Jom pergi Terengganu: 5 produk tarikan di Pasar Payang!

BASKL ingin membawa pembaca melihat apa antara produk daripada lokal yang dapat anda jumpa di Pasar Payang, Terengganu.

Nukilan dan gambar oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Malaysia kaya dengan masyarakat majmuk, berbilang bangsa, jadi musim perayaan dan cuti pun banyak kan? Semestinya di musim cuti serta perayaan, ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman untuk menjenguk sanak-saudara. Di kesempatan ini juga kita akan pergi melancong dan berjalan bersama keluarga.

Seperti penulis, seronok juga sekali sekali dapat mencari suasana baharu untuk berkarya, sambil berjalan dan kongsikan pengalaman melawat lokasi menarik di kampung halaman. Kali ini BASKL ingin berkongsi dengan pembaca, apa yang menarik di Pasar Payang, Terengganu Darul Naim.

Memang lazimnya Pasar Payang menjadi tarikan pelancong. Buat anda yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sini, artikel ini adalah untuk anda! Terdapat pelbagai barangan yang boleh anda dapatkan di sini. Daripada barang basah, kering, pakaian, barang kemas pun boleh didapati di sini. Barang jualan tradisi kesenian dan kebudayaan masyarakat kita pun ada. Kalau tak shopping, cuci mata pun boleh kan?

  1. Batik Terengganu
Hampir setiap lorong di sini menawarkan pelbagai jenis batik.

Terengganu merupakan salah satu negeri yang terkenal dengan penghasilan batik. Terdapat pelbagai cara dalam menghasilkan corak batik, tetapi itu kami kongsikan dalam artikel akan datang. Di sini, anda boleh dapatkan batik dengan pelbagai harga, corak dan material. Sempat juga penulis mendapatkan sehelai dua kaftan batik di sini. Walaupun harga telah ditetapkan, pengunjung boleh cuba untuk tawar-menawar dengan harga yang telah ditetapkan supaya anda boleh mendapatkan harga yang terbaik. Daripada baju lelaki, wanita sehingga ke kanak-kanak, semua terdapat di sini.

Sedikit tips untuk anda, pastikan apabila membeli batik, periksa hadapan dan belakang kain. Kain batik original mempunyai lukisan dan warna yang sama di hadapan dan belakang. Berbeza dengan kain cetak dengan ilustrasi batik, belakangnya bewarna putih dan tidak mengikut corak hadapan kain.

2. Produk tembaga

Yo menunjukkan antara barang jualannya.

Sambil berjalan, penulis berkesempatan untuk menemubual Muhd Nasrul Hakim, 25, yang merupakan seorang peniaga tembaga di sini. Nasrul atau mesra dengan panggilan Yo membantu bapanya di Pasar Payang sejak berusia 12 tahun lagi.

Sempat juga kami berbual panjang tentang tembaga dan bagaimana peniaga di sini terkesan akibat pandemik. Menurut Yo, memang tidak dinafikan mereka sedikit sebanyak terjejas. Namun selepas pembukaan sektor, terutamanya untuk majlis dan perkahwinan, walaupun ramai yang membuat majlis secara kecil-kecilan, namun permintaan tembaga kian meningkat dan banyak antara barangan mereka yang habis terjual.

Bagi menilai Keaslian tembaga pula, menurut Yo kita harus berhati-hati. Ramai yang akan mengatakan bahawa produk mereka asli, tetapi semua itu dapat dinilai daripada corak, warna dan berat produk tersebut. Tembaga yang asli selalunya akan lebih berat dan corak tembaga Terengganu lebih kepada ukiran tradisi tangan. Perbezaan yang ketara dapat kita lihat pada warna produk asli mahupun tidak. Tembaga asli berwarna emas dan berkilat, berbeza dengan timah yang disalut warna emas, warnanya terang, kilauannya kelihatan terlalu terang. Menurutnya juga, harga tembaga tempatan selalunya bermula pada RM300 keatas.

3. Keris

Sebahagian keris yang terdapat di sini. Menariknya ramai pelanggan yang bertanyakan tentang keris sepanjang kami menemubual pengusaha.

Kalau dulu keris lazimnya digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri, kini ia lebih kepada perhiasan dan kegunaan sendiri. Sama ada untuk mengumpul atau tujuan lain, anda boleh dapatkan keris di sini. Menurut Yo lagi, pembuat keris di Terengganu lebih tertumpu kepada pembuatan keris untuk raja sehari atau untuk adat istiadat diraja.

Keris untuk pengantin atau lebih dikenali sebagai keris selit, nama yang digunakan disebabkan keris in perlu diselitkan pada sampin pengantin lelaki. Terdapat pelbagai bentuk dan warna, semua ini terpulang pada citarasa dan kepadanan keris dengan baju si pemakai.

Tips: Perbezaan keris buatan Terengganu dengan luar adalah ia berbentuk tebal seperti kapak, manakala keris daripada negara jiran berbentuk seperti kapal layar dengan bonggol bulat.

4. Rotan

Afiqah Mohd Yussoff @ Along anak kepada pengusaha perniagaan rotan di sini menunjukkan antara produk rotan mereka.

Sekarang ni macam trend kan, rata-rata menggunakan rotan sebagai perhiasan di rumah, Kalau kita tengok dekat media sosial pun banyak mempromosikan kedai jualan atas talian mereka. Di sini juga tidak terkecuali, banyak barangan hasil kraf tangan anak tempatan. Menurut Afiqah Mohd Yussof, anak kepada salah seorang pemilik kedai rotan di sini, walaupun keluarganya mula berniaga sejak lebih 20 tahun yang lalu dari satu generasi ke generasi yang lain, mereka bermula dengan menjual keropok. Hanya pada tahun 2007 mereka mula untuk menjual hasil kraf tangan rotan kerana percaya dan nampak akan permintaan produk itu dalam pasaran.

Selain memahami kehendak pembeli, pengusaha kedai ini juga turut mempunyai minat yang mendalam terhadap rotan. Bukan sahaja rotan Terengganu boleh didapati di kedai ini, malah rotan-rotan dari negeri lain turut dijual di sini. Sebagai penulis, mata kita tidak tahu membezakan jenis-jenis rotan yang anda, berbeza dengan pengusaha kedai ini, sekali tengok dia sudah tahu ketelitian serta asal sesebuah produk tersebut.

Sebenarnya dengan pembelian rotan ini, selain dapat membantu pengusaha kedai barangan kraf, secara tidak langsung kita dapat membantu pembuat barangan rotan dan kraf lain untuk menjana pendapatan kerana kebanyakkan daripada mereka bergerak secara solo. Walaupun harganya tinggi sedikit, namun apa yang pastinya barangan ini tahan lama.

5. Songket

Antara koleksi songket di Zam 47, Pasar Payang , Kuala Terengganu.

Antara lain yang terdapat di Pasar Payang ialah Songket Terengganu. Sambil kami pusing di sekitar pasar ini, sebenarnya terdapat ramai anak muda yang dilihat menjadi usahawan di sini. Kebanyakkan daripada mereka menjaga perusahaan keluarga dari turun temurun membuatkan kami berasa amat bangga kerana masih ada pewaris yang akan mengambil alih legasi produk seni dan budaya kita.

Lawatan ini juga menemukan kami dengan seorang anak muda berusia 25 tahun, Hanifah Burhan yang merupakan generasi ke dua di salah sebuah kedai songket di sini. Mahir dengan produk songket, Hanif banyak berkongsi tentang songket dan tips dalam pembelian songket.

Tidak kira sama ada harganya mahal ataupun murah, rata-rata Songket Terengganu ditenun (hand woven). Jika upahnya sahaja sudah mahal, mustahil untuk harga pasarannya murah. Ini antara perkara yang amat dititik beratkan oleh Hanif.

Namun begitu, sebagai penjual, dia tidak marah atau terasa jika ada yang membeli songket dengan harga murah. “Tidak salah untuk memilih harga yang murah, tetapi jangan mengadu dan mengeluh jika kain itu cepat rosak. Kalau kualitinya elok, contoh seperti kain pemberian Tok Moyang saya, walaupun sudah lama, ia tidak renyuk atau tercabut dan tidak nyeng (lembut rosak dalam dialek Terengganu),” tambahnya.

Antara ciri-ciri songket asli juga ianya mudah dibentuk dan terletak elok mengikut potongan si pemakai. Tidak hairanlah kenapa songket mahal, ini kerana pembuatan dan ketelitian pembuatnya menjadi antara faktor dalam menyiapkan hasil tangan yang sangat kemas dan rapi. Namun apabila berbelanja, tepuk dada, tanya selera dan haruslah berbelanja dengan berhemah.

Sudah lama berjalan di Pasar Payang, jangan lupa untuk melihat cenderamata dan barangan lain di sini. Terdapat banyak barangan tempatan seperti keropok, snek dan bahan masakan yang boleh anda dapati di sini.

Jika dulu Pasar Payang ini merupakan bangunan dua tingkat dan sukar bagi sesetengah orang untuk naik turun oleh kerana faktor bangunan lama yang hanya mempunyai tangga yang tinggi, di Pasar Payang sementara ini merupakan pasar yang luas dan besar dan mudah untuk diakses oleh semua. Jadi apa tunggu lagi, jika anda ke Terengganu, jangan lupa singgah di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites