Ulasan filem ‘Anwar: The Untold Story’

Setelah hari pertama tayangan pada 18 Mei lalu mengutip RM 1 juta , filem ini terus tenggelam dan tidak dapat dipastikan berapa jumlah kutipan terkini namun penulis merasakan bahawa pentingnya untuk kita mencerakinkan dan diolah semula kisah Perdana Menteri ke-10 ini dan diharapkan dapat diterbitkan semula di masa hadapan dalam bentuk yang baru serta jauh lebih berkualiti.

Oleh AZUWAN AHMAD

Barangkali tak semua bersetuju dengan penulis tentang betapa pentingnya untuk kita menyelamatkan filem ini dengan cara membikinnya semula secara keseluruhan demi maruah bangsa Malaysia.

Hujah penulis senang sahaja. Tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa  dan gelombang reformasi tahun 1998 sememangnya memberi kesan dan impak yang besar kepada sosio-politik rakyat setelah merdeka pada 1957. Penulis merasakan tidak keterlaluan untuk memberi timbangan bahawa 1998 adalah sama beratnya dengan Mei 1969. 

Tahun 1998, krisis ekonomi melanda dunia terutama negara-negara Asia Tenggara. Reformasi di negara jiran, Indonesia menyaksikan Suharto jatuh dari rejim puluhan tahun untuk digantikan dengan B.J Habibie yang menjawat jabatan Presiden hanya lebih kurang 500 hari.

Di Malaysia, gelombang rakyat juga terasa. Untuk pertama kali tika itu, gerakan politik digemblengkan oleh rakyat kebanyakan secara besar-besaran sehingga mengancam kekuasaan pemerintah. Semua peristiwa penting ini dipacu oleh satu sosok yang kita akan bicarakan dan pada masa yang sama, akan menjelaskan betapa kecewanya kita terhadap hasil filem yang menggambarkan sosok ini.

Sebagai penonton filem di Malaysia, pastinya kita sentiasa kehausan dengan filem yang berkualiti tak kira apa subjek filem tersebut dan untuk pertama kalınya kita akhirnya dapat menyaksikan sebuah filem yang bertemakan biografi seorang pemimpin tertinggi negara.

Sayang seribu kali sayang, filem yang kita tunggu-tunggu sangat mengecewakan daripada pelbagai sudut dan tidak keterlaluan penulis ingin katakan bahawa filem ini tidak layak ditonton terus bukan kerana subjeknya malahan kerana kualitinya yang sangat rendah. Untuk genre biografi, kita jauh ketinggalan dengan jiran kita Indonesia. Kalau saya boleh menyebut filem Habibie, Tjokroaminato, Soekarno juga filem-filem mengenai tokoh negara mereka jauh meninggalkan kita. Jangan kita lupa mengenai hebatnya Dian Sastrowardoyo di dalam filem Kartini.

Apa yang tak kena dengan filem Anwar? Pertama sekali tidak ada apa yang ‘Untold’ mengenai cerita di dalam filem ini. Kebanyakan babak yang disajikan adalah cerita-cerita yang kita sudah tahu secara umumnya. Malah, penceritaan mengenai Anwar Ibrahim dalam filem ini juga tidak berstruktur dan tidak diolah dengan baik. Tajuk filem ini juga sudah ‘menyimpang’ daripada ekspektasi penonton. Ada waktu penonton dibawa untuk menyelami derita watak Anwar di penjara, ada waktu balik ketika dia menjawat jawatan menteri dan ada waktu balik ke kisah percintaan suami isteri bersama Azizah. Tidak ada yang selesai, hanya di kerongkong geli-geli sahaja. 

Walaupun demikian, sentuhan pengarah Viva Westi pada awal babak pembukaan filem ini sangat memberi harapan dan mengujakan. Babak Anwar ditangkap di rumahnya  yang menimbulkan kekecohan antara penyokong dan pihak berkuasa seolah-olah menunjukkan kualiti yang baik walaupun ada kejanggalan di sana sini. Babak-babak yang datang seterusnya terus meluncur ke dalam lurah yang buruk dan tak dapat digambarkan. Untuk pengetahuan pembaca, Viva Westi pernah mengarahkan sebuah filem biografi Jenderal Soedirman yang jauh lebih baik kualitinya. 

Adegan antara Anwar dan Mahathir yang menuai kritikan banyak orang.

Boleh-boleh sahaja, pihak produksi mendakwa adanya campur tangan pihak-pihak tertentu memotong babak-babak dalam filem ini, tapi apa pula alasan pihak produksi untuk kualiti lakonan yang ada dalam filem ini? Farid Kamil dalam filem ini hanya dapat dilihat persamaan dengan Anwar dari segi fizikal sahaja. Apabila dia mula berdialog atau bercakap, hancur punah segala pesona yang cuba dibawa olehnya.

Kita harus akui bahawa membawa watak atau peran tokoh yang pernah hidup atau masih hidup pastinya sukar. Namun, ia bukan sebuah perkara mustahil jika seseorang pelakon memberikan sepenuh jiwanya dalam kerja. Kita ambil contoh mudah sahaja. Reza Rahadian, bintang layar perak daripada seberang yang banyak kali melakonkan tokoh-tokoh yang ada di Indonesia, tak terlepas Almarhum Habibie yang merupakan kawan baik kepada Perdana Menteri sekarang. Kedua-dua tokoh ini mengalami nasib berbeza bila diterjemahkan ke layar lebar.

Acha Septriasa pula tidak memberikan kita rasa puas menontonnya sebagai Wan Azizah. Selain daripada loghatnya yang memang diketahui berasal dari Indonesia, keirasan gaya percakapan juga lenggok bahasa tubuh nya juga langsung tidak sama dengan tokoh yang sebenar. Pada awalnya, memang ada getar-getar suara Wan Azizah, namun kebanyakan babak yang ada pembabitannya tidak menyakinkan penonton. Ketabahan Wan Azizah yang melegenda dalam kalangan rakyat Malaysia juga tidak dapat digambarkan dengan baik dalam filem ini, malah dia kelihatan lemah berbanding kekuatan tenaga emosi yang melimpah di sana sini. 

Boleh dikatakan semua pelakon di dalam filem ini kecuali Farid dan Firdaus Karim yang memegang watak Rosli Ibrahim adalah berbangsa Indonesia. Kelihatan dengan jelas pelakon-pelakon pembantu dan ekstra ini sangat bersusah payah menutup loghat tanah seberang mereka. Antara hal yang paling aneh adalah terdapat sebuah perbualan di antara Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan juga Anwar yang diceritakan penuh dengan lenggok Arab. Ini adalah hal yang paling lucu sekali bagi penulis kerana kedua-dua tokoh ini walaupun dikenali Islamik, mereka sama-sama berasal dari negeri utara tanah air. 

Walaupun Reza tidak mirip dengan Habibie, permainan lakonannya tidak dapat dilupakan.

Ada beberapa lagi hal yang lucu di dalam filem ini yang tidak mampu penulis ceritakan termasuklah bagaimana watak Anwar di dalam filem ini yang digambarkan seperti malaikat. Untuk sebuah karakter utama dalam penceritaan filem, yang mengerti pasti faham bahawa karakter utama (walaupun seorang tokoh) tidaklah perlu digambarkan terlalu sempurna sehingga tidak ada cela sebagai manusia. Ini membuatkan kalimat-kalimat yang berulang diucapkan watak utama kedengaran menjengkelkan. Itu belum lagi kalau kita sentuh mengenai jalan cerita dan relevannya watak-watak yang terdapat filem ini. 

Walau apapun kecacatan yang ada pada filem ini, penulis ingin mengulangi saranan supaya filem ini dibuat semula dan dijadikan rujukan untuk generasi masa hadapan dalam negara ini. Kita jangan berhenti setakat Anwar Ibrahim, kita perlu membuat lebih banyak lagi filem-filem yang bergenre biografi seperti ini. Ingin sekali kita melihat watak seperti penyanyi Sudirman atau cerita-cerita  seperti peristiwa penting dan menarik dalam negara kita untuk diangkat ke layar perak. Anwar: The Untold Story ini penulis berikan 1 daripada 5 bintang. Kita seharusnya mampu melakukan dengan lebih baik.  

Kalau anda masih mahu menonton filem ini, tayangannya masih lagi diadakan di pawagam tempatan. Anda boleh klik GSC atau TGV untuk mendapatkan tiket. 

Ikuti kisah-kisah lain yang menarik di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites