Tiga kedai busana Melayu tradisional untuk baju raya klasik

Kenali Baju Melayu selain daripada Cekak Musang dan juga Teluk Belanga dengan mengikuti kedai-kedai busana warisan Melayu ini.

Oleh DANIAL FUAD

Hari raya semestinya hari untuk bergembira. Pada hari ini, tentunya ramai yang menyahut seruan untuk membeli baju yang baharu demi menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam berhias dan berpakaian cantik di hari raya.

Kita dapat melihat menjelang hari lebaran, berpusu-pusu manusia ke sana sini untuk membeli baju baharu. Tempat membeli-belah seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman sering dipenuhi dengan pelanggan yang berazam untuk melengkapkan persiapan beraya.

Pakai Cara Melayu

Semestinya tidak lengkap hari raya bagi seorang Melayu itu jika tidak ada Baju Melayu untuk dipakai pada hari lebaran. Sejarah Baju Melayu boleh ditelusuri sehingga pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1421 – 1444) di Melaka. Pada ketika itu, untuk membezakan orang Melayu dengan Arab dan Eropah, langsung diperkenalkan konsep Pakai Cara Melayu.

Sepersalinan Baju Melayu perlu ada lima perkara utama untuk dikira sebagai lengkap, iaitu destar (hiasan kepala,) baju, seluar, kain samping dan keris. Pada masa kini, Baju Melayu yang kerap kita lihat terdiri darpiada dua jenis iaitu Cekak Musang dan juga Teluk Belanga.

Akan tetapi, terdapat beberapa lagi jenis Baju Melayu yang tidak begitu terkenal. Baru-baru ini sahaja dilihat bahawa semakin ramai yang berminat untuk mengenakan jenis-jenis Baju Melayu ini, baik di Hari Raya mahupun pada hari-hari biasa seperti Tuan Faeez Harith, salah seorang peminat, pengkaji dan penggiat seni Warisan Alam Melayu.

Baju Sikap dan Baju Hias

Dua jenis Baju Melayu yang kini meningkat permintaannya dan sering dilihat dikenakan oleh orang ramai adalah Baju Sikap dan juga Baju Hias. Menurut ciapan dari Faeez, Baju Hias merupakan sebuah baju yang mempunyai kancing di bahagian atas dada sahaja dan merupakan pakaian kebesaran dan berpangkat. Baju Sikap pula kembang di bahagian bawah yang menyamai ekor burung yang kembang.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan busana Melayu klasik ini, BASKL berkongsi beberapa buah kedai yang menawarkan busana ini yang sudah siap, namun boleh juga ditempah jika ingin lebih mengikut citarasa sendiri.

Warisan Angsari

Terletak di Sungai Buloh, butik ini menyediakan pelbagai jenis corak bagi Baju Sikap. Baju yang dijual mereka mempunyai pelbagai saiz dan terdapat juga baju untuk anak kecil bagi ibu bapa yang ingin memakai baju sedondon di hari raya.

Kain-kain yang digunakan lebih kepada tiada corak, sesuai untuk dipakai untuk semua jenis acara. Harga bagi Busana Melayu dewasa berharga RM240 manakala RM190 bagi baju kanak-kanak.

Butik Warisan Angsari ini terletak di No 2, Rumah Warisan, (Berhadapan Surau Zahidiah), Jalan Kg Melayu Bt 13, 47000 Sg Buloh, Selangor. Bagi yang berminat untuk berkunjung boleh menghubungi mereka, tekan di sini untuk membuat janji temu. Selain daripada baju, mereka juga ada menyediakan tanjak dan juga capal bagi melengkapkan busana anda.

Johan Iskandar – Busana & Perhiasan

Dr Johan Iskandar merupakan pensyarah, pengajar, pembuat dan juga konsultan untuk perkara-perkara berkaitan warisan Alam Melayu. Beliau telah mengkaji warisan Alam Melayu sejak sekian lama dan hasil penyelidikan beliau, sebuah buku berjudul Destar Alam Melayu: Asal-Usul Sejarah dan Penggunaan berjaya diterbitkan. Beliau juga merupakan pengasas Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu yang telah mengajar ramai orang untuk mendalami warisan Melayu ini.

Sehubungan dengan itu, semestinya beliau sering berkongsi tentang busana Melayu. Bagi yang berminat untuk mendapatkan Baju Hias dan juga Baju Teluk Belanga yang bermacam-macam coraknya, anda boleh mengunjungi galeri beliau di No. 25 (2nd) Floor, Jalan Tasik Raja Lumu L U4/L, Seksyen U4, 40150 Shah Alam, Selangor.

Baju-baju yang dijual bermula dengan harga RM150 untuk baju sahaja manakala satu set busana berharga RM250; terdapat sekali seluar pesak bersama baju. Boleh hubungi Dr Johan di pautan ini untuk membuat janji temu ke galerinya.

Klasik Touch x Empayar Rumbawe

Berkonsepkan seni budaya bangsa, Empayar Rumbawe dikelola oleh Zulkhairu sebagai Pengarah Urusan dan Muhamad Haris bagi Pemasaran dan Strategi. Mereka sering berkongsi tentang pelbagai adat, warisan dan sejarah Melayu melalui laman sosial terutamanya TikTok.

Haris telah terlibat dalam mempromosikan kebudayaan Melayu ini hampir 10 tahun dan mendapat nama Rumbawe ini dalam manuskrip Belanda yang membawa maksud Rembau. Menurutnya sekitar abad ke-16, wilayah Rembau bukanlah seperti sekarang kerana ia dahulunya merangkumi Klang, Gombak dan juga Muar.

Mereka yang berminat untuk mendalami sejarah Melayu boleh mengunjungi galeri mereka yang terletak di A-1-1 Jalan Gerbang Wawasan 1, Bangi Gateway, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Bukan setakat busana sahaja yang ada di sini, orang ramai juga boleh mendapatkan senjata seperti keris untuk melengkapkan sepersalinan mereka juga di Empayar Rumbawe ini.

Penutup

Jadi, itulah dia tiga buah kedai yang menyediakan Baju Melayu klasik yang luar dari lingkungan kebiasaan Teluk Belanga dan Cekak Musang. Marilah sama-sama kita hidupkan warisan Melayu yang penuh dengan keindahan daripada ditelan arus kemodenan ini.

Gambar-gambar terpakai adalah milik Warisan Angsari, Johan Iskandar dan juga Empayar Rumbawei

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL dengan mengetik pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites