri animasi dahulu banyak berkait dengan kehidupan sehari-hari dan di situ diselitkan nilai moral yang boleh di ambil dan dijadikan pengajaran melalui konfik dalam setiap episod. Antara watak yang dapat kita temui dalam siri ini adalah Papa Yokies, Mama Yokies, Egof, Egstein, Egie dan Evira.
Sedutan memori penulis: “Kanak-kanak memang tak lepas dengan kartun, masa kecil dulu seingat penulis Yokies antara susunan siri animasi yang dapat kita tonton di layar kaca. Dulu bukan macam sekarang, semua di hujung jari. Tapi sewaktu saya kecil akhbar masih menjadi antara medium penting, penulis gemar membaca akhbar dan akan sentiasa membelek akhbar ke muka surat itinerari susunan rancangan televisyen, terutamanya di hujung minggu. Perkara paling wajib! Kena periksa susunan kartun supaya duduk melekat depan tv dan dapat ‘cop’ rancangan sebelum adik beradik lain berebut! Siapa yang dapat remote dulu memang dia ‘king’! Ingatan saya pada kisah Yokies ni agak samar, tetapi melihat telur yang boleh bercakap dan diselitkan dengan haiwan seperti katak semestinya menarik minat saya ketika itu. Lucu apabila diingat kembali, tapi benar!” – Alia
Ikuti kisah-kisah menarik lain di BASKL dengan melalui pautan di bawah: