Ulasan filem ‘Polis Evo 3’

Setelah 18 Jun,24 hari tayangan, Polis Evo 3 berjaya mengutip RM 50 juta kutipan tiket memberikan tanda aras baru bagi kutipan filem tempatan. Filem bergenre aksi komedi ini telah memukau penonton-penonton serta mendapat pujian daripada pengkritik-pengkritik filem tanah air. BASKL tidak mahu ketinggalan untuk memperkatakan tentang filem pecah panggung ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Polis Evo yang terbaharu ini adalah sambungan ketiga dalam siri penerbitan Astro Shaw setelah filem yang pertama menemui peminat pada tahun 2015. Premis pertamanya diarahkan oleh pengarah berbakat besar, Ghaz Abu Bakar manakala yang kedua diarahkan oleh Joel Soh. Untuk siri yang ketiga ini Astro Shaw mempertaruhkan seorang pengarah yang secara relatifnya sangat muda iaitu Syafiq Yusof. Skrip untuk filem ini pula ditulis oleh Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf dan Bernice Low.

Sedikit sipnosis mengenai sekuel ketiga ini, Inspektor Khai yang dilakonkan oleh Shaheizy Sam dihantui oleh peristiwa lama apabila bekas sahabatnya dalam pasukan polis iaitu Reza lakonan Sharnaaz Ahmad kembali membalas dendam  setelah disangka mati beberapa tahun dahulu. Keseluruhan cerita ini memegang kepada sebuah plot untuk memburu Reza yang telah melakukan siri pengeboman terhadap individu-individu yang dianggapnya bertanggungjawab atas kematian isterinya ketika masih dalam pasukan polis. Pemburuan ini telah menguji nilai persahabatan antara Inspektor Khai dan Inspektor Sani lakonan Zizan Razak serta rasa dalaman watak-watak utama ini sebagai anggota polis yang berkhidmat untuk masyarakat. Filem ini juga memuatkan pelakon seperti Syafiq Kyle, Douglas Lim, Farali Khan dan Nora Danish. 

Secara keseluruhan memang filem ini sangat memuaskan hati penonton dan boleh diberikan gred A walaupun secara peribadi penulis merasakan bahawa tidaklah sekuat filem Imaginur pada tahun ini. Namun, ia lebih daripada sekadar biasa sebagai sebuah filem aksi komedi. Ada perbezaan antara air tangan pengarah-pengarah sebelum ini dengan sentuhan Syafiq Yusof. Pertama sekali, siri yang ketiga ini mengingatkan penulis mengenai filem-filem polis lucu yang sering ditayangkan di Hollywood.

Walaupun Syafiq membuka filem ini dengan sebuah tragedi olahan Reza, penulis rasa tidak perlu kerana babak selepas itu lebih menarik. Firasat penulis, Syafiq ‘cuak’ kalau filem ini buat penonton mungkin terlupa ia merupakan filem aksi yang mempunyai elemen sadis yang ditutup oleh babak-babak ‘comedy relief’. Ia adalah babak di mana Inspektor Khai dan Inspektor Sani ditangkap oleh tokan dadah yang lembut dilakonkan Michael Ang. Sudah tentu ia adalah hal yang melucukan walaupun babak ini penuh serta sarat dengan aksi tembak-menembak dan kejar-mengejar, ia menjadi pembuka selera yang menggiurkan. Kalau anda melihat babak ini, pasti mengingatkan anda dengan filem ‘The Other Guys’ lakonan Mark Wahlberg dan Will Ferrel ataupun filem ‘Starsky and Hutch’. Kita harus mengakui bahawa cerita yang bertemakan pasangan polis lucu kurang atau tidak ada di Malaysia ketika ini. 

Dalam aspek lakonan, semua pelakon memberikan secukupnya. Ada dua pelakon yang harus kita berikan perhatian bagi filem ini. Pertama, sudah tentu Shaheizy Sam yang berpengalaman mengendalikan watak berat. Di dalam perjalanan karakter Inspektor Khai di siri ketiga ini, dia harus menempuhi dinamika sebelum dan selepas kemunculan Reza. Dua tempoh waktu ini, Shaheizy Sam harus memainkan perubahan watak dari sedikit ceria dan lucu ditambah asakan untuk berkahwin cepat dengan adik Inspektor Sani kepada watak yang sarat dengan emosi bahana sejarah lama.

Tak ramai pelakon yang dapat melakukannya dengan baik namun Sam membuktikan dia memang seorang pelakon yang tahu benar tentang kerjanya. Seorang lagi pelakon yang harus kita beri perhatian adalah Farali Khan. Di Malaysia ini, saya tidak nampak ada pelakon wanita yang mampu untuk membawa watak aksi dengan berkesan. Mungkin kita lupa bahawa Fara pernah mendukung watak jahat dalam ‘The Assistant’. Filemnya tidak lah terlalu menakjubkan namun Fara menjayakan wataknya dengan berkesan. Di dalam Polis Evo 3, Fara tidak melampau-lampau dalam wataknya dan kelihatan sangat cerdik dengan tidak menampilkan cara kebiasaan watak perempuan dalam filem aksi yang selalu menimbulkan kerasnya ‘feminisme’. Jika ada penerbit yang mahu menerbitkan filem aksi dengan watak utamanya didukung oleh seorang perempuan, saya cadangkan anda lihat Farali Khan. 

Penulis ingin mengakhiri ulasan ini dengan satu perkara yang mungkin dikesalkan sedikit. Watak Sharnaaz sebagai Reza sebenarnya boleh diteroka lagi. Secara latar belakang, Reza merupakan seorang anggota polis asalnya. Maka, pembawakan wataknya seperti seorang ‘maniak’ itu tidak terlalu tepat. Kalau anda menonton filem ini, akan ada satu babak di mana Khai dan Reza mempunyai ruang untuk berbicara dari hati ke hati. Itu adalah saat berharga dalam filem ini namun Syafiq atau panel skrip memilih untuk menghabiskan saat ini dengan tindakan yang dirasa terlalu awal (penulis masih tidak mahu memberikan ‘spoiler’). Penulis mengharapkan watak Reza ini lebih ditakuti dengan diamnya kerana watak ini membawa dendam kesumat yang dalam sehingga meninggalkan luka yang parah terhadap diri dan kehidupannya. 

Penulis memberikan 4.5 daripada 5 Bintang untuk Polis Evo 3.

OLEH AZUWAN AHMAD

Polis Evo 3 masih lagi hangat ditayangkan di premis pawagam tempatan. Anda boleh mendapatkan tiket di GSC dan di TGV. Selamat menonton dan selamat menyokong filem-filem tempatan!

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites