Pentingnya muzik dalam pendidikan dan kehidupan manusia

Bagaimana muzik mempengaruhi hidup anda? Begitu juga dengan kanak-kanak, apabila penerapan muzik diterapkan dengan lebih dalam di usia muda, ia dapat memupuk dan membantu dalam perkembangan hidup kanak-kanak.

Oleh WAN NUR AQMAR ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Seni merupakan sesuatu yang halus, indah dan menarik. Pendedahan terhadap seni juga kian diterima ramai yang mana rata-rata memberikan pandangan serta sokongan yang positif. Walaupun terdapat pelbagai cabang dalam seni, namun setiap satu memberi kepuasan yang berbeza untuk setiap individu.

Sebagai contoh muzik, kepelbagaian genre muzik memberi halwa telinga yang berbeza buat pendengar yang berbeza. Walaupun ramai yang menerima, namun ada juga masyarakat malah pendidik yang kurang jelas tentang aspek positif yang terdapat pada seni muzik.

Sama ada kita gemar ataupun tidak, muzik sebenarnya sudah dianggap sebati dalam diri kita. Apatah lagi dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat sekarang menguatkan lagi kepentingan muzik sebagai satu keperluan dalam kehidupan manusia. Apabila seseorang mempelajari muzik, elemen-elemen penting dalam Pendidikan ini, kita menjadi lebih tertumpu dan ekspresif.

Pendidikan tanpa muzik dianggap seperti kurang lengkap khususnya buat kanak-kanak. Sebaliknya, pendidikan yang melibatkan muzik memberi pelbagai kemungkinan yang boleh diterokai. Antaranya ialah kebolehan memahami dan menggunakan simbol dalam konteks yang baharu, kreativiti diri, kemahiran diri, ekspresi diri, disiplin serta kepuasan mengatasi sesuatu cabaran.

Sumber Harian Metro, Nurul Husna Muhammad, 2017.

Kecerdasan dan fungsi otak memberi harapan dan keupayaan mengekspresikan ‘wajah’ itu sendiri. Kaitan antara pendidikan muzik dan perubahan pada pelajar menunjukkan faedah terus dan segera, bukan hanya untuk diri pelajar tetapi juga dalam bidang pendidikan mereka.

Rasional bagi Pendidikan Muzik

Dalam kehidupan seharian, kita tidak boleh dipisahkan daripada muzik. Muzik merupakan satu bentuk seni, ia boleh membezakan tingkah laku antara manusia. Berikut merupakan sebab-sebab mengapa kita memerlukan muzik dalam kehidupan dan pendidikan:

  1. Muzik sangat berfaedah untuk dipelajari.
  2. Muzik merupakan satu daripada manifestasi utama bagi warisan sesuatu budaya.
  3. Setiap individu mempunyai potensi dalam muzik dan potensi ini harus dikembangkan sepenuhnya.
  4. Muzik merupakan satu jalan bagi menonjolkan kreativiti, ekspresi diri dan keunikan individu.
  5. Muzik mendidik pelajar tentang aspek-aspek unik berkaitan dengan hubungan sesama manusia dan dunia sekeliling, budaya tempatan dan luar.
  6. Muzik membuka laluan kejayaan bagi pelajar yang menghadapi masalah dalam bidang selain daripada muzik dan pendekatan terhadap pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam konteks yang berlainan.
  7. Muzik boleh memberi kepuasan kepada pelajar dengan cara menajamkan sensitiviti, meningkatkan tahap apresiasi dan memperluaskan pengetahuan mereka.
  8. Muzik ialah satu sistem simbol yang paling berpengaruh dan mendalam dan sama pentingnya dengan sistem huruf dan nombor.
  9. Muzik membantu pelajar menyedari sesuatu yang signifikan – bahawa tidak semua aspek kehidupan dapat dikuantifikasikan dan kita harus bersedia menghadapi perkara yang subjektif.
  10. Muzik menyanjung jiwa dan perasaan manusia.
  11. Muzik ialah bahasa yang boleh diucapkan oleh semua masyarakat, merentasi bangsa, budaya, sosial, pendidikan, ekonomi serta mengukuhkan apresiasi dan kesedaran.
  12. Muzik membantu menyediakan pelajar kepada kerjaya dan mengisi masa lapang.
  13. Muzik menjadikan sesuatu hari itu lebih ceria dan menarik yang membawa kepada peningkatan pembelajaran.
  14. Muzik juga merupakan terapi bagi manusia.

Banyak kajian telah dijalankan untuk memahami impak pendidikan muzik khususnya terhadap kanak-kanak. Kaedah-kaedah pengajaran muzik seperti Orff, Suzuki dan Yamaha di kebanyakan negara menunjukkan bahawa tahap muzik kanak-kanak pra sekolah boleh diterjemahkan dalam bentuk kemahiran dalam pertuturan dan muzik bahasa.

Melalui muzik juga kanak-kanak dapat meluahkan perasaan tentang diri dan dunia di sekeliling mereka secara kreatif dan imaginatif. Aktiviti seni, muzik dan drama memberi peluang kepada kanak-kanak membuat penerokaan menggunakan pelbagai bahan dan teknik untuk tujuan meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti secara semula jadi.

Selain daripada itu, kanak-kanak juga memperolehi peluang berkongsi idea, pandangan dan perasaan mereka tentang seni, muzik dan drama. Ini adalah penting bagi membolehkan mereka menghargai seni.

Pendidikan muzik juga memberi pelajar satu pengenalan dan pengukuhan kemahiran akademik seperti kemahiran berfikir, penyelesaian masalah, bekerjasama ke arah matlamat bersama. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif adalah perlu bagi pelajar untuk menghadapi masa depan mereka khususnya dalam bidang pekerjaan kelak.

Unsur-unsur matematik yang terdapat dalam muzik misalnya mengukuhkan dimensi analitik serta kemahiran kognitif yang tinggi. Konsep abstrak seperti kiraan, pecahan, dan nisbah mendapat makna yang konkrit dan ketara apabila diaplikasikan dalam konteks muzik, kaitan di antara simbol dan kandungan (content) lebih mudah dilakukan.

Secara keseluruhannya, sumbangan muzik khususnya pendidikan muzik boleh mengukuhkan keseluruhan ruang lingkup pembelajaran pelajar.Pendekatan yang berterusan dalam pembelajaran dengan jelas dapat meningkatkan kemahiran akademik dan ciri peribadi yang amat diperlukan bagi kemajuan sekolah dan membentuk golongan muda pelajar.  Justeru itu, muzik seharusnya lebih diberi perhatian dalam sistem pendidikan negara.

Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

Wan Nur Aqmar merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan dari sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites