Wau pungguk hasilkan bunyi gesekan biola

Wau merupakan sebuah permainan tradisi masyarakat Melayu. Kita sering kali mendengar nama Wau Bulan, Wau Merak, Wau Kucing, Wau Puyuh, Wau Dodo Helang, Wau Kangkang dan bermacam-macam lagi. Namun wau yang berasal dari Negeri Pahang, Wau Pungguk atau Wau Cenderawasih sangat jarang didengari bahkan ramai yang tidak mengenali salah satu seni warisan unik Negeri Pahang ini.

Oleh ZURAILAWATI YONG untuk Lensa Seni | Gambar oleh MAZLAN MOHAMMAD JALI

Keunikan Wau Pungguk terletak pada seni pembuatan dan bunyi yang dihasilkan. Walaupun wau ini unik, namun tidak ramai yang memiliki kemahiran menghasilkan wau tradisional ini. Bersama Tuan Mohammad Khairi Bin Ahmad, generasi ketiga pembuat Wau Pungguk di Kampung Permatang Pauh yang juga Pengerusi Persatuan Wau Sri Wangi Pekan, Pahang, kami kongsikan kisah di sebalik pembuatan Wau Pungguk. Ini juga sebagai salah satu usaha untuk dan tanggungjawab untuk memartabatkan kembali seni warisan Wau Pungguk.

Pada zaman dahulu, Wau Pungguk dilihat sebagai permainan anak-anak raja di kawasan Istana Abu Bakar, Pekan pada waktu petang. Menurut orang dahulu, Wau Pungguk mula dimainkan pada zaman Sultan Pahang yang ketiga, Almarhum Al-Mu’tasim Billah Sultan Abdullah. Kebiasaannya, Wau Pungguk dimainkan selepas musim tengkujuh tamat. Di mana keadaan cuaca yang berangin kuat pada sebelah petang sangat sesuai untuk menaikkan wau.

Membuat Wau Pungguk memerlukan kesenian, ketelitian dan kesabaran yang sangat tinggi. Kemahiran dan pengalaman mampu menghasilkan wau yang lebih baik. Pemilihan bahan-bahan yang berkualiti juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan Wau Pungguk yang tahan lama.

Menurut Tuan Khairi, antara bahan-bahan yang biasanya digunakan untuk membuat Wau Pungguk ialah:

  • Batang pinang untuk dijadikan tulang tengah dan busur wau. Batang pinang yang digunakan mestilah cukup umur. Biasanya pokok pinang yang berusia lebih daripada 20 tahun, ditebang dan dipotong kepada beberapa bahagian untuk dijemur. Batang pinang dewasa ini sangat sesuai digunakan kerana ia kukuh dan keras.
  • Batang pokok nibung dewasa yang mempunyai ruas melebihi sejengkal dijadikan pilihan kedua bagi menggantikan batang pinang sekiranya batang pinang dewasa sukar diperolehi. Batang nibung dipotong dan dibelah kepada beberapa bahagian  sebelum dijemur.
  • Buluh jenis Merang dewasa yang mempunyai ruas melebihi dua jengkal setengah digunakan untuk dijadikan rangka utama wau. Ia perlu dibelah dan dijemur sehingga kering sebelum digunakan.
  • Rotan matang jenis sega bersaiz halus dipilih untuk membuat aksesori tambahan seperti kepala dan hujung kepak yang dipanggil simba. Rotan sesuai digunakan untuk tujuan ini kerana sifatnya yang mudah dilentur dan dibentuk. Sebelum digunakan, ia perlu dibelah dan dijemur terebih dahulu.
  • Gam yang digunakan diperbuat daripada bancuhan tepung kanji yang diadun menggunakan air panas.

Selain daripada bahan utama rangka dan gam, bahan asas lain yang digunakan ialah kertas kapas, kertas warna, tali nilon, pisau dan tali tangsi.

Proses pembuatan Wau Pungguk agak rumit berbanding wau yang lain. Batang pinang atau batang nibung yang telah dipotong tidak boleh dijemur secara terbuka di bawah sinaran matahari. Sebaliknya ia perlu dijemur di bawah rumah atau di tempat yang redup.

Proses ini mengambil masa lebih kurang enam minggu untuk batang pinang atau batang nibung benar-benar kering. Batang pinang yang tidak kering sepenuhnya, akan menyebabkan Wau Pungguk tidak mampu terbang dengan sempurna dan mudah patah.

Rotan dan buluh yang telah dijemur kemudiannya akan diukur dan dipotong mengikut saiz wau yang bakal dihasilkan. Setelah dipotong, rotan dan buluh diraut menggunakan pisau sehingga bersih.

Seterusnya, proses ini diteruskan dengan melentur dan membentuk wau. Rangka wau yang telah dilentur perlu diikat menggunakan tali nilon atau tali bola. Ikatan perlu kemas dan ketat. Proses mengikat rangka dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan buluh dan rotan patah ketika dibentuk.

Setelah rangka wau siap, barulah proses menampal kertas kapas dan kertas warna dilakukan. Corak dan motif dibuat mengikut kreativiti pembuat wau dan menepati kehendak pelanggan.

Proses membuat wau lebih mudah berbanding proses penyediaan bahan-bahan untuk membuat wau. Lazimnya proses ini hanya mengambil masa 1 hingga 4 hari bergantung kepada saiz wau tersebut.

Selepas selesai membuat badan wau, proses mengimbangkan kepak perlu dilakukan sebelum memasang tali tangsi. Tali tangsi bersaiz 90 lbs/paun ke atas diikat pada tempat-tempat tertentu pada rangka wau. Tali tangsi yang kasar ini digunakan supaya dapat merentasi angin yang berkelajuan 40-60 km/jam ketika diterbangkan.

Keunikan Wau Pungguk

Wau Pungguk Jantan

Menariknya Wau Pungguk mempunyai jantina yang tersendiri, ada jantan dan betina. Untuk membezakannya, Wau Pungguk jantan mempunyai bentuk sebiji telur di bawah ekor wau. Manakala yang betina pula terdapat dua biji telur di bawah ekor wau.

Uniknya rangka buluh yang digunakan untuk membuat rangka Wau Pungguk adalah berasaskan buluh yang dilentur secara terbalik atau berlawanan daripada wau biasa.

Kertas kapas digunakan sebanyak dua lapisan dan perlu ditampal dari belakang buluh. Sedangkan wau lain biasanya ditampal dari bahagian hadapan dan hanya menggunakan selapis kertas kapas.

Kepala wau ini sebenarnya berbentuk kepala burung Pungguk dan lebih mudah dikenali kerana coraknya yang ringkas dan terletak elok pada badan wau. Corak pada Wau Pungguk adalah simbolik bunga-bunga yang tumbuh di sepanjang pesisir Sungai Pekan seperti bunga pekan dan bunga teratai.

Wau Pungguk Betina

Selain itu, ia mempunyai gandar di bahagian kepala dan wajib mempunyai ekor yang panjang. Saiz wau pungguk biasanya berukuran 5 kaki, manakal saiz paling besar yang pernah dihasilkan dan pernah diterbangkan di udara berukuran 14 kaki tinggi.

Apabila diterbangkan, Wau Pungguk menghasilkan bunyi seperti bunyi dengung seakan bunyi gesekan biola. Bunyi ini terhasil daripada gandar atau busur yang diperbuat daripada batang pokok pinang atau pokok nibung.

Kebiasaannya ia dimainkan bermula dari bulan Februari dan berakhir pada bulan Jun pada setiap tahun. Namun begitu persediaan mencari bahan-bahan untuk membuat wau perlu disediakan seawal bulan Disember lagi. Kawasan sawah padi dijadikan gelanggang untuk bermain wau dan mempamerkan bakat masing-masing.

Mohammad Khairi Ahmad bersama wau Pungguk yang telah dihasilkan

“Hidupkan kembali permainan tradisi di kalangan generasi kini. Jadikan permainan wau sebagai sukan sihat pada setiap petang. Pertandingan wau juga oleh dijadikan acara pertandingan tahunan untuk memupuk minat masyarakat setempat. Selain itu, keunikan wau ini juga mampu menarik minat pelancong luar untuk mengetahui cara pembuatan wau dan cara menerbangkan wau dengan betul,” pesan Tuan Khairi sebelum mengakhiri temu bual ini.

Dia juga berhara agar semua pihak turut sama berganding bahu dalam menaikkan kembali seni warisan negeri Pahang ini.

Tuan Khairi turut memesan, buat ibu bapa yang mempunyai kemahiran membuat wau, ajarkan kepada anak-anak agar warisan turun temurun ini mampu diwariskan kepada generasi akan datang. Sentiasa memberikan sokongan dan jika ada peluang, sertai pertandingan wau untuk menimba ilmu dan pengalaman.

Zurailawati Yong ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau ,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites