Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI dan AZUWAN AHMAD
Seramai lebih 500 orang penggiat muzik tanah air telah berkumpul di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), Sentul untuk sama-sama memeriahkan sesi town hall bersama YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi & Digital Malaysia pada hari khamis yang lalu. Acara town hall siri pertama ini telah memperlihat penggiat seni tanah air berkumpul untuk sama-sama mendalami masalah dan cabaran sedia ada serta mencari jalan penyelesaian untuk menjamin masa depan yang lebih baik. Mereka telah diberikan taklimat mengenai Dana Kandungan Digital yang telah termaktub di dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim. Pautannya ada di sini.
Selain itu, para penerima Dana Kandungan Digital tahun 2022 bagi kategori muzik juga telah menandatangani dan mendapat surat setuju terima mereka pada acara ini. Sebanyak 17 buah organisasi telah mendapat manfaat daripada Dana Kandungan Digital 2022 dan daripada jumlah tersebut, 13 organisasi telah mendapat Dana Persembahan Muzik berjumlah RM3.3 juta manakala 4 organisasi telah mendapat Dana Anugerah Industri Muzik berjumlah RM320 ribu. Kedua-dua dana ini merupakan sebahagian daripada dana besar Dana Kandungan Digital.
Antara penerima yang telah mendapat dana tersebut adalah Raizan Zainal Abidin, lebih dikenali sebagai Neves yang juga penyanyi untuk kumpulan Pretty Ugly. Raizan turut berkongsi, “Dana ini memang sangat membantu sebab kita kadang kala, apabila kita buat gig atau persembahan, orang hanya nampak apa yang ada pada hari kejadian sahaja namun sebenarnya banyak lagi kos yang perlu dibelanjakan sebagai persiapan sebelum hari kejadian itu. Contohnya persiapan, latihan dan tidak dilupakan sewaktu ada persembahan, kita terpaksa tolak segala job lain.”
Inisiatif ramah mesra YB Menteri bersama masyarakat penggiat muzik tanah air ini telah dianjurkan oleh MyCreative Ventures, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi & Digital dan dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Antara perkara yang disentuh dan dikupas oleh YB Menteri, “Saya rasa dalam sesi ini kita nampak semua. Ada yang menyentuh tentang pendidikan, royalti dan juga daripada segi undang-undang muzik. Kami akan berbincang untuk memberikan yang terbaik dan memastikan para karyawan dapat menghasilkan karya kreatif yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan kami tekad untuk membina ekosistem yang kondusif bagi memayungi industri kreatif tanah air.”
Suasana di KLPAC pada malam tersebut cukup padat dan hangat dengan soalan dan perbincangan yang dilontarkan oleh para seniman yang hadir. Malah ramai juga yang turut menyambung sesi perbincangan ini di dalam talian. Antara mereka yang turut hadir dalam sesi town hall ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi & Digital, Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek; Pengarah RTM, Encik Suhaimi Sulaiman; Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail Sham serta pegawai-pegawai daripada organisasi berkainan penghasilan dan pembangunan muzik di Malaysia.
Sesi pada malam tersebut merupakan sebuah sesi yang panas namun telah dapat dikendalikan dengan sangat tenang oleh YB Fahmi Fadzil. Para seniman tempatan juga turut memberi pendapat yang sama mengenai Menteri Komunikasi & Digital yang baharu ini. Seorang lagi ahli muzik yang hadir ke majlis tersebut dan turut sempat untuk memberikan pendapatnya adalah Badrul Hisham atau Bard Muffins. “Orang nak tolong kita, jangan lah kita buat orang menyampah dengan kita. Jangan kita susahkan mereka yang berusaha dengan gigih untuk membantu para pemuzik yang ada di negara kita.” Bard Muffins juga merupakan salah seorang daripada peserta Seni Untuk Semua Atas Talian yang boleh anda tonton di laman BASKL.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Dana Kandungan Digital 2023, anda boleh layari laman web ini dan mula membuat permohonan mulai 24 Mac ini.
Ikuti kisah BASKL yang lain di sini: