White Percussion Unit bermula dengan seorang pelajar Gendang Melayu

Berbekal dengan ilmu pengetahuannya dan minat yang mendalam, Mohd Hisharudy Mahmud menubuhkan White Percussion Unit bersama dengan sembilan orang rakannya dari ASWARA.

Oleh DANIAL BIN FUAD

Menjadikan minat atau hobi kepada kerjaya bukanlah mudah kerana terdapat pelbagai halangan yang harus ditempuhi. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangat Mohd Hisharudy Mahmud atau mesra dengan panggilan Rudy, untuk meneruskan minat beliau dalam permainan alat muzik gendang. Bermula sejak tahun 2005, Rudy telah berjinak -jinak dalam permainan alat muzik ini, kini beliau merupakan ketua kumpulan gendangnya yang sudah mula dikenali ramai.

Lebih membanggakan lagi, pemuzik lepasan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini, merupakan satu-satunya pelajar dalam bidang Gendang Melayu pada Ketika itu. Oleh kerana itu, atas nasihat dari pensyarah beliau, Rudy banyak bergaul dengan pelajar dari jurusan lain. Ini membuatkan beliau lebih terdedah kepada pelbagai genre, alat muzik dan seni budaya yang lain.

“Pada 2006, budaya bermain genderang beramai-ramai ini sudah dipraktikkan dan dibawa oleh pelopor muzik genderang di Malaysia, Steve Thornton pada ketika itu,” ujar Rudy mengenai perkembangan seni gendang di Malaysia.

Perkenalan Rudy bersama dengan mediang Paul Lau, pengasas Tugu Drum Circle pada tahun 2006 juga telah menyumbang kepada penubuhan White Percussion Unit. Tugu Drum Circle merupakan kumpulan genderang yang bermain bersama-sama di sekitar Tugu Negara setiap petang Ahad. Setelah beberapa kali bermain bersama mereka, beliau mula tertarik dengan seni gendang Brazil pula.

“Pada mulanya saya tidak berapa minat dengan gaya ini kerana mustahil bagi saya untuk mendapatkan alat muzik Brazil pada ketika itu,” katanya.

Namun ini semua berubah apabila beliau berkenalan dengan Riduan Zalani, pemain genderang dari Singapura yang mempunyai set gendang Brazil. Hasil perkongsian Riduan, perasaan ingin mendekati gendang Brazil making membuak- buak dalam diri Rudy.

Berbekalnya ilmu pengetahuannya dan minat yang mendalam, Rudy mengambil jurusan pembuatan alat muzik sebagai subjek sampingan dan ini telah membantu beliau untuk membuat gendang Brazil beliau sendiri bagi persembahan pertama beliau di ASWARA. Setelah itu, beliau menubuhkan White Percussion Unit bersama dengan sembilan orang lagi rakannya dari ASWARA, yang merupakan teman rumah sewa serta jirannya.

Lagu pertama yang dihasilkan mereka merupakan Republic of Cheras (R.O.C.), diikuti dengan Shake Your Body, Bomba Seven dan juga Rhythm Blow Your Mind yang dicipta diantara bulan Mac hingga Mei 2007.

Atas nasihat pensyarah beliau, Che Mohd Nasir, Rudy telah memulakan aktiviti busking di Pasar Seni bagi mengenalkan alat muzik Brazil ini kepada orang ramai.

“YouTube pada ketika itu merupakan sesuatu yang asing bagi ramai orang, maka busking merupakan cara terbaik untuk dijadikan promosi,” ujar Rudy.

Kumpulan mereka membuat persembahan busking di hadapan Maybank Bukit Bintang.

Melalui busking, White Percussion Unit berusaha untuk mendalami gabungan muzik Brazil bersama dengan muzik tradisional Melayu. Dari situ, mereka mencipta dua lagu yang mengabungkan dua muzik tersebut.

 “Lagu Asyik ini diolah melodinya daripada lagu wayang kulit yang bertajuk Sri Rama Berjalan,” kata Rudy tentang lagu gabungan pertama mereka.

Manakala lagu kedua mereka pula, Perahu Kayuh mempunyai nafas Pantai Timur yang kuat terutamanya elemen dikir barat yang telah digabungkan dengan melodi gendang Brazil.

Melalui aktiviti busking ini jugalah mereka dapat berkenalan dengan ramai penganjur majlis yang kerap menonton persembahan mereka. Kata Rudy, busking telah membuka rezeki untuk mereka membuat persembahan korporat.

“Ramai yang menemu ramah kami selepas persembahan busking dan ada diantaranya yang menawarkan kami persembahan korporat dan kami naik secara perlahan melalui itu.”

Antara persembahan korporat daripada White Percussion Unit.

Persembahan pertama mereka merupakan acara mengiring kedatangan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu majlis di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Dalam. Ini juga, antara memori yang tidak dapat dilupakan oleh White Percussion Unit. Hal ini kerana, Ketika ketibaan mantan Perdana Menteri, hujan turun dengan sangat lebat. Situasi yang tidak dapat dielakkan ini, menghalang pemain muzik tradisional yang lain kerana risau alat muzik mereka basah dan rosak. Namun berbeza buat kumpulan Rudy.

“Perbezaan kami dengan pemuzik lain di situ adalah kerana menggunakan plastik berbanding kulit untuk gendang, kami tidak risau jika alat muzik kami basah,” kata Rudy apabila menceritakan bahawa kumpulan mereka sahaja yang berjaya mengiring mantan Perdana Menteri pada Ketika itu.

Semenjak daripada itu, mereka sering dijemput untuk pelbagai acara dan mereka juga pernah dijemput untuk membuat persembahan oleh beberapa jenama terkenal seperti Adidas, Nike, dan juga Converse pada tahun 2016, di mana mereka telah menaiki Volkswagen Kombi mengelilingi Malaysia membuat persembahan.

White Percussion Unit dalam salah satu konsert mereka.

Berkongsi pentas bersama dengan pemuzik tempatan dan juga antarabangsa daripada Singapura, Brunei dan Filipina, White Percussion Unit telah menyertai konsert besar pertama mereka pada tahun 2009 yang berjudul Stomping Sabah. Pada 2018, White Percussion Unit telah mendapat peluang untuk menyertai promosi Piala Dunia Russia, bersama Media Prima Berhad. Itu merupakan pengalaman yang paling manis bagi mereka kerana dapat menyertai sesuatu yang besar dimana mereka mengeliling Malaysia bagi promosi pertandingan bola tersebut.

Tidak hanya bermain dalam acara tempatan, White Percussion Unit juga pernah membuat persembahan di peringkat antarabangsa. Mereka telah berjaya membuat persembahan di negara seperti Singapura, Thailand, Australia dan juga India. Mereka juga pernah membuat persembahan di Malaysian Philharmonic Orchestra.

Menjadi kenangan manis buat kumpulan ini, apabila mereka membuat persembahan di Malaysian Philharmonic Orchestra.

Selain daripada persembahan korporat, White Percussion Unit juga diberi peluang untuk menyumbang pada bahagian akademik. Menjadi mentor kepada Kolej Komuniti Selayang (KKSY) Percussion di mana mereka hadir seminggu sekali untuk mengajar bermain alatan muzik Brazil.

“Kami juga telah diberi kepercayaan daripada mantan Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh untuk mengendalikan sebuah program bertajuk Soaring Upwards,” tambah Rudy tentang salah satu program lain di bawah Kementerian Pendidikan untuk menarik minat lebih ramai untuk mendaftar ke Kolej Komuniti.

Setakat ini, White Percussion Unit telah berjaya mengeluarkan dua album di mana album pertama mereka berjudul EP, yang mempunyai lima buah lagu pada tahun 2010. Muzik mereka juga pernah diputarkan di radio seperti Era, RKL FM dan juga Pahang FM. Selain itu, mereka juga berjaya mengeluarkan album kedua berjudul Kehadiran yang mengandungi enam buah lagu pada tahun 2019.

Selain di majlis dan konsert, mereka juga pernah membuat persembahan di atas kapal.

Semua pihak terdedah dengan masalah COVID-19 yang menghantui dunia hampir dua tahun ini. White Percussion Unit tidak terkecuali, di mana semua persembahan dibatalkan atau pun ditunda sehingga diberitahu. Namun begitu, dengan bantuan agensi seperti CENDANA melalui Program Pembiayaan Muzik Independen, telah memberi sinar harapan buat mereka untuk mengeluarkan album baharu, di saat dunia dalam kelihatan kelam.

“Jika ingin menunggu dana sendiri, mungkin lambat lagi untuk mengumpulnya. Jadi dengan bantuan CENDANA ini, kami berjaya mengeluarkan album baru sendiri,” ujar Rudy. Album ini kini dalam proses penggilapan dan akan keluar tidak lama lagi.

Kini, White Percussion Unit dianggotai oleh 12 orang utama di mana ahlinya terdiri daripada Mohd Hisharudy Mahmud, Abdillah Firlany,  Mohd khairi Razali, Nik Mohd Izzham, Mohd Shafiq Aminudin, Mohd Haizad Yusof, Khairul Azwan Abdullah, Mohd Asri Shahrizan, Amyra Farhana,  Anas Safuan, Mohd Afifi, dan juga Saiful Munir.

Anda juga boleh mendengar album mereka Kehadiran-EP di Apple Music dan untuk maklumat lanjut anda boleh mengikuti mereka di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan juga di laman sesawang mereka White Percussion Unit untuk mengikuti perkembangan terbaharu mereka dengan lebih dekat.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites