5 rencah rasa seni kontemporari Malaysia di Taipei sempena pameran SPICE

Pameran seni visual ‘SPICE’ yang berlangsung dari 16 Oktober hingga 26 November 2022 di bandar Taipei membolehkan peminat seni di rantau itu menikmati karya-karya seni dari lima orang artis Malaysia.

Oleh NABILA AZLAN

Pameran SPICE yang berlangsung selama 10 hari di Muzi Art Gallery, bandar Taipei ini merupakan kolaborasi Core Design Gallery dengan galeri tersebut dalam membuka peluang kepada seniman kontemporari tempatan untuk menyinar di persada antarabangsa.

Sesuai dengan personaliti Core Design Gallery sebagai wadah seni untuk bakat-bakat matang, malar segar dan yang mula muncul (emerging) diperkenalkan ke mata khalayak, usaha sama dengan Muzi Art Gallery ini bukan sahaja penting buat barisan artis tempatan yang terlibat, tetapi juga sebagai ‘pemanis mulut’ (atau mata!) kepada warga di Taiwan yang mungkin belum pernah menghayati karya yang berasal dari Malaysia.

Mengapakah pameran ini digelar SPICE?

‘Perasa’ pameran ini jatuh kepada stail artistik lima orang artis yang terlibat, iaitu Aimman Hafizal, Haafiz Shahimi, Izzat Hamdan, Nor Tijan Firdaus dan Syahmi Jamaluddin. Kelima-lima orang artis ini bukan sahaja mengguna pakai ekpresi seni yang berlainan melalui daya kreativiti dan sifat eksentrik yang tersendiri, tetapi bahantara yang menarik dalam penghasilan seni visual seperti hasil bazir elektronik (electronic waste atau e-waste), plat besi dan tekstil.

Buat anda yang mungkin tidak dapat hadir ke pameran SPICE di Muzi Art Gallery, BASKL hasilkan artikel ini khas untuk anda! Kenali artis-artis di atas melalui sebahagian daripada kerja seni mereka seperti yang ditunjukkan:

Saturday’s Child Has Far to Go (2022)

Karya Aimman Hafizal

Menggunakan cat akrilik di atas kanvas

Artis yang berasal dari Johor ini merentasi disiplin kerja, giat dalam penghasilan seni visual, seni grafik, ilustrasi buku, mural dan karya animasinya. Aimman mudah dikenali melalui produk seninya yang banyak menyentuh aspek ilustrasi dan budaya popular zaman kanak-kanak.

Hibiscus II (2022)

Karya Haafiz Shahimi

Menggunakan cat automotif, dempul (putty), akrilik, keratan plasma dan primer hitam pada plat logam dengan salutan cat matte 2k

Seorang graduan Seni Halus (Fine Art), Haafiz menempa namanya melalui penghasilan seni luar ortodoks seperti cetakan seni pirografi (pyrography) atau hasil seni melalui pembakaran atau pemanasan terkawal. Hasil seni berjiwa ‘industrial’nya kini diterokai melalui penggunaan cat di atas plat besi.

Myrtle (2022)

Karya Izzat Hamdan

Menggunakan cat minyak, benang akrilik, burlap dan arang pada kepingan kanvas

Artis dari Kuala Lumpur ini memang pakar dalam ‘menjahit’ pelbagai jenis tekstil ke dalam karya visualnya. Bakat yang diasah melalui pengalamannya dalam industri tekstil yang telah memperkenalkan dirinya kepada pemahaman tekstil yang mendalam, kemudiannya tekstur yang berlainan jenis.

Caution II (2022)

Karya Nor Tijan Firdaus

Menggunakan bahan bazir elektronik di atas panel papan kayu

Pakar dalam menukarkan bahan buangan elektronik yang mungkin tidak bernilai kepada sesuatu yang amat berharga, artis kelahiran Klang, Nor Tijan mudah dikenali melalui kerja seni halusnya yang meliputi kajian estetik, pengalaman dan jangkaan manusia.

For The Lover No.I (2021-2022)

Karya Syahmi Jamaluddin

Menggunakan cat akrilik, tampal-cetakan TC dan kaca akrilik di atas kanvas

Artis muda di arena seni tempatan, Syahmi yang berjiwa eksperimental telah menyertai pelbagai pameran berkumpulan (group exhibitions) dalam membuktikan kemahiran kendirinya. Dia kini memanjangkan skilnya kepada penghasilan karya menggunakan cetakan tabir sutera (silkscreen printing).

Pameran SPICE dibuka untuk orang ramai di Muzi Art Gallery, bandar Taipei, Taiwan dari 16 Oktober sehingga 26 November 2022. Ikuti Core Design Gallery di laman Instagram untuk mengetahui senarai pameran yang selanjutnya.

Gambar oleh Core Design Gallery dan Muzi Art Taipei

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites