Sejak kebelakangan ini seni warisan Melayu seperti busana, senjata dan seni mempertahankan diri, Silat kembali popular di kalangan masyarakat terutamanya anak muda. BASKL mengambil semangat ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang salah satu cabang silat yang ada di Malaysia, Silat Tempur Betawi melalui penggeraknya Ustaz Roslan.
Oleh AZUWAN AHMAD
Silat secara umumnya adalah terma kolektif bagi seni mempertahankan diri yang berasal dari Kepulauan Nusantara dan kawasan Asia tenggara. Ia dipraktikkan secara meluas di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Vietnam. Di kawasan-kawasan ini terdapat beratus-ratus aliran dan perguruan yang masing-masing memberi penekanan berbeza seperti permainan senjata, pukul, manipulasi sendi ataupun gabungan kesemuanya.
Dalam permainan senjata, alat yang sering digunakan antaranya adalah keris, kerambit dan golok. Silat sangat mengutamakan unsur tenaga dalaman dan luaran. Tidak aneh kalau disebut bahawa antara ritual yang sering dilakukan oleh pengamal silat adalah aktiviti seperti berpuasa dan meditasi yang berkait rapat dengan kerohanian dan agama.
Silat tempur Betawi seperti namanya berasal daripada negara Indonesia. Betawi atau nama lamanya Batavia adalah sebuah nama etnik rumpun Melayu juga bercampur dengan beberapa kelompok seperti Sunda, Jawa, Arab, Sumbawa dan Ambon. Mereka ini kebanyakannya tinggal di Jakarta, pusat kota negara jiran tersebut. Silat tempur ini tidak seperti kebanyakkan silat yang kita ketahui yang ada bunga dan tarinya.
Ustaz Roslan Mustapha, 55, adalah penggerak yang paling aktif dan mungkin satu-satunya yang mendapat pengiktirafan mengajar Silat Tempur Betawi di Malaysia. Dia bergerak melalui pertubuhannya yang dinamakan Akademi Silam yang berpusat di Putrajaya. Bercerita tentang sejarah silat ini, Ustaz menjelaskan, “Asalnya permainan silat ini adalah gabungan permainan antara orang Sunda dan orang China yang datang melalui pelabuhan Sunda kelapa lalu membentuk sebuah teknik dan gaya yang baru. Orang Betawi ini telah melalui beberapa fasa penjajahan. Jadi mereka merasakan penting untuk mereka mempunyai dan mempelajari ilmu seni perang. Ia satu keperluan bagi mereka. Bila bercerita tentang Silat di Indonesia, tidak dapat lari daripada permainan Betawi selain daripada Silat Minang. Ia sudah sampai ke Eropah kerana pengetahuan itu dibawa pulang oleh Belanda”.
Bila bercerita tentang inspirasi atau asal bagaimana buah pukulan serta gerakan dalam permainan Betawi, dia mengakui dan percaya ia adalah anugerah daripada Allah s.w.t kepada guru-guru permainan ini dan menjadi inspirasi olahan gerakan. Di dalam tradisi silat ini, tidak boleh lari daripada 3 nama Jawara (Jaguh) zaman silam iaitu Bang Madi, Bang Kari dan Mamak Kosim. Permainan-permainan daripada jaguh-jaguh ini lah yang berkembang sampai sekarang. Ustaz menyampaikan, “di satu ketika orang-orang Betawi ini didatangai ramai orang-orang daripada Yaman yang membawa ajaran agama. Jadi pemuda-pemuda Betawi banyak menerima unsur Islam dalam kehidupan mereka. Unsur ini kemudiannya diselitkan dalam permainan silat Betawi. Silat dan solat tak akan dapat dipisahkan”. Mamak Kosim yang digelar sebagai Pendekar Pagar Ruyung juga terkenal dalam menekankan unsur sabar dan tenang dalam permainan ini.
Penulis bertanya dengan Ustaz mengenai falsafah di sebalik silat Betawi ini dan dia telah memberikan sebuah petikan daripada Bapa Persilatan Indonesia, Bapak Eddi Marzuki yang sangat mengesankan iaitu seni silat itu memanusiakan manusia. “Jika seseorang mengamalkan silat, dia kena faham bahawa dia memberi manfaat dalam bentuk memanusiakan dirinya dan orang lain. Kedua, silat mesti bersifat selamat dan menyelamatkan,” ujarnya.
Ustaz berusaha meluruskan perbezaan jelas antara silat betawi dan aliran seni silat yang lain dengan mengatakan bahawa permainan Betawi bersifat tempur dan tidak mempunyai unsur tari. Ia menekankan seni menyerang, mengelak, menangkis, menjatuhkan dan membanting. “Bila berhadapan dengan lawan, silat ini menyerang tanpa berlengah dan bersifat serangan berangkai. Oleh kerana itu dalam permainan ini ada istilah ‘Maenpo’ atau main pukulan,” ceritanya. Ustaz memahami bahawa unsur tari yang ada pada aliran silat lain merupakan cara untuk mengaburi mata penjajah pada suatu ketika dahulu. Itu antara kebijaksanaan orang terdahulu. Selain daripada itu satu lagi perbezaan yang ketara adalah senjata utama permainannya merupakan golok Betawi yang mahsyur itu berbanding menggunakan keris.
Dalam pengajaran yang diterapkan di Akademi Silam pimpinan Ustaz, dia menjelaskan kepada setiap yang datang belajar dengannya bahawa silat bukan sahaja untuk orang Islam malah diantara muridnya ada yang bukan beragama Islam. “Jika seseorang yang belajar itu sudah pun Islam, dia mahu menjadi seorang mu’min. Jika dia belum Islam, buatkan dia berminat dan dekat dengan Islam,” kongsinya. Silat Betawi yang dibawa memberi ajaran untuk kita bertempur dengan musuh Islam iaitu nafsu, syaitan, Kafir Harbi, munafik dan yahudi nasrani. Dia menjelaskan paling utama adalah kita harus melawan kejahatan dalam diri iaitu nafsu dan syaitan kerana kalau tidak dapat melawan 2 hal tersebut, yang lain akan menjadi lemah.
Kalau anda berminat untuk mempelajari seni silat Betawi ini, anda boleh terus ke laman Instagram Akademi Silam, atau di lawan facebook mereka untuk maklumat lanjut. Anda juga boleh menghubungi mereka di talian 016-343 1356.
Anda juga boleh mengikuti kisah lain di sini: